Satu program Diskusi Fatwa telah diadakan pada hari 3 Februari 2019 anjuran Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan kerjasama beberapa pihak termasuk dengan Pejabat Agama Daerah Marang dan Pejabat Daerah Marang . Ia adalah sebagai program untuk mendedahkan hukuman sebat dalam Islam dan perbandingannya dengan hukuman sebat yang berdasarkan undang-undang sivil di Malaysia. Pembentangan dibuat oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Zulkifly Muda dan dua orang panel dari UNISZA dan Jabatan Penjara Malaysia.

 

Di Terengganu, pihak Jabatan Mufti Negeri telah mengeluarkan fatwa pada 16/10/18 yang menyebutkan bahawa sebatan yang dilaksanakan di bawah undang-undang sivil ada yang tidak selari dengan kehendak Islam iaitu bagi kesalahan jenayah seperti rogol, pengedaran dadah dan lain-lain. Ia adalah fatwa pertama secara rasmi di Malaysia dalam hal ini. Maka pihak Jabatan Mufti ingin mendedahkan fatwa tersebut kepada masyarakat serta ingin memberi kefahaman tentangnya kepada mereka, maka program Diskusi ini diadakan.

 

 

Hasil program Diskusi itu, pihak Jabatan juga ingin supaya pihak berkuasa Negara mengubah mana-mana cara sebatan yang bercanggah dengan agama Islam kepada cara yang selaras dengannya. Pihak Jabatan yakin, pihak kerajaan dengan kebijaksanaan yang ada pada mereka boleh melakukan perubahan tersebut. Bagi pihak Jabatan, apa jua bentuk kerjasama, ia bersedia melakukannya selagi dalam lingkungan bidang kuasanya.

 

 

Sebenarnya sebatan cara Islam adalah lebih berbentuk pendidikan kepada kedua-dua pihak iaitu pesalah dan masyarakat . Pesalah disebatkan tanpa melukakannya, tetapi ia disebat di khaylak ramai demi mencapai matlamat pendidikan yang disebutkan di atas. Maka pesalah tidaklah terseksa dengan teruk sebagaimana yang berlaku hasil dari sebatan di bawah Undang-Undang Sivil.

 

Dari satu sudut sejarah, Malaysia sebagai sebuah Negara Islam telah banyak melakukan perubahan secara evolusinya dalam banyak hal kea rah pelaksanaan Islam dalam dasar-dasarnya. Dalam bidang ekonomi, pendidikan, sistem kehakiman dan lain-lain, pihak kerajaan telah banyak melakukan perubahan kea rah penghayatan Islam terutamanyayang ketaranya di tahun 80an. Ini menyebabkan wujudnya sistem Perbankan Islam, Kewangan Islam, Urus Niaga Islam, Sistem Mahkamah Syariah yang lebih utuh dan sebagainya. Memandangkan perkara ini, pihak Jabatan Mufti Terengganu Nampak tidak ada masalah bagi kerajaan untuk merubah pelaksanaan undang-undang termasuk berkait dengan cara sebatan kea rah yang lebih Islamik.