Print

 

 

Soalan:

 

Apa hukum buat haji dengan menggunakan harta syubhah? Adakah sah haji itu?

 

Jawapan:

 

Menurut mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan kebanyakan salaf dan khalaf, hukum haji dengan harta syubhat atau harta haram adalah sah secara zahirnya sahaja. Ini bermakna kewajipan atau kefardhuan hajinya gugur. Namun, hajinya tidak mabrur atau tidak diterima oleh Allah s.w.t.

 

          Berkata pengarang kitab Mughni al-Muhtaj:

 

ويسقط فرض من حجّ أو اعتمر بمال حرام كمغصوب وإن كان عاصياً، كما في الصلاة في مغصوب أو ثوب حرير

 

          Maksudnya:

 

Dan gugur kefardhuan haji atau umrah bagi orang yang mengerjakannya dengan harta haram sama seperti dengan menggunakan harta yang dirampas walaupun ia dianggap derhaka kepada Allah. Ini sama seperti juga dengan solat di tempat yang dirampas atau dengan memakai baju sutera.”

 

          Kenyataan yang sama juga ada dalam kitab Asna al-Matalib dan kitab Raudah al-Talibin.

 

          Berkata Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’:

 

“Apabila orang naik haji dengan harta haram atau dengan naik kenderaan hasil rampasan, maka ia berdosa dan hajinya tetap sah menurut ulama mazhab Syafie dan pendapat ini juga didukung Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Abdari dan umum ulama.”

 

Namun, di sana ada pandangan kedua iaitu haji dengan harta haram adalah tidak sah. Inilah menurut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal.

 

Pandangan Imam Ahmad ini dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’. Katanya:

 

“Menurut Imam Ahmad, hajinya belum mencukupi (tidak sah).”