Soalan:

Apa hukum iktikaf di rumah bersempena bulan Ramadan di musim COVID-19 ini?

 

Jawapan:

 

Para ulama Islam pada umumnya berpendapat bahawa tidak sah iktikaf kecuali di masjid berdasarkan firman Allah swt :

 

                                            وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Ertinya:

"Dan janganlah kamu campuri mereka (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu beri’tikaf didalam mesjid.” (Al-Baqarah: 187)

Ia juga sebagai mengikuti sunnah Nabi s.a.w kerana tidaklah baginda beriktikaf kecuali di masjid.

Para ulama Syafie berpendapat bahawa iktikaf boleh dilakukan di masjid apapun statusnya sama ada masjid jami' atau masjid biasa.

Dengan demikian, bagi kaum lelaki, iktikaf tidak boleh dilakukan di dalam rumah walaupun dianggap musalla rumah atau tempat yang dikhususkan untuk solat di dalam rumah. Hukum ini disepakati ulama berdasarkan keterangan dalam kitab al-Mughni (4/461).

Bagi kaum wanita, jumhur ulama termasuk mazhab Syafie berkata tidak sah juga beriktikaf di rumah walaupun dianggap musalla rumah atau tempat yang dikhususkan untuk solat baginya. Berkata Imam Nawawi dalam kitab Majmu' (6/505):

                            " لا يَصِحُّ الاعْتِكَافُ مِنْ الرَّجُلِ وَلا مِنْ الْمَرْأَةِ إلا فِي الْمَسْجِدِ ,

         وَلا يَصِحُّ فِي مَسْجِدِ بَيْتِ الْمَرْأَةِ وَلا مَسْجِدِ بَيْتِ الرَّجُلِ وَهُوَ الْمُعْتَزَلُ الْمُهَيَّأُ لِلصَّلاةِ" اهـ   

Maksudnya:

"Tidak sah iktikaf baik lelaki atau wanita melainkan di masjid. Tidak sah iktikaf (wanita) di tempat solat rumahnya. Tidak sah juga iktikaf (lelaki) di tempat solat rumahnya iaitu tempat tersendiri yang disediakan untuk solat. "

Disebutkan juga dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah (5/212):

                       "فَذَهَبَ الْجُمْهُورُ إلَى أَنَّهَا كَالرَّجُلِ لا يَصِحُّ اعْتِكَافُهَا إلا فِي الْمَسْجِدِ , 

                                       وَعَلَى هَذَا فَلا يَصِحُّ اعْتِكَافُهَا فِي مَسْجِدِ بَيْتِهَا.

Maksudnya:

"Kebanyakan ulama berpendapat bahawa wanita sama dengan lelaki iaitu tidak sah beriktikaf melainkan di masjid. Maka dengan itu, tidak sah iktikaf wanita di musalla rumahnya."

 

Antara alasan yang disebutkan dalam kitab tersebut ialah:

                              لأَنَّ مَسْجِدَ الْبَيْتِ لَيْسَ بِمَسْجِدٍ حَقِيقَةً وَلا حُكْمًا ,

               فَيَجُوزُ تَبْدِيلُهُ , وَنَوْمُ الْجُنُبِ فِيهِ , وَكَذَلِكَ لَوْ جَازَ لَفَعَلَتْهُ أُمَّهَاتُ الْمُؤْمِنِينَ. "

Maksudnya:

"Ini kerana masjid dalam rumah (tempat solat dalam rumah) bukan masjid pada hakikatnya dan pada hukumnya. Maka sebab ia boleh ditukar (kepada bukan musalla) di samping orang berjunub harus tidur di situ. Begitu juga kalau harus dilakukan iktikaf di situ, maka akan dilakukan oleh para isteri Nabi."

Di sana ada pandangan yang membolehkan kaum wanita melakukan iktikaf di rumah iaitu di tempat yang dianggap musalla rumah atau tempat yang dikhususkan untuk solat. Pandangan ini ada dinukilkan oleh Syeikh Khalid al-Muslih dalam tulisannya yang berjudul Hukm al-I'tikaf Fi al-Bait:

                    وذهب طائفة من أهل العلم إلى أن للمرأة أن تعتكف في بيتها،

               وهذا مذهب أبي حنيفة وقديم قول الشافعي وبه قال الثوري والنخعي.

Maksudnya:

"Dan telah berpendapat suatu puak ulama bahawa harus wanita beriktikaf di rumah. Ia adalah pandangan Abu Hanifah, qaul qadim Imam Syafie. Ia juga pandangan al-Thauri dan al- Nakhaie."

 

Bagi penulis, pandangan para ulama mazhab Syafie dan jumhur adalah kuat dan wajar diamalkan iaitu kaum wanita sama dengan kaum lelaki, tidak sah melakukan iktikaf di rumah.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com