Print

 

Soalan:

 

Seseorang yang mampu buat haji, tetapi menangguhkan ibadat itu dan membelanjakan kemampuannya itu untuk orang lain buat haji dulu. Apa pandangan Islam dalam hal ini?

 

 

Jawapan:

 

Seseorang yang telah memenuhi syarat kemampuan untuk buat haji, ia hendaklah menyegerakan haji. Namun, di sana ada perbezaan pendapat di kalangan para ulama, adakah hukum menyegerakan berangkat haji wajib atau hanya digalakkan sahaja.

 

Dalam mazhab Syafie serta disokong oleh Imam Muhammad bin al-Hasan, ibadat haji bagi orang mampu boleh ditunda pelaksanaannya meskipun ia telah memenuhi semua syarat wajib. Istilah fiqh yang sering dipakai untuk menyebutkan perkara ini ialah al-wujub ’ala at-tarakhi. Lihat keterangan dalam kitab al-Umm, kitab Raudah al-Talibin dan kitab Mughni Al-Muhtaj.

 

          Mereka juga mengatakan bahawa tundaan yang dibuat mestilah dengan azam atau tekad kuat untuk melaksanakan haji.

 

Kalau ia segera mengerjakannya hukumnya adalah sunat dan itu lebih afdal.

 

Dalil mereka dalam hal ini ialah perbuatan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri dan para sahabat baginda menangguh pelaksanaan ibadat haji. Ayat tentang kewajipan melaksanakan ibadat haji turun sejak tahun ke enam Hijrah sedangkan baginda bersama lebih kurang 124,000 sahabat melakukannya di tahun ke sepuluh Hijrah.

 

Ini bererti terjadi penundaan selama empat tahun, dan empat tahun itu bukan waktu yang pendek. Padahal Rasulullah s.a.w pada tahun ke lapan Hijrah sudah mampu untuk melaksanakannya apabila bandar Mekah jatuh ke tangan baginda. Lihat keterangan dalam kitab al-Umm.

 

Walaupun boleh ditangguhkan ibadat haji oleh orang yang mampu, namun kalau orang itu tidak yakin apakah nanti masih boleh berangkat haji seperti kerana takut hartanya hilang atau takut nanti terlantar sakit dan sebagainya, maka menangguhnya adalah haram.

 

Jumhur atau kebanyakan ulama seperti mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menegaskan bahawa ibadat haji wajib dikerjakan segera apabila seseorang telah memenuhi syarat wajib. Ini bermakna ia tidak boleh ditunda-tunda lagi. Lihat keterangan dalam kitab al-Syarh al-Kabir, kitab al-Mughni dan kitab al-Furu'.

 

Dalil yang dikemukakan oleh mereka, antara lain ialah:

 

  1. Orang yang mempunyai harta dan mampu pergi haji, kalau ia menangguh-nundanya, maka diancam kalau ia mati ia boleh jadi mati sebagai Yahudi atau Nasrani. Hal itu didasarkan pada hadith:

 

 

مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ إِلَى بَيْتِ اللَّهِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَ عَلَيْهِ أَنْ يَمُوتَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا

 

          Ertinya:

 

“Orang yang punya bekal dan kenderaan yang boleh membawanya melaksanakan ibadat haji ke Baitullah tapi dia tidak melaksanakannya, maka jangan menyesal kalau mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani.” (Riwayat Tirmizi)

 

  1. Ada sebuah hadith lagi yang dijadikan dasar oleh mereka iaitu:

 

حجوا قبل أن تحجوا

 

          Ertinya:

 

“Laksanakan ibadat haji sebelum kamu tidak boleh buat haji lagi.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

 

Keadaan tidak dapat buat haji berlaku dengan sakit, kematian atau tidak ada keamanan dalam perjalanan haji dan sebagainya. Maka dengan itu diwajibkan segera mengerjakannya.

 

Dalam hadith lain, Nabi s.a.w bersabda:

 

 

تَعَجَّلُوا إِلىَ الحّجِّ يَعْنيِ الفَرِيْضَةِ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

 

          Ertinya:

 

“Bersegeralah kamu mengerjakan haji yang fardhu, kerana kamu tidak tahu apa yang akan terjadi.” (Riwayat Ahmad)

 

Ramai orang yang tidak pandai memelihara kekayaan, lalu ia menghabiskan hartanya. Jadi kalau ia tidak segera berangkat haji, hartanya cepat habis entah ke mana.

 

          Penulis berpendapat lebih baik ikut pendapat pertama iaitu pendapat mazhab Syafie kerana hujahnya kuat. Adapun hadith-hadith pandangan kedua, sebahagiannya lemah dan sebahagian lagi adalah palsu.

 

          Tentang sikap orang yang mampu buat haji tetapi menangguhkannya dan memberi duit haji itu untuk orang lain buat dulu seperti dalam soalan di atas, perbuatan itu tertakluk kepada hukum bahawa ibadat haji boleh ditangguh dan ditunda. Namun, memberi duit haji itu kepada orang lain untuk mengerjakan haji, itu adalah perbuatan makruh. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

 

الإيثار في القربات مكروه وفي غيرها مستحب

 

          Ertinya:

 

“Mendahulukan orang lain dalam hal ibadat adalah makruh dan mendahulukan orang lain selain hal ibadat adalah sunat.”