HUKUM KAHWIN TANPA MENYEBUT MAS KAHWIN

 

Hukum kahwin tanpa menyebut mas kahwin dan berapakah jumlah mas kahwin yang patut kena bayar jika berlaku sebegitu?

Jawapan:

Mahar atau mas kahwin pada dasarnya adalah satu bentuk pemberian daripada suami sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada isteri di samping melambangkan keikhlasan komitmen suami dalam membina rumahtangga. Secara dasarnya tiada sebarang ketetapan kadar minimum atau maksimum atau bentuk barangan tertentu bagi menjelaskan mahar atau mas kahwin dan sebaiknya ia adalah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan ianya tidak membebankan.

Hukum nikah tanpa menyebut mas kahwin ketika akad adalah sah kerana mas kahwin bukanlah rukun nikah yang menjadi suatu kewajipan.

          Imam Nawawi r.a berkata, mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan. Mahar atau mas kahwin pula menurut syarak ialah pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Rukun nikah ada lima perkara:

  1.   Pengantin lelaki
  2.   Pengantin Perempuan
  3.   Wali
  4.   Saksi
  5.   Ijab dan qabul

Suami tetap wajib memberi mas kahwin tersebut selepas akad nikah. Sebagaimana ayat 4 dalam Surah an-Nisa’:

 

                        وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيء مِّنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah mas kahwin kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kami sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan senang hati.”

          Isteri juga berhak menghalang suami daripada menyetubuhinya selagi dia tidak memberi mas kahwin kecuali isteri membenarkan untuk tangguh dan suami bolehlah mendatangi isteri tersebut.