Print

Soalan:

 

Ibu bapa sudah meninggal dan anak-anak mereka merasa belum mampu membalas kebaikan dan jasa mereka. Sekarang ini mereka ada sedikit kelebihan rezeki, maka mereka ingin melakukan wakaf. Apakah pahala wakaf itu dapat sampai kepada orang tua mereka kalau diniatkan sedekah pahala kepada mereka?

 

Jawapan: 

 

Amal soleh yang dilakukan oleh orang yang masih hidup dan diniatkan juga pahalanya kepada orang yang sudah sudah mati, Insya’ Allah diterima oleh Allah s.w.t. Terdapat beberapa hadith menyentuh hal ini, di antaranya ialah:

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له

 

          Ertinya:

 

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.” (Riwayat Muslim)

 

Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim:

 

قال العلماء: معنى الحديث أن عمل الميت ينقطع بموته وينقطع تجدد الثواب له إلا في هذه الأشياء الثلاثة لكونه سببها فإن الولد من كسبه وكذلك العلم الذي خلَّفه من تعليم أو تصنيف وكذلك الصدقة الجارية وهي الوقف

Maksudnya:

 

Berkata ulama, makna hadith ialah amalan si mati terputus dengan kematiannya dan tiada lagi pembaharuan pahala baginya melainkan dalam tiga perkara yang akan jadi sebab ia dapat pahala. Anaknya adalah hasil usahanya (si mati). Begitu juga dengan ilmu yang ditinggalkan dalam bentuk pengajaran dan tulisan. Begitu juga sedekah jariahnya iaitu wakafnya.

 

          Hadith di atas dikuatkan lagi oleh hadith berikut yang maksudnya:

 

“Daripada Abdullah bin Abbas r.a bahawa Sa’ad bin Ubadah r.a, ibunya meninggal dunia ketika ia tiada. Lalu dia datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal sedang saya tidak ada ketika matinya, apakah jika saya bersedekah untuknya bermanfaat baginya"? Rasulullah s.a.w menjawab: "Ya.” Lalu Saad berkata: "Saksikanlah bahawa kebunku yang banyak buahnya aku sedekahkan (dan pahala) untuknya.” (Riwayat Bukhari)

 

Apapun pada asalnya, pahala adalah hak orang yang beramal. Jika ia menghadiahkan kepada orang tuanya atau mana-mana saudaranya si Islam, maka hal itu tidak ada halangan sebagaimana tidak dilarang menghadiahkan harta untuk orang lain di waktu hidupnya. Demikianlah ajaran Islam di mana Allah memberikan banyak peluang kepada seseorang untuk berbuat baik atau berbakti kepada orang tua walaupun mereka sudah meninggal dunia. Insya’ Allah, mereka akan merasakan nikmat pahala itu.