CARA ANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIR DALAM SOLAT

Apakah cara yang betul angkat tangan ketika takbir dalam solat?

 

Jawapan:

 

Takbiratul ihram merupakan satu daripada 13 rukun solat, ini bermakna sekiranya meninggalkan takbiratul ihram maka sembahyang tersebut tidak sah.

Takbiratul ihram ialah menyebut perkataan Allahu Akbar (الله اكبر) di awal permulaan dalam melakukan sembahyang. Ia dinamakan sebagai takbiratul ihram kerana diharamkan bagi mereka yang menunaikan sembahyang melakukan perkara-perkara yang halal di luar sembahyang seperti minum, makan dan sebagainya.

Hadis Nabi ﷺ yang bermaksud, “Ketika kamu ingin mendirikan solat, maka bertakbirlah.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut ulama adalah sunat mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan berkaitan cara Nabi mengangkat takbiratul ihram. Antaranya sebagaimana berikut:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ فِي الصَّلاَةِ، فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ حَتَّى يَجْعَلَهُمَا حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ فَعَلَ مِثْلَهُ

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi membuka takbir di dalam sembahyang (memulakan sembahyang dengan bertakbir) dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk rukuk baginda juga melakukan sedemikian.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Nasa’i)

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah ketika bertakbir, mengangkat kedua tangannya sehingga bersetentang dengan cuping telinga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad juga mengangkat kedua-dua tangannya dengan membuka jari-jari lurus ke atas, tidak merenggangkan (menjarakkan) jari-jarinya dan tidak menggenggamnya.

Maka dapat difahami daripada petikan hadis-hadis di atas, cara mengangkat takbiratul ihram dengan betul adalah mengikut sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dengan mengangkat kedua-dua belah tangan sehingga ke paras bahu dan tidak melebihi sehingga melepasi bahagian telinga dan menjarakkan sedikit bahagian antara jari-jari.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com