Soalan:

 

Apakah hukum Islam terhadap sembelihan lembu yang penyembelihnya terlepas pisau kerana lembu itu menggelepar sedangkan sembelihan belum selesai. Adakah orang lain boleh menyambungnya?

 

Jawapan:

         

Penyembelih yang terlepas pisau kerana lembu itu menggelepar sedangkan sembelihan belum selesai jika dikembalikan dengan segera, halal makan sembelihan itu dengan syarat haiwan tersebut masih ada tanda-tanda nyawa yang kuat atau al-hayat al-mustaqirah. Jika pengembalian sembelihan itu lambat, maka sembelihan itu tidak sah.

 

Tanda-tanda al-hayat al-mustaqirah adalah terpancarnya darah yang sangat kuat atau gerakan bintang itu masih kuat serta masih adanya suara dari kerongkongnya.

 

          Dalam kitab Bughyat al-Mustarsyidin disebutkan:

 

 

اعتمد في التحفة حل الذبيحة فيما إذا رفع يده لنحو اضطرابها أو انفلتت شفرته فردها فوراً فيهما وكذا لو ذبح بشفرة كالة فقطع بعض الواجب ثم أدركه آخر فأتمه بسكين أخرى قبل رفع الأوّل

 

 

          Maksudnya:

 

“Telah berpegang oleh pengarang kitab al-Tuhfah akan halalnya penyembelihan, apabila mengangkat seorang akan tangannya kerana bergetarnya, atau terlepas pisaunya, lalu dikembalikannya dengan segera pada kedua masalah tadi. Dan demikian juga jika ia menyembelih dengan pisau yang tumpul, maka ia telah memotong sebahagian yang wajib, lalu disusuli oleh lain orang dengan pisau yang lain sebelum mengangkatkan yang pertama.”

 

 

Dalam kenyataan di atas, sah sembelihan sekiranya mengangkat tangannya kerana bergetarnya lalu dikembalikannya pisau itu dengan segera. Tidak dijelaskan tentang syarat ada al-hayat al-mustaqirah dalam ungkapan di atas. Akan tetapi sebahagian ulama ada menyebut syarat wujud al-hayat al-mustaqirah itu. Lihat keterangan dalam kitab Fath al-Mu’in.

 

          Kata pengarang kitab tersebut:

 

وفي كلام بعضهم أنه لو رفع يده لنحو اضطرابه فأعادها فورا وأتم الذبح حل وقول بعضهم لو رفع يده ثم أعادها لم يحل مفرع على عدم الحياة المستقرة عند إعادتها أو محمول على ما إذا لم يعدها على الفور

 

          Maksudnya:

 

“Dan di dalam perkataan sebahagian ulama bahawa seseorang yang mengangkat tangannya kerana bergetarnya lalu dikembalikannya tangan itu dengan segera dan telah sempurna sembelihan itu, maka halal. Adapun pandangan sebahagian ulama, jikalau terangkat tangannya kemudian dikembalikannya, tidak halal sembelihan itu, ia ditakwilkan kepada keadaan tidak ada tanda-tanda al-hayat al-mustaqirah ketika mengembalikannya atau ditakwil ia tidak mengembalikan pisau dengan segera.”