SOLAT TAHAJJUD PUKUL 10 MALAM SELEPAS TIDUR

 

Boleh atau tidak Solat Tahajjud pada pukul 10 malam selepas tidur?

Jawapan:

          Tahajjud dari segi bahasa bermaksud berjaga malam, manakala dari segi istilah bermaksud solat sunat yang dikerjakan waktu malam selepas daripada tidur. Firman Allah S.W.T:

 

                                وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang Tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’, ayat:79)

 

Sabda Nabi :

                                                أفضل الصلوات بعد المفروضة صلاة الليل

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat malam (Tahajjud).”

(Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Solat Tahajjud amat dituntut oleh syarak sebagaimana nas di atas. Solat ini juga merupakan antara solat sunat yang terbaik berbanding dengan solat-solat sunat yang lain. Antara sebabnya ialah ianya dikerjakan tatkala manusia lain dibuai mimpi indah dalam tidur dan ibadah ini antara ibadah yang memerlukan semangat dan kesungguhan yang jitu untuk mengerjakannya. Hanya mereka yang benar-benar beriman dan yakin dengan janji Allah S.W.T sahaja yang mampu melaksanakannya walaupun sekadar dua rakaat. Firman Allah S.W.T:

 

                               كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ◌ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya: “Mereka sedikit sekali tidur waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).”

(Surah az-Zariyat, ayat 17-18)

 

Berdasarkan nas Kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, jilid 1, muka surat 388, karangan Dr. Muhammad az-Zuhaili: Sekurang-kurangnya Solat Tahajjud ialah dua rakaat, tiada had paling banyaknya. Ianya didirikan selepas bangun daripada tidur dan sebelum Subuh. Solat di pertengahan malam lebih afdal daripada solat di awal malam dan solat pada dua pertiga malam lebih afdal dari waktu lainnya.

 

Sabda Nabi :

                            أحب الصلاة الى الله صلاة داود عليه السلام، كان ينام نصف الليل ويقوم ثلثه وينام سدسه

Maksudnya: “Solat yang paling disukai oleh Allah S.W.T ialah solat Nabi Daud a.s. Baginda tidur seperdua malam kemudian bangun sepertiganya dan tidur kembali satu perenam malam.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, waktu paling afdal Solat Tahajjud ialah pada dua pertiga malam. Walau bagaimanapun, ianya tetap sah dan boleh dilakukan pada awal malam dengan syarat selepas bangkit daripada tidur.