Soalan:

 

Apakah hukum membayar zakat pendapatan dari gaji bulanan?

 

Jawapan:

 

Zakat Pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Dr Yusof al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakat, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan.

 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 267:

 

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ

 

 

Yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu.”

 

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakatkan. Maka bagi sesiapa yang makan gaji, itu termasuk dalam hasil usaha yang wajib dizakatkan.

 

Adapun syarat-syarat bagi zakat pendapatan ini ialah:

 

  1. Mestilah beragama Islam. Hanya orang Islam yang cukup syaratnya wajib berzakat.

 

  1. Mestilah seorang yang merdeka.

 

  • Sempurna pemilikan.

 

  1. Hasil usaha yang baik dan halal.

 

  1. Harta yang cukup nisab.

 

  1. Harta yang cukup haul.

 

Pandangan kedua dalam hal zakat pendapatan ini ialah ianya tidak diwajibkan. Alasan pendokong pendapat ini ialah:

 

  • Para ulama terdahulu dan ahli tahqiq ternama tidak pernah membahas masalah ini dalam kitab-kitab fiqh mereka. Padahal, pada zaman mereka, pendapatan pegawai negara seperti qadi, doktor dan sebagainya sudah ada.

 

  • Tidak ada satupun dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w mengambil zakat berdasarkan pendapatan mereka seperti pendapatan nelayan, doktor dan sebagainya. Bahkan, sikap generasi awal Islam menolak pemungutan zakat jika jenisnya tidak ditentukan oleh nas syarak.

 

  • Alasan keadilan dalam masyarakat untuk diwajibkan zakat pendapatan tidak timbul sebab apa jua alasan mesti tidak lahir dari akal semata-mata, tetapi mesti dibimbing oleh syariat Islam.

 

  • Pada dasarnya riwayat-riwayat yang berbicara tentang al-mal al-mustafaad, semuanya berstatus hadith mauquf iaitu tidak bersambung kepada Nabi s.a.w. Ianya hanya bersambung kepada para sahabat sahaja. Dalam konteks seperti ini, maka hadith-hadith tersebut tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan adanya zakat pendapatan. Pendapat para sahabat Nabi s.a.w semata-mata bukanlah dalil syarak.

 

Lihat keterangan Syeikh Taqiyyuddin al-Nabhani dalam kitabnya al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah berhubung dengan pendapat kedua ini.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com