HUKUM SOLAT GHAIB KE ATAS JENAZAH COVID-19

Soalan:

Apakah boleh dilakukan solat ghaib kepada simati akibat covid-19 di kawasan atau kampung yang sama di mana solat ghaib itu dibuat di rumah masing-masing setelah tidak berpeluang solat jenazah secara biasa kerana wabak covid-19?

Jawapan:

Hukum asalnya tidaklah dibenarkan solat ghaib untuk jenazah yang ada dalam daerah atau kampung sendiri. Adalah wajib disolat jenazah itu disolatkan secara hadir (mayat ada di hadapan).

 

Berkata Imam Nawawi dalam al-Majmu' (5/253):

                       أما اذا كان الميت في البلد فطريقان المذهب وبه قطع المصنف والجمهور لا يجوز أن يصلي

                                      عليه حتى يحضر عنده ولأنه لا   مشقة فيه بخلاف الغائب عن البلد

Maksudnya:

"Adapun sekiranya mayat berada dalam negeri, maka dua jalan fatwa. Pegangan mazhab (Syafie) dan yang diputuskan oleh pengarang dan jumhur, tidak harus disolatkan jenazah itu melainkan secara hadir kerana tiada apa-apa masyaqqah berbeza mayat di negeri lain."

 

Namun bagi keadaan amat rumit seperti merebaknya penyakit berbahaya seperti yang berlaku pada saat ini di mana tidak dibenarkan pengurusan mayat termasuk solat jenazah diuruskan secara biasa, maka diharuskan solat jenazah secara ghaib walaupun di rumah masing-masing dengan syarat-syarat yang akan disebutkan selepas ini.

 

Berkata pengarang kitab I'anat al-Talibin (2/133):

فحيث شق الحضور ولو في البلد لكبرها ونحوه صحت

"Sekira-kira masyaqqah hadir walaupun dalam negeri seperti negeri terlalu besar (susah hendak pergi) atau seumpamanya, maka sah (solat ghaib)."

Ini juga dinyatakan oleh ramai ulama kontemporari. Antaranya fatwa daripada Markaz al-Azhar al-Alami Li al-Fatwa:

       كما يُجوز لمن لم يُصلِّ عليه- بسبب الخوف من الاختلاط والمزاحمة وانتشار الوباء- أن يُصلِّيَ عليه عند قبره منفردًا،

                            ويجوز أيضًا أن تُصلَّى عليه صلاة الغائب ، وكلُّ ما سبق يتَّفق ومقاصد الشَّريعة العُليا،

                                                          وكذلك تدلُّ عليه الأدلَّة الشَّرعيَّة المُعتبرة

Maksudnya:

"Seperti mana harus untuk mayat yang belum disolatkan disebabkan bimbang bercampur dengannya dan merebak penyakit bahawa disolatkan dikuburnya secara sendirian. Begitu juga harus dilakukan solat ghaib untuknya. Semuanya itu bertepatan dengan Maqasid Syariah yang maha tinggi dan ditunjukkan oleh dalil-dalil yang muktabar."

 

Namun keharusan solat ghaib tersebut mestilah berdasarkan syarat-syarat berikut:

1- Solat jenazah ghaib ini hanya boleh dilakukan setelah dimandikan jenazah yang berkenaan. Disebutkan dalam      kitab I'anat al-Talibin (2/133):

                        ولا بد في صحة الصلاة علي الغائب ان يعلم او يظن انه قد غسل والا فلا تصح

Maksudnya:

"Dan tidak dapat tidak dalam sahnya solat ghaib bahawa diketahui atau disangkakan secara kuat mayat itu telah dimandikan. Kalau tidak, maka tidak sah solat (ghaib) itu."

 

2- Disolatkan oleh kalangan orang yang wajib mensolatkannya secara fardu kifayah waktu kematian simati itu.        Disebutkan dalam kitab yang sama:

                                                تصح الصلاة على الميت الغائب وعلى الحاضر المدفون

                      ان كان من يريد الصلاة من اهل اداء فرضها وقت الموت بأن يكون حينئذ مسلما مكلفا طاهرا

Maksudnya:

"Sah solat ghaib dan solat hadir yang telah dikebumikan sekiranya orang yang hendak mensolatkan itu pada waktu (kematian) itu adalah seorang Islam, mukallaf dan suci."

3- Disyaratkan oleh sebahagian ulama mazhab Syafie seperti Syeikh Ibnu Qattan bahawa mesti ada juga solat          jenazah secara hadir dilakukan. Kalau hanya dilakukan solat ghaib sahaja tanpa dilakukan solat jenazah biasa      (solat hadir), maka ia tidak menggugurkan fardu kifayah.

 

Namun kebanyakan ulama mazhab Syafie mengatakan sudah cukup dengan solat ghaib sahaja tanpa perlu solat hadir biasa dalam menggugurkan fardu kifayah.

Ini seperti yang tercatat dalam kitab Nihayat al-Zin:

          وقد أجمع كل من أجاز الصلاة على الغائب بأن ذلك يسقط فرض كفاية عند الحاضرين الا ما حكي عن ابن القطان

Maksudnya:

"Dan sesungguhnya telah sepakat orang yang mengharuskan solat ghaib bahawa solat itu menggugurkan fardu kifayah dari kalangan orang hadir (melihat mayat) melainkan pandangan dari Ibnu Qattan."

 

Akhukum Fillah
Zulkifly bin Muda