HUKUM MEMINUM KOPI MUSANG LUWAK

 

Apakah hukum meminum kopi musang luwak?

Jawapan:

Kopi adalah minuman yang dicampurkan dengan air panas yang disedia daripada benih panggang biasanya dipanggil biji kopi, bagi tumbuhan kopi.

Luwak adalah nama haiwan kumpulan mamalia daripada spesies musang yang hidup dalam hutan sekitar Asia Tenggara termasuk di kepulauan Indonesia. Haiwan ini menggemari buah kopi sebagai makanan bijian sehariannya. Mamalia ini diketahui tabiat hidupnya dengan menyelongkar biji kopi dan memilih biji kopi yang segar dan betul-betul masak sebagai makanannya. Biji kopi yang berkulit keras biasanya tidak akan tercerna dan akan keluar bersama najisnya.

Kopi luwak pula merujuk kepada biji kopi yang keluar bersama najis musang tersebut. Ia akan dicuci dan diproses untuk dijadikan kopi serbuk. Kopi Luwak diusahakan secara kecil-kecilan di daerah Bali, Jawa dan Sumatera, Indonesia sebagai tempat memproses yang tidak menggunakan mesin.

Tentang hukumnya, ada dua pandangan iaitu pandangan pertama berdasarkan kepada pandangan Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang menyifatkan bahawa biji kopi yang keluar bersama najis luwak adalah mutanajjis (iaitu terkena najis). Justeru, kopi luwak adalah halal setelah melalui proses pembersihan. Diperbolehkan meminum, memproduksi dan memperdagangkannya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-98 telah memutuskan perkara yang sama iaitu biji kopi luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:

  • Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
  • Biji kopi tersebut hendaklah dicuci terlebih dahulu daripada najis.

Manakala, pandangan kedua adalah menurut pandangan Fadhilatu al-Syeikh Ahmad Hujji al-Kurdi, seorang pakar dalam bidang al-Mausuah al-Fiqhiyyah dan juga salah seorang anggota Jawatankuasa Fatwa Negara Kuwait di mana beliau telah memberi fatwa apabila ditanya mengenai hukum meminum kopi yang berasal daripada najis musang. Katanya adalah tidak harus kerana ia adalah najis.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com