HARTA PUSAKA SUAMI YANG MEMPUNYAI EMPAT ISTERI

 

Berapakah bahagian yang diperolehi oleh empat isteri dalam harta pusaka suami yang ada dua orang anak iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki dari isteri pertama?

 

Jawapan:

 

Ilmu berkaitan pembahagian harta pusaka dinamakan dalam Bahasa Arab sebagai ilmu             al-faraidh (الفرائض) ataupun ilmu al-mirath (الميراث).

          Sebab-sebab pusaka sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan Syeikh Ali as-Syarbaji adalah seperti berikut:

  1. Hubungan keturunan
  2. Pernikahan
  3. Wala’ (pembebasan hamba)
  4. Islam

Pernikahan mestilah melalui hubungan perkahwinan yang sah di sisi syarak walaupun pasangan tersebut tidak sempat bersetubuh atau berkhalwat. Kedua-dua suami dan isteri berhak mewarisi pusaka antara satu sama lain jika salah seorang meninggal dunia.

          Isteri berhak menerima harta pusaka suaminya sama ada 1/4 atau 1/8 sahaja berdasarkan syarat-syarat tertentu. Firman Allah S.W.T:

                                      وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَد

Maksudnya: “Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.”

 

                                      فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ

Maksudnya: “Tetapi jika kamu mempunyai anak, bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan.”

(Surah an-Nisa’, ayat:12)

          Dalam ayat di atas, Allah S.W.T menjelaskan bahawa isteri atau isteri-isteri (dua, tiga atau empat) berhak menerima harta pusaka suaminya 1/4 jika suaminya tiada anak atau anak kepada anak lelakinya (cucu), sama ada lelaki atau perempuan.

Jika suaminya mempunyai anak (anak kandungnya daripada mana-mana isterinya) atau anak kepada anak lelakinya (cucu), sama ada lelaki atau perempuan maka isteri atau isteri-isteri hanya berhak menerima pusaka suaminya sebanyak 1/8.

 

          Merujuk kepada soalan di atas, maka empat orang isteri tersebut berhak menerima 1/8 daripada pusaka suaminya yang dibahagi sama rata antara mereka. Perkara ini dinyatakan dalam Kitab Muktamad fi Fiqh al-Syafie karangan Dr. Muhammad az-Zuhaili.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com