Apakah hukum Solat Witir satu rakaat?

Jawapan:

          Witir atau watir menurut bahasa ialah bilangan yang ganjil seperti satu, tiga dan lima. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah S.W.T itu witir dan Dia suka kepada yang ganjil.”

          Manakala witir menurut istilah ialah solat yang dilakukan selepas Solat Isyak hingga terbit fajar dan diakhiri solat malam dengannya.

          Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting kerana amat digalakkan melakukannya. Rasulullah sentiasa melakukan Solat Witir sama ada baik ketika Baginda bermukim mahupun ketika bermusafir.

Sekurang-kurangnya Solat Witir ialah satu rakaat mengikut mazhab Syafie. Namun, Solat Witir yang sempurna adalah yang ditunaikan tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang lebih baik adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah bersabda:

                                   الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Solat Witir ialah satu rakaat dilakukan pada akhir malam.”

 

Rasulullah juga bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Solat Witir ialah syariat yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa hendak melakukannya lima rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya tiga rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya satu rakaat sahaja lakukanlah.”