STATUS SOLAT JUMAAT KETIKA MUSAFIR

 

Apa hukum Solat Jumaat kalau saya musafir lepas Subuh hari Jumaat?

Jawapan:

Solat Jumaat adalah solat dua rakaat yang didirikan pada hari Jumaat menggantikan Solat Zohor dan wajib dikerjakan ke atas setiap mukallaf lelaki dengan syarat-syarat tertentu berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 9: 

 

                            يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu).”

Para ulama memperincikan ayat tersebut dengan menetapkan syarat-syarat wajib Jumaat dan syarat-syarat sah Jumaat. Antara syarat wajib Jumaat ialah bermastautin atau bermukim. Oleh itu, tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir Solat Jumaat.

Pengecualian Solat Jumaat kepada orang musafir juga berdasarkan kepada perbuatan Nabi Muhammad yang tidak melakukan Solat Jumaat ketika Baginda bermusafir dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi telah melakukan Solat Zohor dan Asar secara jamak.

Sekiranya seseorang bermusafir pada hari Jumaat sebelum fajar, maka gugurlah ke atasnya Solat Jumaat menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie. Namun, sekiranya dia bermusafir dan musafirnya melebihi empat hari tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan Solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Manakala, jika musafirnya kurang dari empat hari tidak termasuk perjalanan pergi dan balik dari tempat tersebut maka gugur ke atasnya untuk melakukan Solat Jumaat.

Pendapat lain di dalam mazhab Syafie sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi r.a dalam Kitab Raudhah al-Talibin (2/38). Mereka berpendapat bahawa gugur kewajipan Solat Jumaat jika bertolak untuk bermusafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari.

          Pandangan yang terpilih dengan realiti yang ada pada hari ini adalah pandangan kedua.