Soalan:

 

          Adakah harus Ramadan disahkan melalui kiraan falak?

 

Jawapan:

 

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menukilkan pandangan salah seorang ulama mazhab Syafie iaitu Syeikh Taqiyuddin al-Subki yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan mustahil dilihat anak bulan kerana kedudukan bulan atau seumpamanya, maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan seharusnya ditolak. al-Qaradhawi juga mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama hadith yang bernama Syeikh Syakir.

 

Pandangan ini bertepatan dengan pandangan Ibnu Sarij yang menyatakan:

 

“Jika tidak jelas (anak bulan) bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan”.

 

Beliau mengatakan begitu ketika mentafsirkan hadith:

 

“Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka ukurkanlah”.

 

Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan, jika ahli falak mengatakan bahawa pada hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan disebabkan peredarannya, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.

 

Al-Qaradhawi menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah s.a.w:

 

“Kita adalah kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.”

 

Beliau juga menafsirkan hadith tersebut sebagai pernyataan tentang keadaan tertentu kenapa di zaman Rasulullah s.a.w, awal Ramadan ditentukan dengan melihat anak bulan. Beliau menyatakan matlamat adalah tetap dan wasilah pula boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata seperti kiraan falak dan hisab, maka wasilah itulah yang diterima. Ini kerana kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata. Inilah pandangan yang patut diterima.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com