Puasa Enam Sebelum Qadha’ Ramadan

 

          Soalan:

Ada orang berpuasa enam namun ia belum qadha’ puasanya yang tertinggal, apakah pandangan Islam dalam isu ini?

 

          Jawapan:

 

Para ulama Islam berselisih pendapat tentang adakah dibolehkan berpuasa sunat seperti puasa enam syawal sebelum selesai melaksanakan qadha’ Ramadan. Pandangan pertama mengatakan boleh berpuasa sunat sebelum melaksanakan qadha’ Ramadan. Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama. Secara khususnya, mazhab Hanafi membolehkan seseorang berpuasa sunat sebelum melaksanakan qadha’ Ramadan kerana puasa qadha’ tidak wajib untuk disegerakan, bahkan waktu kewajibannya sangat luas. Ini juga merupakan pandangan Imam Ahmad dalam satu riwayat.

 

Mazhab Maliki dan Syafie pula berpendapat, perbuatan itu makruh, sebabnya ia menyibukkan diri dengan amal sunat daripada qadha’ puasa yang merupakan sesuatu yang wajib. Kata mereka, keutamaan puasa di bulan syawal tidak boleh diraih kecuali oleh orang yang sudah menyelesaikan hutang puasa Ramadan yang pernah ditinggalkannya walaupun kerana uzur. Mereka berdalil dengan sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a:

 

Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan, lalu diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

 

Imam al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/457) menjelaskan kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal dapat diraih sekiranya puasa Ramadan dilakukan keseluruhannya. Jika tidak, maka keutamaan tersebut tidak akan diraih.

 

Ada juga pandangan yang mengatakan, haram berpuasa sunat sebelum melaksanakan qadha’ Ramadan. Ini merupakan pendapat mazhab Hanbali. Ibnu Muflih, seorang ulama mazhab ini dalam kitabnya Al-Furu’ (3/108) berkata,

 

“Keutamaan puasanya (enam hari dari bulan Syawal) ditujukan bagi orang yang melaksanakan puasa tersebut dan telah mengqadha’ puasa Ramadan, dan tidak puasanya di bulan Ramadan itu dikeranakan uzur.”

 

Ramai ulama kontemporari yang berpendapat demikian.

 

Yang sahih dari tiga pendapat di atas adalah pandangan yang menyatakan dibolehkan berpuasa sunat enam hari di bulan syawal sebelum membayar puasa Ramadan. Ini kerana waktu qadha’ puasa Ramadan adalah luas. Pendapat yang tidak membolehkan dan menyatakan tidak sah, tidak mempunyai satu dalilpun yang boleh dijadikan sandaran. Sementara dalil yang menunjukkan “keharusan” melaksanakan puasa sunat sebelum puasa qadha’ ialah firman Allah:

 

“. . . maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.” (al-Baqarah: 185)

 

          Yang dimaksudkan dengan “hari-hari yang lain” ialah sepanjang tahun sebelum datang Ramadan yang baru. Ini menunjukkan qadha’ Ramadan boleh dilewatkan. Maka dengan itu, boleh diisikan masa yang panjang itu dengan puasa sunat juga.

 

Ia disokong oleh hadith Aisyah r.a:

 

“Aku memiliki hutang puasa Ramadan, tetapi aku tidak menggantinya kecuali pada bulan Sya’ban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Agak mustahil Aisyah r.a langsung tidak berpuasa sunat sebelum bulan Sya’ban. Tidak diragukan lagi bahawa perbuatan Aisyah itu diketahui oleh Nabi s.a.w. Ini bererti secara tidak langsung baginda menyetujui puasa sunat boleh dilakukan walaupun qadha’ Ramadan belum lagi selesai. 

 

          Dalam hal ini, pandangan ulama mazhab Syafie seperti yang disebutkan di atas sangat elok diamalkan.

 

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com