Soalan:

 

Apakah harus membahagi-bahagikan harta pusaka sama rata atas dasar suka sama suka antara waris?

 

Jawapan:

 

Persoalan ini berkait dengan ilmu faraid. Faraid adalah berkait dengan harta pusaka peninggalan seseorang yang mati yang patut diberi kepada para warisnya. Contohnya, harta peninggalan orang tua kepada anak-anak mereka atau sebaliknya iaitu harta peninggalan si anak yang meninggal terlebih dahulu yang akan diwarisi oleh ibu bapanya. Pengurusan harta pusaka ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ dalam beberapa ayatnya.

 

Apabila sesuatu harta pusaka itu ingin dibahagikan, maka kesemua waris yang terlibat sama ada anak-anak, isteri-isteri dan lain-lain akan hadir dan berbincang. Kalau di hadapan pihak yang berkuasa, mereka diberi pilihan sama ada ingin membahagikan harta pusaka mengikut hukum faraid ataupun mengikut persetujuan bersama seperti sama banyak antara lelaki dan perempuan. Kalau dibahagi sama rata, maka pada zahirnya berlawanan mengikut faraid yang asal seperti anak lelaki akan memperolehi dua bahagian manakala perempuan satu bahagian sahaja. Namun cara pembahagian sama rata itu harus setelah mereka diberi faham bahagian masing-masing di sudut faraid serta tidak membabitkan waris yang belum baligh.

 

Namun, kalau berlaku pertelingkahan antara waris tentang pembahagian harta pusaka, maka hukum faraid wajib diikuti. Sebaliknya, kalau sudah ada kata sepakat daripada semua pihak yang layak terima pusaka itu, maka mereka berhak membuat pembahagian persetujuan bersama seperti pembahagian sama rata.

 

Disebutkan dalam fatwa al-Lajnah al-Da’imah mengenai tiga beradik waris, dua lelaki dan seorang perempuan yang bersetuju membahagikan harta pusaka sama rata:

 

إذا كان الأمر كما ذكر فبعد تسديد دين المتوفى إن وجد ثم تنفيذ وصيته الشرعية إن وجدت يكون الباقي بينكم للذكر سهمان، وللأنثى سهم واحد وإذا تنازل بعض الورثة عن نصيبه لآخر وهو بالغ رشيد جاز ذلك‏

 

Maksudnya:

 

“Sekiranya perkara itu seperti yang disebut, maka selepas bayar hutang si mati kalau ada, maka ditunaikan pula wasiatnya kalau ada. Maka yang baki adalah untuk adik-beradik lelaki dua bahagian dan yang perempuan satu bahagian. Maka apabila sebahagian waris menggugurkan haknya dan ia sudah sampai umur dan pandai pengurusan, maka itu dibenarkan.”

 

Asas keharusan pembahagian sama rata setelah persetujuan bersama ini adalah kerana Islam membenarkan al-hibah (pemberian), al-ibra’ (pengguguran hak) dan al-sulh (perdamaian).

 

Ada juga ulama yang berpendapat, pembahagian harta pusaka wajib mengikut hukum faraid terlebih dahulu. Ini kerana ia adalah ketetapan Allah berkenaan pengurusan harta pusaka itu. Setelah dibahagi dan masing-masing menerima hak masing-masing, maka bolehlah pada masa itu sekiranya mereka ingin buat pembahagian sama rata. Ini kerana harta itu tadi telah jadi milik mereka. Terserahlah kepada mereka untuk menguruskannya.