Jabatan Mufti Negeri Terengganu (JMNTR) telah mengadakan Program Cerapan Fenomena Gerhana Bulan Penuh bagi tahun 2018. Program tersebut diadakan di Masjid Kampung Padang Mengkuang, Binjai Rendah, Marang Terengganu pada 28 Julai 2018 (Sabtu) bermula pada jam 12.30 malam sehingga 7.30 pagi.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai fenomena sains sekali gus menggalakkan minat terhadap bidang sains dalam kalangan masyarakat.

Program tersebut dihadiri Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan iaitu YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, ADUN Pengkalan Berangan iaitu YB Ustaz Sulaiman bin Sulong, Timbalan Pesuruhajaya Hal Ehwal Agama Terengganu iaitu Ustaz Azam bin Awi, Pegawai Agama Daerah Marang dan para pelajar daripada sekolah Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Sekolah Menengah Agama Khairiah.  Jumlah keseluruhan kehadirian bagi program tersebut seramai 300 orang.

JMNTR turut mengadakan pelbagai aktiviti bermanfaat sempena program tersebut antaranya cerapan gerhana, ceramah gerhana, solat sunat gerhana dan khutbah gerhana. Gerhana pada kali ini akan meletakkan bulan di kedudukan apogi, iaitu bulan terletak jauh daripada bumi. Fenomena ini juga turut dikenali oleh masyarakat sebagai 'mini moon' . Gerhana dijangka akan bermula pada jam 2.24 pagi dan berakhir pada pukul 6.19 pagi mengikut waktu Malaysia. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NASA gerhana bulan tersebut merupakan gerhana bulan yang paling lama pada abad yang ke 21.