PUSAKA UNTUK DATUK DAN NENEK

 

Bagaimanakah pembahagian harta pusaka bagi seseorang yang telah meninggal dunia dan tidak mempunyai ahli waris selain daripada datuk dan nenek sebelah bapa?

Jawapan:

Harta pusaka ialah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hidup dan harta tersebut ditinggalkan oleh si mati sama ada harta boleh alih seperti barang kemas, kenderaan dan juga wang simpanan ataupun harta tidak alih seperti rumah, tanah dan sebagainya. Harta-harta yang

151 ditinggalkan ini perlulah diberikan kepada ahli waris yang masih ada mengikut bahagian yang telah ditetapkan di dalam ilmu pembahagian harta pusaka.

 

 لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا تَرَكَ ٱلۡوَٰلِدَانِ وَٱلۡأَقۡرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا تَرَكَ ٱلۡوَٰلِدَانِ وَٱلۡأَقۡرَبُونَ

وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا تَرَكَ ٱلۡوَٰلِدَانِ وَٱلۡأَقۡرَبُونَ مَّفۡرُوضٗا 

 

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat dan bagi orang-orang perempuan pula ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kerabat sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian yang telah ditetapkan.” (Surah an-Nisa, ayat: 7)

Datuk dan nenek merupakan waris yang berhak menerima pusaka si mati sekiranya tidak ada waris yang menghalang keduanya. Ahli waris yang menghalang datuk (bapa kepada bapa) ialah bapa kepada si mati. Manakala ahli waris yang menghalang nenek sebelah bapa pula adalah bapa dan ibu kepada si mati.

Bahagian waris ganti telah ditetapkan dalam ilmu pusaka dan mempunyai syarat-syarat yang tertentu. Bagi waris ganti nenek bahagian yang ditetapkan adalah 1/6 daripada keseluruhan harta dengan syarat ibu bapa si mati sudah tiada. Manakala bagi waris ganti datuk pula, bahagian yang diperoleh baginya adalah 5/6 iaitu menerima dengan cara asabah bi al-nafsi. Asabah ini bermaksud bahagian mereka tidak ditentukan mengikut apa-apa kaedah hukum faraid sebaliknya bergantung kepada waris yang ditinggalkan oleh si mati.

Menerima pusaka secara asabah ialah menerima baki harta pusaka yang telah diberikan kepada ahli waris fardu. Oleh kerana waris fardu sudah tidak ada, maka dalam hal ini nenek mendapat 1/6 sebagaimana yang telah dijelaskan dan datuk pula menerima semua baki yang ditinggalkan. Harta pusaka yang telah ditinggalkan oleh si mati tersebut perlulah diselesaikan dengan segera setelah semua kewajipan terhadap si mati sudah selesai. Kewajipan tersebut adalah seperti perbelanjaan pengurusan jenazah, menjelaskan segala hutang sekiranya ada, menunaikan wasiat sekiranya ditinggalkan sewaktu hidup dan menunaikan haji baginya sekiranya mampu.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com