HARTA PUSAKA KEPADA SEPUPU

 

Seseorang mati dan ada sepupu perempuan yang ayahnya adalah adik lelaki kepada ayah si mati. Sepupu itu boleh pusaka atau tidak jika tiada waris lain?

Jawapan:

Pusaka terbahagi kepada dua iaitu pusaka melalui fard (ketetapan) dan pusaka melalui asabah (harta lebihan).

Fard (ketetapan) yang telah ditetapkan dalam kitab Allah S.W.T ada enam iaitu satu perdua (1/2), satu perempat (1/4), satu perlapan (1/8), dua pertiga (2/3), satu pertiga (1/3) dan satu perenam (1/6).

Bagi menjelaskan kaedah fard dan asabah ini contohnya ialah seseorang mati meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki kandung. Isteri menerima bahagian fard beliau sebanyak satu perlapan (1/8) kerana si mati mempunyai anak. Manakala anak lelaki tersebut menerima kesemua baki harta peninggalan si mati melalui kaedah asabah setelah ditolak satu perlapan (1/8) bahagian isteri si mati.

Walau bagaimanapun, sepupu perempuan (anak perempuan kepada saudara lelaki kandung kepada bapa si mati / anak perempuan kepada saudara lelaki sebapa kepada bapa si mati) tidak tergolong di kalangan mereka yang menerima fard mahupun asabah dalam kaedah pembahagian harta pusaka tetapi mereka tergolong di kalangan zawil arham.

Dalam istilah ilmu faraid, berdasarkan Kitab al-Fiqh al-Manhaji, jilid 2, halaman 390, maksud zawil arham ialah kaum kerabat yang tidak menerima bahagian harta pusaka sama ada melalui kaedah fard mahupun asabah. 

Walau bagaimanapun, ada ulama mengatakan zawil arham juga boleh mewarisi harta dengan syarat-syarat berikut:

  1. Tiada pewaris yang menerima pusaka secara fard atau asabah selain suami atau isteri.
  2. Baitulmal tidak ditadbir urus dengan baik. Jika ianya ditadbir urus dengan baik, maka ianya lebih diutamakan berbanding zawil arham.

Imam Syafie sendiri berpendapat bahawa zawil arham tidak berhak menerima bahagian harta pusaka jika Baitulmal diurus tadbir dengan baik kerana hak mereka terhadap harta pusaka tidak dinyatakan sama ada dalam al-Quran mahupun       al-Sunnah. Sekiranya mereka ada hak, sudah pasti Allah S.W.T dan rasulNya akan nyatakan sepertimana hal keadaan penerima fard dan asabah.

Sabda Nabi :

                                     ان الله عز وجل قد أعطى كل ذي حق حقه

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah berikan kepada setiap orang haknya.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, sekiranya mereka (zawil arham) mempunyai hak dalam harta pusaka nescaya Allah S.W.T telah memberikan hak mereka.

Justeru, berdasarkan syarat-syarat dan hujah di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sepupu perempuan (anak perempuan kepada saudara lelaki kandung kepada bapa si mati / anak perempuan kepada saudara lelaki sebapa kepada bapa si mati) tidak berhak menerima bahagian daripada harta pusaka. Tetapi harta tersebut jika tiada pewarisnya mestilah diserahkan kepada Baitulmal kerana ia akan diurus dengan baik.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com