MAKMUM SOLAT DI LUAR MASJID

 

Apakah hukum solat di luar masjid mengikut imam dalam masjid?

Jawapan:

Hukumnya adalah sah apabila seseorang itu solat di luar masjid sedangkan ketika itu imam berada di dalam masjid sebagaimana disebut dalam Kitab Majmuk Syarh al-Muhazzab, jilid 4, muka surat 309:

“Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam sama ada kedua-duanya (imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama). Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang di belakang imam atau melihat pergerakan imam atau pergerakan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijmak mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”

Begitu juga al-Khatib al-Syarbini di dalam Kitab Mugni al-Muhtaj, jilid 1, muka surat 494, menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat) supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.

Namun, apabila imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh. Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu:

  1.          Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum                   lain yang melihat imam.
  2.          Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
  3.          Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, muka surat              297)

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com