• DPMT2.jpg
  • FORUM.jpeg
  • FORUM2.png
  • klinik-hukum.jpeg
  • MULTAQA.jpg
  • mzkh-falak.jpg
  • tahniah2.jpg
  • ZQ-BESUT-BANNER.jpeg
  • zq.jpeg

Soalan:

 

Bolehkah diterangkan makna beriman kepada adanya Malaikat? Apa hikmah wujudnya Malaikat sedangkan Allah mampu untuk melakukan sendiri apa jua kehendak-Nya?

 

Jawapan:

 

Allah adalah pencipta alam. Dia-lah yang mengurus serta mentadbirkan segala hal ehwal alam ini dengan undang-undang dan peraturan ciptaan-Nya bagi tiap-tiap satunya. Maka dalam menjalankan undang-undang dan peraturan terhadap pentadbiran kerajaan-Nya yang amat luas itu, Allah dengan kehendak-Nya menjadikan kakitangan dan bala tentera-Nya iaitu Malaikat. Jadi, penciptaan Malaikat menunjukkan maha disiplinnya Allah dalam menguruskan alam ini walaupun Dia mampu melakukan sesuatu tanpa Malaikat.

 

Malaikat itu dijadikan dari Nur, dan mereka sejenis makhluk yang ghaib yang tidak dapat diketahui keadaan mereka dengan pancaindera lahiriah kecuali apakala mereka menjelma atau menyamar sebagai makhluk yang lahir. Beriman kepada Malaikat adalah salah satu daripada beriman kepada perkara-perkara yang ghaib. 

 

Beriman kepada perkara-perkara yang ghaib itu pula menjadi garis perbezaan di antara manusia dengan haiwan yang hanya dapat mengetahui setakat apa yang dapat dicapai oleh pancainderanya, sedangkan segala yang sabit wujudnya adalah lebih luas dari apa yang dapat dicapai dengan pancaindera. Manusia harus menyedari bahawa perkara-perkara ghaib yang ada di luar alam zahir ini adalah lebih luas dari apa yang boleh dicapai oleh fahaman akal mereka dalam umur mereka yang pendek dan terbatas. Dengan yang demikian, maka bagi menyelamatkan tenaga akal yang terbatas itu dari terbuang dengan sia-sia, tidaklah patut digunakan ia pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya. Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah patut digunakan untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai lebih kemakmuran dalam kehidupan dunia yang menjadi jambatan bagi kehidupan bahagia di akhirat kelak. Dengan itu, nyatalah bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang di luar alam nyata ini termasuk alam Malaikat dengan jalan akal yang tenaga dan limitasinya terhad, dan dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata adalah suatu usaha yang sia-sia yang akhirnya akan menemui kegagalan.

 

Manusia akhirnya akan mengakui bahawa tiap-tiap yang terbatas, tidak akan dapat menghubungi apa yang di luar batas. Dengan itu, akal dengan sendirinya terpaksa mengakui bahawa perkara yang di luar batas itu mustahil dapat dicapai oleh kuasa pemikirannya. Maka maklumat mengenai perkara-perkara ghaib hanya boleh diterima dari Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, yang ilmu-Nya meliputi perkara-perkara zahir dan batin, perkara-perkara ghaib dan nyata. Maklumat-maklumat yang tersebut ialah segala apa yang datang dari Allah melalui al-Quran al-Karim dan hadith-hadith yang sahih. 

 

Di dalam al-Quran ada dinyatakan sifat-sifat orang bertakwa, antaranya ialah beriman kepada perkara-perkara ghaib. Firman Allah:

 

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣

Maksudnya:

 

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (al-Baqarah: 3)

 

Mengenai Malaikat, Said bin al-Musaiyab berkata bahawa mereka itu bukan lelaki dan bukan perempuan, mereka tidak makan, tidak minum dan tidak tidur. Bagi mengenal Malaikat selanjutnya, maka bolehlah dikatakan bahawa mereka adalah jenis makhluk yang dilengkapkan oleh Allah dengan persediaan-persediaan untuk mematuhi perintah Allah semata-mata. Maka dengan itu, mereka tidak akan pernah menderhaka kepada Allah sekali-sekali. Firman Allah:

 

لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون

 

          Maksudnya:

 

 “Mereka (Malaikat) tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

 

Mengenai bilangan para Malaikat, ia amat banyak sehingga tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah. Tiap-tiap seseorang mukallaf diwajibkan beriman kepada Malaikat dengan cara ijmal atau umum tanpa perlu memperincikan bilangannya.

 

Malaikat secara umum mempunyai berbagai-bagai tugas. Ada yang ditugaskan mengedarkan cakerawala, menurunkan hujan, mengatur rezeki, menumbuh dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman, menghala dan menahan segala angin dan awan, menjaga dan menguasai gunung ganang, bukit-bukau, lautan dan lain-lain.

 

Namun, setengah ulama seperti yang disebutkan dalam kitab Himpunan Amal Ibadat mengatakan bahawa sepuluh Malaikat yang mesti diimani secara satu persatu dengan tugasan mereka sekali iaitu:

i. Jibril yang ditugaskan menyampaikan wahyu. 

ii. Mikail yang ditugaskan mengurus hal ehwal penghidupan.

iii. Israfil yang ditugaskan meniup sangkakala.

iv. Izrail yang ditugaskan mengetuai Malaikat-Malaikat yang mengambil nyawa.

v. Ridhuan yang ditugaskan menjaga syurga.

vi. Malik yang ditugaskan menjaga neraka.

vii. Raqib yang ditugaskan menulis amal manusia. 

viii. Atid yang juga ditugaskan menulis amal manusia.

ix. Munkar yang ditugaskan menyoal orang mati di alam barzakh.

x. Nakir yang juga ditugaskan menyoal orang mati di alam barzakh.

  1. Fatwa Diwartakan
  2. Fatwa Negeri
  3. Sudut Bacaan
  4. Berita Semasa
  5. Aktiviti Semasa
  6. Himpunan Kertas Kerja
No result.
next
prev

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com