HUKUM MENJUAL BABI

 

Apakah hukum menjual babi yang ditembak kepada orang kafir?

Jawapan:

Sebagaimana umum mengetahui bahawa babi atau khinzir adalah binatang yang diharamkan dengan jelas dalam Islam melalui al-Quran dan al-Sunnah serta ijmak (kesepakatan) para ulama. Lihat Kitab al-Ijmak oleh Ibn al-Munzir.

          Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya         al-Halal wa al-Haram fi al-Islam ketika mengulas berkenaan pengharaman daging babi menyebut bahawa makanan yang sangat disukai oleh babi ialah dari benda-benda yang kotor, jijik dan najis.

          Ilmu perubatan moden juga menetapkan bahawa memakan daging babi itu sangat berbahaya, khususnya di negara yang beriklim panas. Berdasarkan kepada penyelidikan ilmiah yang dilakukan, sesiapa yang memakan daging babi itu boleh menyebabkan munculnya cacing kerawit yang sangat merbahaya dan ulat-ulat yang dapat membinasakan tubuhnya.

          Berbalik kepada persoalan di atas, apabila orang Islam menjalankan urus niaga sama ada dia sendiri menguruskan perniagaan itu atau orang lain bagi pihaknya, maka ia tertakluk kepada syarat-syarat jual beli dalam Islam. Antaranya barang-barang yang diniagakan atau dijual itu hendaklah bersih ainnya. Oleh yang demikian, tidak sah jual beli benda atau barang yang najis ainnya. Sabda Rasulullah yang bermaksud,

 Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

          Berdasarkan hadis di atas, maka haram ke atas orang Islam menjual daging babi sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada orang kafir sama ada dia sendiri yang menjualnya atau bagi pihak orang lain.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com