DARAH HAID TERPUTUS DALAM TEMPOHNYA

  

Haid datang tiga hari kemudian berhenti dua hari kemudian datang semula sembilan hari? Adakah wajib solat dan puasa Ramadan dalam dua hari suci itu atau ia dikira masa haid juga?

Jawapan:

Menurut Kitab al-Fiqh al-Manhaji haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala pada syarak pula haid ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.

          Berdasarkan takrifan di atas, dapat difahami bahawa darah haid itu ialah darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat. Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid. Darah tersebut dianggap sebagai darah istihadah. Dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji, darah istihadah didefinisikan sebagai:

                                                دم علة ومرض يخرج من عرق من أدنى الرحم يقال له العاذل

Maksudnya: “Darah istihadah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘Azil (العاذل).”

          Dalam isu ini ada dua pendapat di dalam mazhab Syafie. Pendapat pertama iaitu pendapat yang muktamad, seluruh darah yang keluar dalam tempoh 15 hari adalah darah haid.

Maksud sehari semalam itu adalah 24 jam seperti yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam kitabnya Manhaj al-Tullab:

                                                            أَيْ قَدْرُهُمَا وَهُوَ أَرْبَعٌ وَعِشْرُونَ سَاعَةً

Maksudnya: “Yakni kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.”

Jika darah terhenti sebelum datang kembali beberapa hari kemudian, tempoh berhenti darah itu atau disebut tempoh naqa’ dianggap sebagai tempoh keluar darah haid mengikut pendapat yang muktamad.

          Syarat darah yang terputus-putus itu keluar mestilah tidak melebihi 15 hari untuk dikira sebagai darah haid. Jika lebih, maka keseluruhan darah itu adalah darah fasid atau rosak dan bukan darah haid.

          Berikut disebutkan semua syarat-syarat untuk menjadikan tempoh naqa’ ialah waktu haid:

  1. Masa naqa’ tidak melebihi 15 hari bersama dengan darah haid.
  2. Masa naqa’ itu mesti termasuk di dalam himpunan tempoh haid yang tidak kurang daripada sehari semalam.
  3. Masa naqa’ itu mesti lebih daripada fitrah yang adat. Fatrah ialah waktu darah tidak keluar tetapi jika dimasukkan kapas ke bahagian faraj akan ada kesan darah. Waktu fatrah adalah haid tanpa khilaf ulama.

          Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, solat dan puasa wanita tersebut pada dua hari dianggap suci itu adalah tidak sah dan perlu qada’ puasanya. Hal ini kerana wanita tersebut dalam keadaan berhaid kerana tidak cukup dalam tempoh 15 hari.