Sederhana Dalam Ibadat Puasa

 

          Soalan:

 

          Apakah yang dikatakan kesederhanaan dalam berpuasa? Apakah bentuknya?

 

          Jawapan:

 

          Kesederhanaan dalam kehidupan merupakan tunjang kegemilangan sesuatu ummah. Maka sebab itu, sebagai agama yang benar, Islam adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga serta tidak terhitung banyaknya.

 

          Sesuai dengan falsafah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadat kepada Allah, maka ia secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum. Justeru itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat daripada pembaziran.

 

          Dengan ungkapan yang lebih terperinci, boleh disebutkan bahawa Islam amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja, maka bulan Ramadan sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja.

 

          Maka dengan itu, godaan nafsu 'rambang mata' ketika membeli-belah boleh dikawal sekali gus dapat mengelakkan pembaziran. Belian barang atau makanan hanya tertumpu kepada yang perlu sahaja.

 

          Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

 

"Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

 

          Dengan sifat sederhana ini, seseorang itu tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan selain ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu.

 

          Melalui sifat kesederhanaan, maka akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakkal dan insaf di hati seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup terutama dalam suasana ekonomi meleset dan harga barang melambung tinggi.

 

          Para cerdik pandai Islam pernah berkata bahawa kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan hasil dari pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.

 

          Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com