Soalan:

 

Apakah pendapatan seseorang artis itu halal? Boleh ia bersedekah dengannya?

 

Jawapan:

 

Kalau sekiranya artis terlibat dengan permainan muzik, maka ada dua pandangan mengenainya iaitu haram dan harus. Ulama yang kata ianya haram, hasilnya juga adalah haram. Manakala ulama yang kata ianya harus, maka hasilnya adalah harus. Antara ulama yang menghalalkannya ialah Ibnu Hazm seperti tercatat di dalam kitabnya al-Muhalla. Antara ulama yang kata ianya haram ialah ulama mazhab Syafie dan Hanafi.

 

Ibnu Abidin dari mazhab Hanafi mengatakan dalam kitabnya Radd al-Mukhtar ‘Ala ad-Dur al-Mukhtar:

 

“Di antara bentuk hasil haram adalah hasil para pemain muzik sebagaimana (tercatat) dalam kitab al-Mujtaba.”

 

          Manakala orang yang terlibat dengan nyanyian, lakonan dan seumpamanya, maka hasil adalah halal kalau tiada unsur haram dalam bidang tersebut. Namun, kalau ada percanggahan dengan agama Islam seperti menyanyi dengan lagu lucah, berlakon dengan membuka aurat dan sebagainya, maka hasilnya adalah syubhah iaitu bercampur antara halal dan haram. Halal kerana itu hukum asal, haram pula disebabkan pengisian atau cara yang bercanggah dengan Islam.

 

Kalau hasil upah dari perkara syubhah, maka haram juga baginya untuk memilikinya. Lihat keterangan dalam kitab yang berjudul Ahkam al-Mal al-Haram.

 

          Kalau hendak disedekahkan duit tersebut kepada tempat-tempat yang baik seperti masjid, maka itu kurang baik dan patut dielakkan. Dalam satu hadith disebutkan:

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلاَ يَصْعَدُ إِلَى اللَّهِ إِلَّا الطَّيِّبُ فَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فُلُوَّهُ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الجَبَلِ

 

          Maksudnya:

 

“Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barang siapa yang bersedekah senilai satu butir kurma dari hasil yang halal -sedangkan tidak ada yang dinaikkan kepada Allah kecuali dari hasil yang halal-, maka Allah akan menerima dengan tangan kanan-Nya lalu dibela (ditaufikkan) pelakunya sebagaimana kamu membela anak kuda. Akhirnya, pahala sedekah tersebut menjadi seperti gunung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

          Namun, kalau disedekahkan hasil syubhah itu untuk maslahah umum yang berbentuk keduniaan seperti untuk pembinaan jambatan, balai raya dan sebagainya, maka itu tidaklah mengapa.

 

          Ada juga pendapat yang mengharuskan disedekahkan duit syubhah atau haram itu kepada fakir miskin.

 

Berkata Syeikh Atiyyah Saqar dalam kitabnya Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa:

 

"Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat di mana ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu.”