Soalan:

 

Seorang wanita mempunyai hak terhadap harta bekas suaminya atas dasar harta sepencarian dan mahkamah pula telah memerintahkan diserahkan hak wanita itu. Namun, bekas suami tetap tidak mahu menyerahkannya. Apakah hukumnya sikap bekas suami tersebut?

 

Jawapan:

 

Harta Sepencarian secara spesifiknya tidak ada perbincangan mengenainya dalam kitab fiqh Islam. Di Malaysia, pembahagian harta sepencarian merupakan amalan adat yang diterima pakai sebagai sebahagian dari undang-undang keluarga Islam. Nama-nama lain yang digunakan untuk maksud yang sama di Nusantara ini antaranya ialah carian laki-bini, carian, gono-gina, hareuta sihareukat, harta suarang, guna-kaya, druwe bagro, borang perpantang dan lain-lain.

 

Mengenai takrifannya, M.B. Hooker mendefinisikannya sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri dalam masa perkahwinan. Menurut Hakim Briggs pula, harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa perkahwinan hasil dari sumber-sumber mereka atau hasil daripada usaha mereka bersama. Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah Md. Nor dalam bukunya yang bertajuk Pemilikan Harta Dan Perkahwinan mentakrifkan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh secara usaha sama antara kedua-dua suami isteri dalam masa perkahwinan.

 

Di Malaysia, masalah harta sepencarian hanya timbul setelah berlakunya perceraian, sama ada cerai hidup atau mati. Walaupun begitu, pemilikan terhadap hak harta tersebut wujud sepanjang perkahwinan.

 

Ada dua perkara utama yang mesti diberi perhatian dalam hal harta sepencarian. Pertamanya, sumbangan kedua-dua pihak di dalam mendapatkan harta. Keduanya, harta berkenaan diperolehi dalam tempoh perkahwinan, bukannya sebelum berkahwin atau setelah berlaku perceraian. Walau bagaimanapun, jika sesuatu harta itu diperolehi sebelum perkahwinan tetapi berlaku penambahan pada kuantitinya pada masa perkahwinan, serta terdapat sumbangan dari pihak suami atau isteri, ia juga dikira sebagai harta sepencarian.

 

Sumbangan yang dimaksudkan boleh berlaku dalam bentuk pengumpulan harta atau modal. Sumbangan lain seperti pandangan, nasihat dan dorongan. Jika dilihat secara terperinci kes-kes yang telah diputuskan baik oleh hakim-hakim Inggeris pada zaman sebelum merdeka atau selepas merdeka, ternyata harta sepencarian tidak diperjelaskan kedudukannya. Lantaran itu keputusan berkaitan dengannya sering berbeza. Keadaan tersebut berpunca daripada kekeliruan terhadap tiga perkara. Pertama, kekeliruan tentang konsep harta sepencarian. Kedua, bentuk sumbangan dan ketiga kadar pembahagian.

 

Apabila telah sabit bahawa seseorang wanita mempunyai hak terhadap harta bekas suaminya atas dasar harta sepencarian dan mahkamah pula telah memerintahkan diserahkan hak bekas isteri itu, maka ketika itu, bekas suami itu dianggap mencabuli hak bekas isterinya jika ia tidak menyerahkan harta itu kepada bekas isterinya.