HUKUM DOA SELEPAS BERSEDEKAH          

 

Apakah hukum minta didoakan selepas bersedekah?

Jawapan:                                               

Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah al-Hadid, ayat 18:

 

                      إِنَّ ٱلْمُصدِّقِينَ وَٱلْمُصدِّقَٰتِ وَأَقْرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah S.W.T. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nu’man bin Basyir r.a bahawa Rasulullah bersabda:

 

                                                    ‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Kemudian Baginda membaca firman Allah S.W.T:

 

                                                 وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِب لَكُمْ

Maksudnya: “Dan telah berkata Tuhan kamu: Berdoalah kamu semua kepadaKu nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud (1479))

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah S.W.T buat sekalian para hambaNya untuk berdoa kepadaNya. Allah S.W.T turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hambaNya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Dibolehkan untuk seseorang itu minta didoakan selepas bersedekah selagi mana ianya tidak menyalahi dari segi hukum syarak.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com