SEBUT “ALLAH” KURANG DUA HARAKAT DALAM SOLAT

 

Apakah benar tidak sah solat kalau sebut perkataan “Allah” kurang dua harakat dalam tahiyat akhir?

 

Jawapan:

Solat merupakan rukun Islam kedua yang mana terkandung di dalamnya 13 rukun yang perlu dipatuhi bagi memastikan sesuatu solat itu sama ada solat itu fardhu atau sunat menjadi sah di sisi syarak.

Salah satu rukun tersebut ialah membaca tasyahud akhir atau dikenali umum sebagai tahiyat akhir yang merupakan antara rukun terakhir di dalam solat yang mana selepasnya dirukunkan untuk selawat ke atas Nabi Muhammad dan kemudiannya memberi salam secara tertib. Disebut tasyahud kerana pada bacaan tahiyat ada dua kalimat syahadah. Manakala disebut tahiyat kerana dimulai dengan kata-kata “attahiyyat” yang bererti penghormatan.

Dalam tasyahud akhir ada bacaan yang terdapat perkataan “laa ilaha illa Allah”. Menurut Kitab Hidayatus al-Salikin adalah sunat diisyaratkan dengan telunjuk pada ketika mengucap “Illallah” dan meletakkan tangan kiri di atas peha kiri dengan keadaan terhampar di atasnya. 

 

 

Adakah apabila menyebut “Allah” kurang dari dua harakat solat menjadi tidak sah? Sebelum itu mari kita lihat perkara-perkara yang membatalkan solat iaitu:

  1. Jika salah satu syarat rukunnya tidak dikerjakan atau sengaja ditinggalkan.
  2. Berlaku hadas kecil dan hadas besar.
  3. Terkena najis secara langsung yang tidak dapat dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat.
  4. Berkata-kata dengan percakapan seperti di luar solat dan perkataan yang boleh difahami.
  5. Terbuka auratnya dengan sengaja. Walau bagaimanapun, sekiranya dengan pantas ia menutupnya kembali, maka tidak membatalkan solat menurut Syafie dan Hanbali.
  6. Makan dan minum walaupun hanya sedikit kerana ia bertentangan dengan sifat solat. Solat juga batal jika makan dengan banyak dalam keadaan terlupa. Demikian menurut Syafie dan Hanbali.
  7. Mengubah niat ketika sedang bersolat.
  8. Bergerak besar berturut-turut sebanyak tiga kali seperti melangkah atau berjalan. Demikian menurut mazhab Syafie. Maksud “berturut-turut” ialah apabila dikira setiap satu pergerakan tidak terpisah dengan yang lain. Bagaimanapun pergerakan tidak berturut-turut tidak membatalkan solat berdalilkan kepada tindakan Nabi Muhammad yang pernah membuka pintu untuk Aisyah semasa Baginda sedang solat.
  9. Membelakangi kiblat iaitu menukarkan arah dada dari kiblat tanpa uzur yang kuat, menurut Syafie dan Hanafi.
  10. Menambah rukun yang berupa perbuatan seperti rukuk dan sujud.
  11. Tertawa berbahak-bahak. Manakala, senyum tidak membatalkan solat.
  12. Mendahului imamnya.
  13. Murtad iaitu terkeluar daripada agama Islam.

Menurut Kitab Fiqh Manhaji iaitu kitab fekah mazhab Syafie menukilkan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ketika membaca tasyahud:

  1. Hendaklah dia mendengar bacaannya sendiri jika pendengarannya normal.
  2. Membaca secara berturut-turut / bersambung-sambung. Sekiranya antara satu ayat diselangi dengan diam yang panjang atau zikir yang lain, batal bacaan tasyahudnya dan wajib diulangi semula.
  3. Membaca dalam keadaan duduk, kecuali jika keuzuran, maka harus membacanya dalam mana-mana keadaan yang boleh dilakukan.
  4. Membaca menggunakan Bahasa Arab. Sekiranya tidak mampu membaca dengannya, maka diterjemahkan ke mana-mana bahasa yang dia kehendaki. Walau bagaimanapun, ia tetap diwajibkan mempelajari bacaan dengan Bahasa Arab.
  5. Menjaga makhraj huruf dan segala syaddah ketika membacanya. Sekiranya berubah makhraj atau tidak mengambil berat dengan bacaan syaddah atau salah dalam menyebut kalimah sehingga mengubah maknanya, maka batal bacaan tasyahud dan wajib diulangi bacaannya semula.
  6. Dibaca mengikut susunan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah .

 

Adalah menjadi satu kesalahan membaca perkataan “ALLAH” dalam tahiyat akhir kurang daripada dua harakat. Bacaan tasyahud itu tidak sah kerana ia dianggap menggugurkan satu huruf dalam solat.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com