Soalan: 

 

Macam mana kedudukan kanak-kanak yang mati sebelum baligh, adakah mereka berdosa? Kalau anak-anak bukan Islam, adakah mereka masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh? 

 

Jawapan: 

 

Anak-anak orang Islam yang mati sebelum baligh semua adalah adalah ahli syurga. Sepakat para ulama dalam hal ini. Berkata Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Syarh Muslim: 

 

أجمع من يعتد به من علماء المسلمين على أن من مات من أطفال المسلمين فهو من أهل الجنة ؛ لأنه ليس مكلفا 

 

Maksudnya:  

 

“Telah bersepakat para ulama Islam yang diambil kira perkataan mereka bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.”  

 

Berkata al-Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Qur’an al-‘Azim: 

 

 

فأما ولدان المؤمنين فلا خلاف بين العلماء كما حكاه القاضي أبو يعلى بن الفراء الحنبلي عن الإمام أحمد أنه قال لا يختلف فيهم أنهم من أهل الجنة  وهذا هو المشهور بين الناس (أي عامة العلماء) وهو الذي نقطع به 

 

 

Maksudnya:  

 

“Adapun anak-anak orang yang beriman, maka tiada perselisihan di kalangan ulama (tentang mereka akan masuk ke dalam syurga) seperti yang diceritakan oleh al-Qadhi  Abu  Ya’la bin  al-Farra’ al-Hanbali daripada al-Imam Ahmad yang berkata: “Tiada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa anak-anak orang yang beriman termasuk dari kalangan ahli syurga. Inilah yang masyhur di kalangan ulama, pendapat ini juga yang kami putuskan.”  

 

Mengenai anak-anak bukan Islam, adakah mereka masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh? Dalam hal ini ada beberapa pandangan ulama mengenainya: 

 

Pendapat Pertama:  

 

Anak-anak bukan Islam akan masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh. Ini berdasarkan hadith sahih riwayat Bukhari daripada Samrah bin Jundub r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

 

وأما الرجل الطويل الذي في الروضة فإنه إبراهيم صلى الله عليه وسلم وأما الولدان الذين حوله فكل مولود مات على الفطرة قال فقال بعض المسلمين يا رسول الله وأولاد المشركين فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم وأولاد المشركين 

 

Maksudnya: 
 

“Adapun lelaki yang tinggi di Raudhah (taman syurga), ia adalah Nabi Ibrahim a.s. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap budak yang mati di atas fitrah. Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang kafir?” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, “Termasuk anak-anak yang kafir.” 

 

Hampir kepada pandangan ini ialah pandangan Imam Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri dalam kitabnya Tuhfat al-Murid di mana beliau berkata sesiapa yang mati sebelum baligh, maka ia selamat daripada neraka sekalipun daripada kalangan anak-anak orang kafir. 

 

Pendapat kedua:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh, pada peringkatnya awalnya, mereka akan berada di al-A’raf (pertengahan antara syurga dan neraka), namun kesudahannya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan sebahagian ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam kitab al-Tamhid. 

 

Pendapat Ketiga:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan diuji di hari kiamat, sekiranya mereka lulus ujian, mereka akan ke syurga. Sekiranya tidak lulus, mereka akan masuk neraka. Ujian itu ialah mereka akan diperintahkan oleh Allah masuk neraka. Kalau mereka taat, mereka akan masuk syurga dan kalau mereka enggan mereka akan masuk neraka. Ini adalah pandangan sebahagian ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari. Ia juga pandangan Imam al-Baihaqi. Ibnu Kathir juga cenderung kepada pandangan ini. Katanya dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-‘Azim: 

 

“Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadith-hadith yang lalu (disebutkan sebelum itu) saling menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.”  

 

Pendapat ini berdasarkan hadith sahih berikut: 

 

أربعة يمتحنون يوم القيامة رجل أصم لا يسمع ورجل أحمق ورجل هرم ورجل مات في الفترة أما الأصم فيقول يا رب قد جاء الإسلام وما أسمع شيئا وأما الأحمق فيقول يا رب قد جاء الإسلام والصبيان يرمونني بالبعر وأما الهرم فيقول يا رب قد جاء الإسلام وما أعقل شيئا وأما الذي مات في الفترة فيقول ما أتاني لك رسول فيأخذ مواثيقهم ليطيعنه فيرسل إليهم رسولا أن ادخلوا النار فمن دخلها كانت عليه بردا وسلاما ومن لم يدخلها سحب إليها 

 

Ertinya: 

 

“Empat golongan yang mengadu kepada Allah pada Hari Kiamat iaitu pertamanya lelaki yang pekak, keduanya lelaki gila, ketiganya lelaki nyanyuk dan keempatnya lelaki ahli fatrah yang hidup sebelum ada rasul atau nabi. Adapun orang yang pekak, ia berkata “Sesungguhnya telah datang ajaran Islam dalam keadaan aku tidak mendengar apa-apa.” Adapun orang yang gila, ia berkata, “Sesungguhnya telah datang Islam kepada aku dengan keadaan budak-budak membaling aku dengan tahi unta.” Adapun orang tua yang nyanyuk, ia berkata, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah datang Islam kepadaku sedangkan aku tidak memahami apa-apa.” Adapun ahli fatrah, ia berkata “Wahai Tuhanku, tidak sampai ajaran Rasul kepadaku.” Kemudian Allah membuat janji dengan mereka supaya mereka benar-benar taat kepada Allah lalu mereka dihantar ke neraka agar mereka masuk ke dalamnya. Sesiapa yang masuk ke dalam api neraka itu, ia akan berasa sejuk dan selamat. Sesiapa yang enggan masuk, ia akan dihumban ke dalam api neraka.” (Riwayat al-Tabrani) 

 

Pendapat keempat:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan bersama-sama ayah mereka masuk di neraka. Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ahmad. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut: 

 

عن البراء رضي الله عنه قال سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أولاد المشركين فقال "هم مع آبائهم" فقيل: يا رسول الله ما يعملون؟ قال "الله أعلم بهم" 

 

Ertinya: 

 

“Daripada al-Barra’ r.a, katanya, “Ditanya kepada Rasulullah s.a.w tentang anak-anak orang kafir (yang mati sebelum baligh),” Rasulullah s.a.w menjawab, “Mereka akan bersama-sama bapa-bapa mereka (masuk neraka).” Lalu baginda ditanya lagi, “‘Wahai Rasulullah, adakah mereka masuk ke neraka tanpa amal?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah lebih mengetahui apa yang mereka amalkan.” 

 

Pendapat kelima:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan menjadi khadam kepada ahli syurga. Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu’ al-Fatawa berkata pandangan ini lemah kerana tiada sebarang asas baginya pendapat ini. Terdapat beberapa hadith yang menyokong pandangan ini yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun, hadith ini telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadith termasuk Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari. 

 

Pendapat pertama iaitu yang mengatakan bahawa anak-anak bukan Islam akan masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh, itu adalah pandangan lebih kuat kerana disokong oleh nas-nas yang kuat. 

 

 

 

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com