Soalan:

 

Bolehkah seseorang itu melakukan aqiqah anaknya yang telah meninggal dunia yang belum sempat diaqiqahkan semasa hidupnya?

 

Jawapan:

 

Aqiqah adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Hukumnya sunat berdasarkan dalil-dalil yang di antaranya hadith riwayat Samurah bin Jundub r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:


كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى

 

 

 

          Maksudnya:

 

"Setiap bayi tergadai dengan aqiqahnya. Disembelihkan kambing pada hari ketujuh, dicukur rambutnya serta diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah serta disahihkan oleh Abdul Haq)

 

Maksud “tergadai” di sini adalah tertahan dari suatu kebaikan yang seharusnya diperoleh jika ia diaqiqahi. Lihat keterangan dalam kitab Tuhfat al-Maulud karangan Ibnu al-Qayyim.

 

Berdasarkan perintah Nabi s.a.w dalam hadith di atas, maka seseorang tidak sepatutnya meninggalkan aqiqah jika mampu walaupun hukumnya sunat sahaja. Bahkan pada amalan kebiasaan salafussoleh, mereka melaksanakan aqiqah untuk anak-anak mereka. Lihat keterangan dalam kitab al-Fath al-Rabbani dan kitab Ahkam al-Maulud.

 

Berhubungan dengan kanak-kanak yang sudah meninggal dunia, maka tetap juga disunatkan untuk diaqiqahkan. Hukum ini terpakai sama ada anak itu mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada hari kelahirannya dan si penjaga pula berkemampuan untuk menyembelih binatang. Lihat keterangan dalam kitab I‘anat al-Talibin dan kitab al-Majmu’.

 

Dan jika meninggal kanak-kanak itu dalam kandungan dan ia sudah berusia empat bulan ke atas, maka disunatkan aqiqah juga. Kalau kurang dari empat bulan, maka tidak disunatkan. Inilah fatwa Syeikh Ibnu Uthaimin dalam kitab Syarh al-Arba’in an-Nawawiyyah. Beliau berkata:

 

“Apabila janin itu keguguran setelah ditiupkannya roh, maka janin tersebut dimandikan, dikafani, disolatkan dan dikuburkan di pekuburan kaum muslimin, serta diberi nama dan diaqiqahkan, kerana dia ketika itu telah menjadi seorang manusia, maka berlaku pula baginya hukum orang dewasa.”