Print

 Soalan:

 

Bagaimanakah cara wang syubhat boleh dilupuskan?

 

Jawapan:

 

Dalam perbincangan di kalangan para ulama Islam, ada disentuh tentang harta yang diperolehi melalui jalan tidak patuh syariah. Harta ini merujuk kepada harta yang diperolehi melalui riba, judi, hasil curi, penipuan, rampasan, rasuah dan apa jua transaksi yang melibatkan perkara yang diharamkan oleh Islam.

 

Berlainan dengan harta patuh syariah, ia adalah harta yang diperolehi melalui cara yang tidak bercanggah dengan Islam.

 

Secara umumnya, harta tidak patuh syariah ini dikategorikan sebagai harta tidak diiktiraf oleh syarak atau dipanggil sebagai al-mal ghair mutaqawwam. Ini bermakna, walaupun ianya mempunyai nilai dari sudut komersial atau ekonomi tetapi ianya tidak mendapat pengiktirafan Allah sebagai harta.

 

Justeru itu, pemegang harta tidak patuh syariah ini tidak dibenarkan untuk menggunakannya untuk apa sahaja tujuan bagi kepentingan diri atau peribadinya. Ini memandangkan dia pada hakikatnya tidak mempunyai hak terhadap harta tersebut.

 

Sekiranya harta tersebut diketahui pemiliknya yang sebenar seperti dalam kes curi atau rompakan, ianya perlu dikembalikan kepada pemiliknya yang asal. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau Institusi Islam yang seumpamanya.

 

Sekiranya harta tersebut diperolehi daripada perkara yang haram seperti perjudian, arak atau riba, maka hakmilik harta ini telah terpindah kepada kemaslahatan umum. Ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau boleh juga diserahkan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan atau diserah untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti untuk membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.

 

Mengenai pemberian kepada golongan fakir miskin, ia ada disebutkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Ia juga adalah fatwa yang  dikemukakan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah. Ia juga keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma’ Buhuth Mesir dan Majlis Fatwa kebangsaan Malaysia.

 

Sekiranya harta yang diperolehi adalah bercampur dengan halal dan haram, bahagian harta yang haram sahaja yang wajib diuruskan dengan cara-cara di atas.

 

Sekiranya harta yang diperolehi adalah harta syubhah yang mana status atau kedudukan benda atau aset tersebut yang diragui seperti duit hasil nyanyian yang bercanggah dengan Islam, duit hasil pelaburan amanah saham yang ada perniagaan di tempat halal dan haram dan seumpamanya, maka harta syubhah itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

 

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهمل سمعـت رسـول الله صلي الله عـليه وسلم يقول: إن الحلال بين وإن الحـرام بين وبينهما أمور مشتبهات لا يعـلمهن كثير من الناس فمن اتقى الشبهات فـقـد استبرأ لديـنه وعـرضه ومن وقع في الشبهات وقـع في الحرام

 

          Maksudnya:

 

“Daripada Nu’man bin Basyir r.a, katanya, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ”Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itupun jelas dan di antara kedua-duanya itu (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) ia telah membersihkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhah, dia akan jatuh ke dalam perkara haram.”

 

Begitulah serba sedikit mengenai kedudukan harta tidak patuh syariah di sisi ulama silam mahupun kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

 

          Lihat juga keterangan lanjut mengenai hal ini dalam tulisan Ustaz Zulkifli Hassan yang berjudul Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah.