Soalan:

Ibu tua yang tidak berpuasa, adakah ia wajib bayar fidyah? Berapakah kadarnya kalau diwajibkan?

 

Jawapan: 

Antara sebab-sebab dikenakan fidyah ialah uzur dari menunaikan puasa wajib seperti golongan tua yang tidak mampu berpuasa. Firman Allah s.w.t:

 

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةُ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْر لَّهُ وَأَن تَصُومُوا خَيْر لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

 

Maksudnya:

 

"Beberapa hari yang telah ditentukan, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, wajib baginya untuk menggantikan pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang berpenat puasa (tapi tidak mengerjakannya) untuk membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin. Sesiapa yang berbuat baik ketika membayar fidyah, maka itu lebih baik baginya, dan apabila kamu berpuasa itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (al-Baqarah: 184)

 

Dari sudut pendalilannya, ungkapan “…wajib bagi orang yang berpenat puasa (tapi tidak mengerjakannya) untuk membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin.…..”, ianya adalah khusus bagi orang yang sudah tua baik laki-laki mahupun perempuan dan orang yang sakit yang tidak diharapkan kesembuhannya, ibu hamil dan menyusu yang jika ia berpuasa boleh mendatang mudarat. Inilah penjelasan Ibnu Abbas r.a.

 

Berkata Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di sambil menukilkan pandangan Ibnu Abbas di dalam tafsirnya Taisir al-Karim:

 

“Maksudnya mereka yang merasa terbeban dengan puasa dan memberatkan mereka, sehingga tidak mampu mengerjakannya, seperti seorang yang sudah tua, maka dia membayar fidyah untuk setiap hari dengan memberi makan kepada satu orang miskin. Dan ini adalah pendapat yang benar.”

 

Berkata pula Syeikh Ibnu Soleh al-Uthaimin:

 

"Pentafsiran Ibnu Abbas dalam ayat ini menunjukkan mendalam kefahamannya kerana cara pengambilan dalil dari ayat ini bahawa Allah menjadikan fidyah sebagai pengganti dari puasa bagi orang yang mampu untuk berpuasa. Jika dia mahu, maka dia berpuasa dan jika mahu, maka dia berbuka dan membayar fidyah. Kemudian hukum ini dihapus sehingga diwajibkan bagi setiap orang untuk berpuasa. Maka ketika seseorang tidak mampu untuk berpuasa, yang wajib baginya adalah penggantinya iaitu fidyah.”

 

Maka dengan itu bagi orang yang sudah tua jika tidak mampu berpuasa, begitu juga ibu hamil dan yang menyusu harus bagi mereka untuk berbuka, kemudian memberi makan setiap hari berbuka itu kepada orang miskin sebagai fidyah. Adapun taksiran fidyah, ia adalah bayaran untuk hari yang ditinggalkan puasa dengan satu cupak untuk satu hari. Satu cupak beras itu adalah seperempat gantang Baghdad. Ia bersamaan dengan 567.5 gram. Namun, ada juga yang kata 544 gram. Lihat keterangan oleh Syeikh Abdul Qadim Zallum dalam kitabnya yang berjudul al-Amwal fi Daulah al-Khilafah. 

 

          Fidyah akan naik kadarnya seganda sekiranya tidak dibayar sehingga datang bulan Ramadhan berikutnya. Begitulah naik kadarnya lagi apabila berlanjutan sehingga bertahun-tahun. Sebagai contoh jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah 1 cupak X 3 hari X 3 tahun. Kalau secupak itu nilainya adalah RM2.00, maka jumlahnya adalah RM18.00.

 

Cara membayar fidyah ialah:

  1. Memasak atau membuat makanan, kemudian memanggil orang-orang miskin sejumlah hari-hari yang dia tidak berpuasa. Ini pernah dilakukan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w iaitu Anas bin Malik r.a yang meninggalkan puasa Ramadhan ketika beliau tua. Ini ada disebut dalam riwayat yang disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam kitabnya Irwa' al-Ghalil. Nas riwayat itu adalah seperti berikut:

“Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa beliau lemah dan tidak mampu untuk berpuasa pada satu tahun. Maka beliau membuatkan satu piring besar dari tharid atau roti. Kemudian beliau memanggil tiga puluh orang miskin dan mengajak mereka makan hingga kenyang.” (Riwayat al-Baihaqi)

 

       2 .Memberikan kepada orang miskin berupa makanan yang belum dimasak.

Adapun waktu membayar fidyah terdapat pilihan. Jika seseorang itu mahu, maka membayar fidyah untuk seorang miskin pada hari itu juga. Jika dia mahu, maka melewatkan hingga hari terakhir dari bulan Ramadhan sebagaimana dikerjakan Anas r.a seperti yang disebutkan di atas. Apapun tidaklah harus mendahulukan fidyah sebelum Ramadhan.