SOALAN : 

 

      Apakah adab-adab orang yang berpuasa?

 

        JAWAPAN : 

 

Puasa adalah salah satu rukun Islam. Maka sudah tentu ia perlu dilakukan dengan adab-adab yang sempurna yang dengannya puasanya akan diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran. Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w pernah memberi amaran bahawa puasa seseorang tidak akan diterima oleh Allah kalau segala tuntutan puasa termasuk adab-adabnya tidak dihiraukan. Baginda bersabda yang bermaksud:

 

“Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga.” (Riwayat Muslim).

 

Syeikh Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya yang terkenal al-Nasa’ih al-Diniyyah wa al-Wasaya al-Imaniyyah pernah berkata:

 

"Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan mengumpat serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan.”

Orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih. Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun dalam masa yang sama ia membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan nilai puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Sebenarnya meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun orang yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

          Imam Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim berkata, perisai di sini bermaksud penghalang dari melakukan kejahatan dan dosa. Ada ulama mengatakan, ia bermakna penahan dari masuk neraka.

 

          Berkata seorang ulama Salaf:

 

"Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa.”

 

Berdasarkan kata-kata di atas, orang yang berpuasa perlu menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan syubhat, khususnya ketika berbuka puasa. Atau dengan kata lain, ia hendaklah berusaha dengan penuh berhati-hati untuk tidak berbuka puasa kecuali dengan memakan makanan halal.

 

Termasuk dalam adab orang berpuasa bahawa ia tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

 

Orang yang berpuasa hendaklah menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati. Oleh itu, ia secara khusus dituntut di bulan Ramadan. Adapun orang-orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar ia tidak merasakan keberkatan puasa mereka. Nampaknya syaitan masih lagi beroperasi di bulan Ramadan iaitu terhadap orang-orang yang tidak mengikut adab-adab puasa.

 

Penulis juga ingin mengambil perhatian pihak pembaca sekelian bahawa kalau kita ingin tahu adab-adab berhubung ibadat puasa, kita mesti rujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan sunah. Ini kerana ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab sesuatu ibadat tanpa merujuk kepada dua sumber itu, maka timbullah dakwaan yang menyatakan makruh itu dan ini seperti mereka kata makruh mandi terlalu kerap atau makruh mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan. Ini tidak betul kerana di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawatta’, Ahmad dan Abu Dawud di dalam sunannya bahawa Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

 

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w di al-Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepalanya ketika berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

 

Dalam kitab al-Mughni (2/18), Ibnu Qudamah mengatakan:

 

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w di al-Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepalanya ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

 

Antara adab berpuasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu. Ini berdasarkan hadith-hadith yang antaranya:

 

“Daripada Sahl bin Sa`ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi s.a.w iaitu baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Dalam kitab Syarh Miskhat al-Masabih (4/183) disebutkan:

 

“Mungkin Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bid’ah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

 

Antara adab berpuasa ialah berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) atau tamar kurma kering. Kalau tiada, maka dengan air. Tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada, maka tamar dan jika tiada, maka air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Di dalam hadith daripada Anas katanya:

 

“Bahawa Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadith ini hasan)

 

Kata al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (3/311):

 

“Hadith ini adalah dalil bahawa disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam, ia  adalah pendapat yang ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya iaitu mendahulukan makan tamar sebelum air.”

 

Antara adab berpuasa ialah menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadith di atas menunjukkan Nabi s.a.w berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka sunat selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, terus menunaikan solat Maghrib. Namun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat Maghrib. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar r.a apabila dihidangkan untuknya makanan sedangkan solat telah bermula, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan walaupun beliau mendengar bacaan imam.

 

Hikmah perkara ini ialah meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat. Kata Imam Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim (4/208):

 

“Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”

 

Berkata Imam al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir (1/295):

 

“Hadith ini menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

 

Antara adab berpuasa ialah makan dengan kadar yang tidak berlebihan terutamanya ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 

“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (al-`Araf:31)

 

Di dalam hadith, baginda s.a.w menyebut:

 

“Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (pastikan untuk perutnya) satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya hadith ini hasan sahih)

 

Hadith ini menyatakan bahawa pembahagian maksima makan ialah dengan kadar sepertiga. Kalau boleh, kurangkan lagi daripada itu.

 

Antara adab berpuasa ialah berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w:

 

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan)

 

Maka umat Islam boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang mereka hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwanya yang telah dibersihkan seharian daripada kotoran dosa dan syahwat. Berkata al-Munawi dalam kitab Faidh al-Qadir (2/500):

 

”Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

 

Antara adab berpuasa ialah berdoa kepada sesiapa yang menjamukan kita berbuka: Kata Anas r.a:

 

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Sa’ad bin Ubadah r.a. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan berdoa: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Dawud dan ia adalah sahih)

 

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi s.a.w ketika berpuasa.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com