Soalan:

 

ADAKAH ELOK KALAU DITUTUP KEBURUKAN RAKAN SEKERJA UNTUK MENJAGA MARUAH PASANGANNYA ATAU KELUARGANYA?

 

Jawapan:

 

Perkataan aib adalah merujuk kepada rasa malu oleh seseorang atau orang yang rapat dengannya kerana ada sesuatu keadaan yang tidak elok padanya didedahkan atau diketahui umum. Rasa malu ini boleh membawa kepada kesan yang sangat negatif kepada seseorang yang diaibkan itu sehingga memungkinkan ia mati atau mengalami gangguan mental.

 

Dalam agama Islam, dikehendaki supaya segala kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan. Rasulullah s.a.w bersabda:

 

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمـِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّـرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فيِ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْهِ

 

          Maksudnya:

 

“Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan, nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

 

Menghormati saudara muslim ialah menjaga maruah dan air mukanya. Kalau nak tegur, biarlah ia melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan. Ini akan dapat melahirkan suasana hidup bermasyarakat dan mencetuskan keharmonian dan kesejahteraan. Suasana masyarakat Islam sekarang sangat jauh dengan ajaran Islam yang sebenar di mana sering berlaku tindakan yang tidak menghormati antara satu sama lain.

 

Tidak ada orang di dunia ini selain nabi dan rasul yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan. Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil dan bersembunyi atau terang-terangan.

 

Bagi orang yang beriman dan bijaksana dalam menilai ajaran Islam, ia hanya akan memandang aib yang ada pada dalam dirinya dan sentiasa bertaubat serta membetulkan kesilapan-kesilapannya. Dia juga akan menutup keaiban orang lain. Justeru, ia akan dapat jaminan tidak diaibkan dari Allah seperti yang tercatat dalam hadith di atas.

 

Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan sahaja hilang kehormatannya, malah mungkin orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

 

Menurut para ulama Islam, aib dibahagikan menjadi dua kategori:

 

  1. Aib yang bersifat khalqiyah atau kejadian semula jadi seperti cacat di tubuh badan atau penyakit yang membuatnya malu jika diketahui oleh orang lain. Aib seperti ini adalah seperti aurat yang wajib dijaga, tidak boleh disebarkan atau dibicarakan, baik secara terang-terangan atau sembunyian. Menyebarkannya adalah bererti menghina Allah. Lihat keterangan Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin.

 

  1. Aib yang berupa perbuatan maksiat, baik yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Jika seseorang muslim mendapati saudaranya melakukan perbuatan seperti ini, hendaklah ia tidak menyebarluaskan hal tersebut, namun dia tetap memiliki kewajipan untuk melakukan  al-amr  bi  al-ma'ruf   dan  al-nahy ‘an al-munkar seperti menyuruhnya bertaubat. Ibnu Rajab di dalam kitabnya Jami’ al-Usul Wa al-Hikam ada menukilkan kata-kata Imam Syafie yang maksudnya:

 

“Barangsiapa yang menasihati saudaranya dengan menjaga kerahsiaannya bererti dia telah menasihatinya. Sesiapa yang menasihati tanpa menjaga kerahsiaannya, bererti dia telah membuka aibnya dan mengkhianatinya."

 

Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Tawwabin bawa satu kisah iaitu:

 

روي أنه لحق بني إسرائيل قحط على عهد موسى عليه السلام فاجتمع الناس إليه فقالوا: يا كليم الله! ادع لنا ربك أن يسقينا الغيث فقام معهم وخرجوا إلى الصحراء وهم سبعون ألفاً أو يزيدون فقال موسى عليه السلام: إلهي! اسقنا غيثك: وانشر علينا رحمتك وارحمنا بالأطفال الرضع والبهائم الرتع والمشايخ الركع فما زادت السماء إلا تقشعاً والشمس إلا حرارة فقال موسى: إلهي إن كان قد خلق جاهي عندك فبجاه النبي الأمي محمد صلى الله عليه وسلم الذي تبعثه في آخر الزمان! فأوحى الله إليه: ما خلق جاهك عندي وإنك عندي وجيه ولكن فيكم عبد يبارزني منذ أربعين سنة بالمعاصي فناد في الناس حتى يخرج من بين أظهركم فبه منعتكم فقال: موسى إلهي وسيدي! أنا عبد ضعيف وصوتي ضعيف فأين يبلغ وهم سبعون ألفاً أو يزيدون؟ فأوحى الله إليه: منك النداء ومني البلاغ فقام منادياً وقال: يا أيها العبد العاصي الذي يبارز الله منذ أربعين سنة! اخرج من بين أظهرنا فبك منعنا المطر فقام العبد العاصي فنظر ذات اليمين وذات الشمال فلم ير أحداً خرج فعلم أنه المطلوب فقال في نفسه: إن أنا خرجت من بين هذا الخلق افتضحت على رؤوس بني إسرائيل وإن قعدت معهم منعوا لأجلي فأدخل رأسه في ثيابه نادماً على فعاله وقال: إلهي وسيدي! عصيتك أربعين سنة وأمهلتني وقد أتيتك طائعاً فاقبلني فلم يستتم الكلام حتى ارتفعت سحابة بيضاء فأمطرت كأفواه القرب فقال موسى: إلهي وسيدي! بماذا سقيتنا وما خرج من بين أظهرنا أحد؟ فقال: يا موسى! سقيتكم بالذي به منعتكم فقال موسى: إلهي! أرني هذا العبد الطائع فقال: يا موسى! إني لم أفضحه وهو يعصيني  أأفضحه وهو يطيعني؟

 

          Maksudnya:

 

“Diriwayatkan pada zaman Nabi Musa a.s, Bani Israil ditimpa musim kemarau yang berkepanjangan. Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi Musa. Mereka berkata, "Wahai Nabi, berdoalah kepada Tuhanmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami." Maka berangkatlah Nabi Musa a.s bersama 70,000 kaumnya menuju padang pasir yang luas. Mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh, penuh debu, haus dan lapar. Musa berdoa, "Wahai Tuhan kami turunkanlah hujan kepada kami, sebarkanlah rahmat-Mu, kasihilah anak-anak dan orang-orang yang mengandung, haiwan-haiwan dan orang-orang tua yang rukuk dan sujud." Namun, langit tetap terang benderang, matahari pun bersinar makin kemilau (tiada tanda akan hujan). Kemudian Musa berdoa lagi, "Wahai Tuhanku (berilah kami hujan). Walaupun padaku keagungan, namun (akun minta) dengan keagungan Nabi Muhammad yang ummi yang bakal engkau utuskan di akhir zaman.”  Lalu Allah berfirman kepada Musa, "Tidak diciptakan keagunganmu di sisiKu, sesungguhnya engkau di sisiKu adalah terkemuka. Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kamu sedangkan di antara kamu ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Keluarkanlah ia di depan manusia agar dia berdiri di depan kamu semua. Kerana dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kamu." Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, "Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, kerana engkaulah hujan tidak turun." Maka tidak seorang pun yang keluar di depan manusia. Pada saat itu, orang berkenaan sedar kalau dirinyalah yang dimaksud. Lalu ia berkata dalam hatinya, "Kalau aku keluar ke depan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tidak akan turun." Maka kepalanya tertunduk malu dan menyesal, air matanya pun menitis, sambil berdoa dan bertaubat kepada Allah, "Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sesungguhnya sekarang aku bertaubat kepada-Mu, maka terimalah taubatku." Belum sempat ia mengakhiri doanya, maka awan-awan tebalpun berkumpul. Bila semakin tebal, lalu turunlah hujan. Nabi Musa pun kehairanan dan berkata, "Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tidak seorang pun yang keluar di depan manusia." Allah berfirman, "Aku menurunkan hujan kerana seorang hamba yang kerananya hujan tidak turun (tetapi sekarang ia telah bertaubat)." Musa berkata, "Ya Allah, Tunjukkan kepadaku hamba yang taat itu." Allah berfirman, "Wahai Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal ia bermaksiat kepada-Ku, apakah Aku membuka akan aibnya sedangkan ia taat kepada-Ku?”

 

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com