Soalan:

 

Apa hukum membina binaan di atas kubur?

 

Jawapan:

 

Dalam hal ini, hukumnya berbeza-beza berdasarkan status tanah perkuburan. Kalau sekiranya tanah persendirian, hukumnya makruh membina binaan di atas kubur. Imam Syafie ada menerangkan hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab al-Umm:

 

فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى في حياتهم أو ورثتهم بعدهم لم يهدم شىء يبنى منها

 

Ertinya:

 

“Maka kalaulah kubur berada di dalam tanah yang dimiliki oleh orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi oleh pewaris selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhkan sesuatu binaan padanya.”

 

Hukum makruh binaan atas kubur sekiranya tanah milik peribadi merangkumi binaan yang sama betul dengan liang lahad mayat dan juga binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie.

 

Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibnu Hajar al-Haitami disebutkan:

 

(ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره

 

Ertinya:

 

“Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan milik sendiri) memutihkan kubur dengan kapur dan membuat binaan di atas kubur pada permukaan liang lahadnya dan ruang luarnya. Namun begitu, tiada makruh jika takut dibongkar (oleh pencuri kain kafan atau dibongkar untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), atau takut digali binatang buas atau takut diruntuhkan oleh banjir.”

 

Berkata al-Syarwani di dalam kitab Hasyiyahnya:

 

أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج الحريم هذا في غير المسبلة

 

Ertinya:

 

“Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur pada permukaan liang kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir dengan liang lahad kubur dan dimakruhkan juga pada ruang luarnya. Hukum ini pada tanah perkuburan yang bukan diawamkan penggunaannya.”

 

Terdapat pendapat lain di dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripadanya. Disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

 

“Sesetengah ulama mazhab Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam matan Minhaj dan perkataannya di dalam Majmu’ dan lain-lain, dengan memberi maksud bahawa dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur dengan makna binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan binaan apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang didiami. Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa membezakan di antara binaan sama betul dengan liang lahad dan ruang luarnya).”

 

Ada satu lagi perbincangan dalam hal ini iaitu binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain tidak haram serta tidak makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali, ulama dan orang mati syahid di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan binaan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur mereka.

 

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj disebutkan:

 

قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان انمحق ويؤيده تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي في الوصية لما فيه من احياء الزيارة

 

Ertinya:

 

“Sesetengah ulama mazhab syafie mengatakan, melainkan pada kubur para sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian, maka tiada harus membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka dikuatkan dengan kenyataan ulama bahawa diharuskan berwasiat supaya dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh iaitu di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang pada bab wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan ziarah.”

 

Kalau sekiranya kubur berada di atas tanah perkuburan awam atau di atas tanah wakaf kubur, maka haram dibina binaan di atasnya kerana ada hak orang lain menanam mayat pada kubur sedia ada kalau mayat yang lama sudah hancur.

 

Berkata Imam Syafie dalam kitab al-Umm:

 

ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس

 

Ertinya:

 

“Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para ulama mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”

 

Katanya lagi:

 

وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه أحد فهدمه لئلا يحجر على الناس

 

Ertinya:

 

“Hanya boleh diruntuhkan sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun, maka hendaklah diruntuhkannya supaya tidak menegah orang lain untuk tanam mayat yang lain.”

 

Berkata Ibnu Hajar al-Haitami tentang sebab kenapa haramnya membuat binaan itu dalam kitabnya yang berjudul al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah:

 

ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على من يدفن بعد بلاء الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون فتح القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها فحرم

 

Ertinya:

 

“Kerana terdapat sebab pengharaman membina binaan yang berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat lain selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat, dan orang ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya. Maka binaan itu menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai daripada mengambil manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”

 

Jadi jelas sekali di dalam tanah perkuburan awam atau tanah wakaf, haram membina kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Bahkan wajib diruntuhkan binaan tersebut walaupun ia didirikan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan orang mati syahid. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie. Di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj disebut:

 

(ولو بني في مقبرة مسبلة هدم) البناء وجوبا لحرمته ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها

 

Ertinya:

 

“Jika dibinakan di atas kubur di dalam kawasan perkuburan awam nescaya mesti diruntuhkan binaan itu. Ini kerana terdapat padanya sebab pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan yang disabilkan). Hukumnya tetap sama, sama ada dibinakan kubah, bilik (rumah), masjid atau lainnya.”

 

Disebutkan juga tentang haram membina binaan tersebut walaupun di atas kubur para nabi, wali, ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan awam di dalam Tuhfah al-Muhtaj.

 

Namun, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa binaan diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan awam walaupun ia adalah binaan simen, marmar dan lain-lain sekiranya binaan itu tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur. Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah al-Muhtaj ketika pengarangnya Syeikh al-Ramli membahaskan tentang larangan membongkar kubur para sahabat dan wali walaupun setelah hancur jasad mereka untuk ditanam jenazah lain. Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang mengharuskan berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan wali.

 

Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan al-Ramli itu ialah hanya binaan di atas sempadan liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya sahaja seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang memakan ruang lebih luas daripada itu seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan lain-lain. Berkata Syeikh Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah al-Nihayah:

 

والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب ونحوها

 

Ertinya:

 

“Dimaksudkan dengan mendirikan binaan tersebut ialah binaan di tempat liang lahad si mati (iaitu nabi, wali, ulama dan seumpamanya) sahaja, bukannya binaan kubah dan seumpamanya.”

 

Katanya lagi:

 

“Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan oleh Syeikh al-Ramli di dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan tanah kubur para nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (simen, marmar dan seumpamanya) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang disabilkan.”

 

Terdapat pendapat lain di dalam mazhab Syafie iaitu diharuskan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah, bilik dan lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan awam. Disebut di dalam kitab I’anah al-Talibin:

 

وقال البجيرمي: واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء والصالحين ونحوها (برماوي) وعبارة الرحماني: نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو قبة لاحياء الزيارة والتبرك قال الحلبي: ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به الشيخ الزيادي مع ولايته

 

Ertinya:

 

“Berkata al-Bujairimi, sesetengah ulama mazhab Syafie mengecualikan (daripada hukum haram binaan atas kubur) kubur para nabi, orang mati syahid, orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks ar-Rahmani pula menyebut, sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil berkat. Al-Halabi pula berkata, walaupun di dalam tanah perkuburan yang diawamkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika beliau berkuasa.”

 

Setelah membawa pandangan ulama dalam hal binaan di atas kubur, maka penulis simpulkan perkara ini seperti berikut:

 

  1. Makruh binaan di tanah perkuburan milik peribadi kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama dan seumpama mereka.

 

  1. Haram membina binaan di atas kubur di tanah perkuburan musabbalah atau wakaf kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama dan seumpama mereka, maka ada dua pandangan iaitu haram dan harus. Penulis memilih hukumnya harus.