STATUS IBU SUSUAN

 

Kedudukan ibu kepada ibu susuan, adakah ia dianggap mahram kepada anak susuan?

Jawapan:

          Penyusuan dari segi bahasa ialah perbuatan menghisap susu seseorang perempuan. Manakala, dari segi istilah syarak ialah perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan susu seseorang perempuan atau susu yang masuk ke dalam perut seorang kanak-kanak.

          Hukum seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus mengikut syarak. Ini kerana perbuatan tersebut telah diamalkan sebelum dan selepas kedatangan Islam dan Islam memperakuinya bahkan tidak mengharamkannya. Terdapat kebaikan ketika seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, contoh seorang ibu meninggal dunia dan tidak dapat menyusu anaknya. Oleh itu, keadaan ini memerlukan perempuan lain menyusukan anak tersebut bagi membolehkan anak tersebut meneruskan hidupnya.

Haruslah diingat bahawa terdapat kesan daripada penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan kerana apabila seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, anak itu akan menjadi anak susuannya dan suami perempuan tersebut turut menjadi bapa susuan kepada anak itu.

Justeru, anak yang disusukan tersebut haram berkahwin dengan ibu susuannya. Dia juga haram berkahwin dengan beberapa golongan daripada keturunan ibu susuannya. Golongan tersebut termasuklah:

  1. Adik-beradik perempuan ibu susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
  2. Anak perempuan ibu susuan kerana mereka adalah adik-beradik susuan.
  3. Cucu perempuan kepada ibu susuan (anak perempuan kepada anak lelaki ibu susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan ibu susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik- beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
  4. Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan).

Begitu juga dengan beberapa keturunan dari sebelah bapa susuan yang haram dikahwini adalah sama seperti golongan keturunan ibu susuan. Golongan tersebut ialah:

 

  1. Adik-beradik perempuan bapa susuan kerana    mereka adalah ibu saudara susuan.
  2. Anak perempuan bapa susuan walaupun dengan isteri yang lain kerana mereka adalah adik-beradik perempuan susuan.
  3. Cucu perempuan kepada bapa susuan (anak perempuan kepada anak lelaki bapa susuan,           atau anak perempuan kepada anak         perempuan bapa susuan) kerana mereka           adalah anak perempuan adik-beradik lelaki        susuan atau anak perempuan adik-beradik        perempuan susuan.
  4. Ibu kepada bapa susuan (nenek susuan).

 

Pengharaman tersebut adalah berpandukan al-Quran dan hadis sebagaimana Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 23:

 

                                       وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِى أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَٰعَةِ

Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”

 

Rasulullah juga telah bersabda:

                                             إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ

Maksudnya: “Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan disebabkan kelahiran (keturunan).”

(Hadis Riwayat Muslim & Bukhari)

Oleh itu, kedudukan ibu kepada ibu susuan adalah nenek susuan kepada anak susuan. Justeru, ia merupakan mahram kepada anak susuan sebagaimana penjelasan di atas.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com