Soalan:

 

Ada seorang lelaki yang telah menikahi seorang wanita tetapi selang beberapa ketika, ia menceraikan wanita itu. Apakah lelaki ini dibolehkan menikahi bekas ibu mentuanya iaitu ibu bekas isterinya itu? Begitu juga adakah boleh hukumnya seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita kemudian diceraikan akan wanita itu, lalu ia ingin mengahwini anak wanita itu yang juga anak tirinya?

 

Jawapan:

 

Adalah haram hukumnya seorang lelaki menikahi bekas ibu mentuanya sama ada dia sudah pernah bersetubuh atau belum dengan bekas isterinya yang diceraikan itu. Pengharaman ini adalah untuk selama-lamanya. Ini berpandukan ayat ke 23 surah al-Nisa’:

 

حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمۡ أُمَّهَٰتُكُمۡ وَبَنَاتُكُمۡ وَأَخَوَٰتُكُمۡ وَعَمَّٰتُكُمۡ وَخَٰلَٰتُكُمۡ وَبَنَاتُ ٱلۡأَخِ وَبَنَاتُ ٱلۡأُخۡتِ وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَٰعَةِ وَأُمَّهَٰتُ نِسَآئِكُمۡ

Yang bermaksud:

 

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu.”

 

Berdasarkan ayat ini, Allah s.w.t mengharamkan mengahwini bekas ibu mentua setelah ia bercerai dengan isterinya (anak ibu mentuanya) sama ada sudah disetubuhi atau belum. Dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, dijelaskan bahawa mentua diharamkan dari dikahwini dengan hanya semata-mata berlaku akad nikah dengan puterinya.

 

Perkara kedua ialah seorang lelaki yang menikah dengan wanita yang memiliki anak perempuan. Maka status anak perempuan dengan si lelaki itu ialah anak tirinya. Jika ibunya meninggal atau diceraikan oleh lelaki itu, bolehkah lelaki ini menikahi anak tirinya itu?

 

Masalah ini ada dijelaskan dalam al-Quran:

 

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

 

          Maksudnya:

 

“(Di antara wanita yang haram dinikahi adalah) anak-anak (perempuan) isterimu yang dalam asuhanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya.” (al-Nisa’: 23)

 

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa seorang lelaki boleh menikahi anak perempuan tirinya selagi dia belum bersetubuh dengan ibunya, baik si anak itu tinggal dalam asuhan bapa tiri mahupun tinggalnya berasingan. Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama.

 

Maka disimpulkan dari kedua-dua keadaan di atas dengan kaedah berikut:

 

العقد على البنات يحرم الأمهات والدخول بالأمهات يحرم البنات

 

          Maksudnya:

 

“Akad nikah dengan anak mengharamkan ibu dan bersetubuh dengan ibu mengharamkan anak.”