UMUM

Soalan:

 

Apakah pendapatan seseorang artis itu halal? Boleh ia bersedekah dengannya?

 

Jawapan:

 

Kalau sekiranya artis terlibat dengan permainan muzik, maka ada dua pandangan mengenainya iaitu haram dan harus. Ulama yang kata ianya haram, hasilnya juga adalah haram. Manakala ulama yang kata ianya harus, maka hasilnya adalah harus. Antara ulama yang menghalalkannya ialah Ibnu Hazm seperti tercatat di dalam kitabnya al-Muhalla. Antara ulama yang kata ianya haram ialah ulama mazhab Syafie dan Hanafi.

 

Ibnu Abidin dari mazhab Hanafi mengatakan dalam kitabnya Radd al-Mukhtar ‘Ala ad-Dur al-Mukhtar:

 

“Di antara bentuk hasil haram adalah hasil para pemain muzik sebagaimana (tercatat) dalam kitab al-Mujtaba.”

 

          Manakala orang yang terlibat dengan nyanyian, lakonan dan seumpamanya, maka hasil adalah halal kalau tiada unsur haram dalam bidang tersebut. Namun, kalau ada percanggahan dengan agama Islam seperti menyanyi dengan lagu lucah, berlakon dengan membuka aurat dan sebagainya, maka hasilnya adalah syubhah iaitu bercampur antara halal dan haram. Halal kerana itu hukum asal, haram pula disebabkan pengisian atau cara yang bercanggah dengan Islam.

 

Kalau hasil upah dari perkara syubhah, maka haram juga baginya untuk memilikinya. Lihat keterangan dalam kitab yang berjudul Ahkam al-Mal al-Haram.

 

          Kalau hendak disedekahkan duit tersebut kepada tempat-tempat yang baik seperti masjid, maka itu kurang baik dan patut dielakkan. Dalam satu hadith disebutkan:

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلاَ يَصْعَدُ إِلَى اللَّهِ إِلَّا الطَّيِّبُ فَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فُلُوَّهُ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الجَبَلِ

 

          Maksudnya:

 

“Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barang siapa yang bersedekah senilai satu butir kurma dari hasil yang halal -sedangkan tidak ada yang dinaikkan kepada Allah kecuali dari hasil yang halal-, maka Allah akan menerima dengan tangan kanan-Nya lalu dibela (ditaufikkan) pelakunya sebagaimana kamu membela anak kuda. Akhirnya, pahala sedekah tersebut menjadi seperti gunung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

          Namun, kalau disedekahkan hasil syubhah itu untuk maslahah umum yang berbentuk keduniaan seperti untuk pembinaan jambatan, balai raya dan sebagainya, maka itu tidaklah mengapa.

 

          Ada juga pendapat yang mengharuskan disedekahkan duit syubhah atau haram itu kepada fakir miskin.

 

Berkata Syeikh Atiyyah Saqar dalam kitabnya Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa:

 

"Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat di mana ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu.”

 

 Soalan:

 

Bagaimanakah cara wang syubhat boleh dilupuskan?

 

Jawapan:

 

Dalam perbincangan di kalangan para ulama Islam, ada disentuh tentang harta yang diperolehi melalui jalan tidak patuh syariah. Harta ini merujuk kepada harta yang diperolehi melalui riba, judi, hasil curi, penipuan, rampasan, rasuah dan apa jua transaksi yang melibatkan perkara yang diharamkan oleh Islam.

 

Berlainan dengan harta patuh syariah, ia adalah harta yang diperolehi melalui cara yang tidak bercanggah dengan Islam.

 

Secara umumnya, harta tidak patuh syariah ini dikategorikan sebagai harta tidak diiktiraf oleh syarak atau dipanggil sebagai al-mal ghair mutaqawwam. Ini bermakna, walaupun ianya mempunyai nilai dari sudut komersial atau ekonomi tetapi ianya tidak mendapat pengiktirafan Allah sebagai harta.

 

Justeru itu, pemegang harta tidak patuh syariah ini tidak dibenarkan untuk menggunakannya untuk apa sahaja tujuan bagi kepentingan diri atau peribadinya. Ini memandangkan dia pada hakikatnya tidak mempunyai hak terhadap harta tersebut.

 

Sekiranya harta tersebut diketahui pemiliknya yang sebenar seperti dalam kes curi atau rompakan, ianya perlu dikembalikan kepada pemiliknya yang asal. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau Institusi Islam yang seumpamanya.

 

Sekiranya harta tersebut diperolehi daripada perkara yang haram seperti perjudian, arak atau riba, maka hakmilik harta ini telah terpindah kepada kemaslahatan umum. Ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau boleh juga diserahkan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan atau diserah untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti untuk membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.

 

Mengenai pemberian kepada golongan fakir miskin, ia ada disebutkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Ia juga adalah fatwa yang  dikemukakan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah. Ia juga keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma’ Buhuth Mesir dan Majlis Fatwa kebangsaan Malaysia.

 

Sekiranya harta yang diperolehi adalah bercampur dengan halal dan haram, bahagian harta yang haram sahaja yang wajib diuruskan dengan cara-cara di atas.

 

Sekiranya harta yang diperolehi adalah harta syubhah yang mana status atau kedudukan benda atau aset tersebut yang diragui seperti duit hasil nyanyian yang bercanggah dengan Islam, duit hasil pelaburan amanah saham yang ada perniagaan di tempat halal dan haram dan seumpamanya, maka harta syubhah itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

 

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهمل سمعـت رسـول الله صلي الله عـليه وسلم يقول: إن الحلال بين وإن الحـرام بين وبينهما أمور مشتبهات لا يعـلمهن كثير من الناس فمن اتقى الشبهات فـقـد استبرأ لديـنه وعـرضه ومن وقع في الشبهات وقـع في الحرام

 

          Maksudnya:

 

“Daripada Nu’man bin Basyir r.a, katanya, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ”Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itupun jelas dan di antara kedua-duanya itu (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) ia telah membersihkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhah, dia akan jatuh ke dalam perkara haram.”

 

Begitulah serba sedikit mengenai kedudukan harta tidak patuh syariah di sisi ulama silam mahupun kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

 

          Lihat juga keterangan lanjut mengenai hal ini dalam tulisan Ustaz Zulkifli Hassan yang berjudul Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah.

 

Soalan: 

 

Macam mana kedudukan kanak-kanak yang mati sebelum baligh, adakah mereka berdosa? Kalau anak-anak bukan Islam, adakah mereka masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh? 

 

Jawapan: 

 

Anak-anak orang Islam yang mati sebelum baligh semua adalah adalah ahli syurga. Sepakat para ulama dalam hal ini. Berkata Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Syarh Muslim: 

 

أجمع من يعتد به من علماء المسلمين على أن من مات من أطفال المسلمين فهو من أهل الجنة ؛ لأنه ليس مكلفا 

 

Maksudnya:  

 

“Telah bersepakat para ulama Islam yang diambil kira perkataan mereka bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.”  

 

Berkata al-Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Qur’an al-‘Azim: 

 

 

فأما ولدان المؤمنين فلا خلاف بين العلماء كما حكاه القاضي أبو يعلى بن الفراء الحنبلي عن الإمام أحمد أنه قال لا يختلف فيهم أنهم من أهل الجنة  وهذا هو المشهور بين الناس (أي عامة العلماء) وهو الذي نقطع به 

 

 

Maksudnya:  

 

“Adapun anak-anak orang yang beriman, maka tiada perselisihan di kalangan ulama (tentang mereka akan masuk ke dalam syurga) seperti yang diceritakan oleh al-Qadhi  Abu  Ya’la bin  al-Farra’ al-Hanbali daripada al-Imam Ahmad yang berkata: “Tiada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa anak-anak orang yang beriman termasuk dari kalangan ahli syurga. Inilah yang masyhur di kalangan ulama, pendapat ini juga yang kami putuskan.”  

 

Mengenai anak-anak bukan Islam, adakah mereka masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh? Dalam hal ini ada beberapa pandangan ulama mengenainya: 

 

Pendapat Pertama:  

 

Anak-anak bukan Islam akan masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh. Ini berdasarkan hadith sahih riwayat Bukhari daripada Samrah bin Jundub r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

 

وأما الرجل الطويل الذي في الروضة فإنه إبراهيم صلى الله عليه وسلم وأما الولدان الذين حوله فكل مولود مات على الفطرة قال فقال بعض المسلمين يا رسول الله وأولاد المشركين فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم وأولاد المشركين 

 

Maksudnya: 
 

“Adapun lelaki yang tinggi di Raudhah (taman syurga), ia adalah Nabi Ibrahim a.s. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap budak yang mati di atas fitrah. Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang kafir?” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, “Termasuk anak-anak yang kafir.” 

 

Hampir kepada pandangan ini ialah pandangan Imam Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri dalam kitabnya Tuhfat al-Murid di mana beliau berkata sesiapa yang mati sebelum baligh, maka ia selamat daripada neraka sekalipun daripada kalangan anak-anak orang kafir. 

 

Pendapat kedua:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh, pada peringkatnya awalnya, mereka akan berada di al-A’raf (pertengahan antara syurga dan neraka), namun kesudahannya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan sebahagian ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam kitab al-Tamhid. 

 

Pendapat Ketiga:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan diuji di hari kiamat, sekiranya mereka lulus ujian, mereka akan ke syurga. Sekiranya tidak lulus, mereka akan masuk neraka. Ujian itu ialah mereka akan diperintahkan oleh Allah masuk neraka. Kalau mereka taat, mereka akan masuk syurga dan kalau mereka enggan mereka akan masuk neraka. Ini adalah pandangan sebahagian ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari. Ia juga pandangan Imam al-Baihaqi. Ibnu Kathir juga cenderung kepada pandangan ini. Katanya dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-‘Azim: 

 

“Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadith-hadith yang lalu (disebutkan sebelum itu) saling menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.”  

 

Pendapat ini berdasarkan hadith sahih berikut: 

 

أربعة يمتحنون يوم القيامة رجل أصم لا يسمع ورجل أحمق ورجل هرم ورجل مات في الفترة أما الأصم فيقول يا رب قد جاء الإسلام وما أسمع شيئا وأما الأحمق فيقول يا رب قد جاء الإسلام والصبيان يرمونني بالبعر وأما الهرم فيقول يا رب قد جاء الإسلام وما أعقل شيئا وأما الذي مات في الفترة فيقول ما أتاني لك رسول فيأخذ مواثيقهم ليطيعنه فيرسل إليهم رسولا أن ادخلوا النار فمن دخلها كانت عليه بردا وسلاما ومن لم يدخلها سحب إليها 

 

Ertinya: 

 

“Empat golongan yang mengadu kepada Allah pada Hari Kiamat iaitu pertamanya lelaki yang pekak, keduanya lelaki gila, ketiganya lelaki nyanyuk dan keempatnya lelaki ahli fatrah yang hidup sebelum ada rasul atau nabi. Adapun orang yang pekak, ia berkata “Sesungguhnya telah datang ajaran Islam dalam keadaan aku tidak mendengar apa-apa.” Adapun orang yang gila, ia berkata, “Sesungguhnya telah datang Islam kepada aku dengan keadaan budak-budak membaling aku dengan tahi unta.” Adapun orang tua yang nyanyuk, ia berkata, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah datang Islam kepadaku sedangkan aku tidak memahami apa-apa.” Adapun ahli fatrah, ia berkata “Wahai Tuhanku, tidak sampai ajaran Rasul kepadaku.” Kemudian Allah membuat janji dengan mereka supaya mereka benar-benar taat kepada Allah lalu mereka dihantar ke neraka agar mereka masuk ke dalamnya. Sesiapa yang masuk ke dalam api neraka itu, ia akan berasa sejuk dan selamat. Sesiapa yang enggan masuk, ia akan dihumban ke dalam api neraka.” (Riwayat al-Tabrani) 

 

Pendapat keempat:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan bersama-sama ayah mereka masuk di neraka. Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ahmad. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut: 

 

عن البراء رضي الله عنه قال سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أولاد المشركين فقال "هم مع آبائهم" فقيل: يا رسول الله ما يعملون؟ قال "الله أعلم بهم" 

 

Ertinya: 

 

“Daripada al-Barra’ r.a, katanya, “Ditanya kepada Rasulullah s.a.w tentang anak-anak orang kafir (yang mati sebelum baligh),” Rasulullah s.a.w menjawab, “Mereka akan bersama-sama bapa-bapa mereka (masuk neraka).” Lalu baginda ditanya lagi, “‘Wahai Rasulullah, adakah mereka masuk ke neraka tanpa amal?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah lebih mengetahui apa yang mereka amalkan.” 

 

Pendapat kelima:  

 

Anak-anak bukan Islam yang mati sebelum baligh akan menjadi khadam kepada ahli syurga. Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu’ al-Fatawa berkata pandangan ini lemah kerana tiada sebarang asas baginya pendapat ini. Terdapat beberapa hadith yang menyokong pandangan ini yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun, hadith ini telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadith termasuk Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari. 

 

Pendapat pertama iaitu yang mengatakan bahawa anak-anak bukan Islam akan masuk syurga kalau mereka mati sebelum baligh, itu adalah pandangan lebih kuat kerana disokong oleh nas-nas yang kuat. 

 

 

 

Soalan:

 

Hukum memakan buruan yang mati ditembak, adakah halal atau sebaliknya?

 

Jawapan:

 

Menurut hukum syarak, sekiranya binatang buruan dari jenis halal dimakan, apabila mati diburu dengan alat pemburuan seperti panah, anjing buruan dan sebagainya, maka ia halal dimakan.

 

Adapun penggunaan peluru, maka mengikut ketentuan mazhab Syafie, peluru yang ada sekarang ini tidak memenuhi syarat untuk dijadikan alat berburu haiwan kerana ia tidak tajam. Maka berburu dengan senapang, pistol dan seumpamanya yang menggunakan peluru adalah tidak menjadikan binatang buruan itu halal. Maka, hukum haiwan yang mati ditembak tidak halal dagingnya. 

 

Sementara menurut mazhab Maliki pula, ia halal sekiranya dibaca Bismilllah atau disebutkan nama Allah ketika menembak. Ini kerana menurut mazhab Maliki, peluru sama kedudukannya dengan panah dan alat pemburuan yang lain. Mengenai sebutan nama Allah itu termasuk dalam rukun penyembelihan di sisi mazhab Maliki. Maka haiwan buruan yang ditembak ketika memburu, hukumnya halal dimakan. Kalau luka tembakannya tidak sampai dapat mematikan haiwan itu, maka hendaknya disembelih. Kalau tidak haram dimakan.

 

Lihat keterangan dalam kitab Fiqh Zabihah, kitab  al-Iqna', kitab Hasyiyah al-Syarqawi dan kitab Bughyat al-Mustarsyidin.

 

 

Soalan:

 

Apa hukumnya wanita keluar rumah pergi kerja atau sebagainya tidak memakai stokin yang nampak kedua kakinya di bawah buku lali? Amat sukar juga bagi wanita untuk sentiasa menutup kaki seperti ketika bekerja, ke pasar dan sebagainya.

 

Jawapan:

 

Dalam Islam, seluruh badan wanita adalah aurat melainkan muka dan dua pergelangan tangan. Selain dalil-dalil umum, terdapat juga beberapa dalil yang jelas menunjukkan bahawa bahagian bawah kaki wajib ditutup. Di antaranya ialah hadith Riwayat Ummu Salamah r.a:

 

أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم لما قال في جرِّ الذيلِ ما قال قالت قلتُ يا رسولَ اللهِ فكيف بنا فقال جُرِّيهِ شبرًا فقالت (أم سلمة) إذًا تنكشفُ القدمانِ قال فجُرِّيهِ ذراعًا

 

          Maksudnya:

 

“Rasulullah s.a.w telah bersabda sesuatu mengenai menjulurkan hujung pakaian. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana dengan kami (kaum wanita)?” Nabi menjawab: “Julurkanlah sejengkal.” Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: “Kalau begitu kedua bahagian bawah kaki akan terlihat?.” Nabi bersabda: “Kalau begitu julurkanlah sehasta.” (Riwayat Ahmad dan dianggap hadith sahih oleh Syeikh al-Bani)

 

Maka dalam mazhab Syafie, bahagian kaki adalah aurat. Antara ulama yang menyokong pandangan ini ialah Syeikh al-Albani seperti yang disebut dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah. Beliau menyatakan:

 

“Hadith ini dalil bahawa kedua qadam atau bahagian kaki wanita adalah aurat. Dan ini merupakan perkara yang sudah diketahui oleh para wanita di masa Nabi s.a.w. Buktinya ketika Nabi mengatakan: ‘Julurkanlah sejengkal‘, Ummu Salamah berkata: ‘Kalau begitu kedua bahagian bawah kaki akan terlihat?‘ Ia menunjukkan bahawa Ummu Salamah sebelumnya sudah mengetahui bahawa kedua bahagian bawah kaki adalah aurat yang tidak boleh dibuka. Dan hal itu disetujui oleh Nabi s.a.w. Oleh kerana itu, baginda memerintahkannya untuk memanjangkan kainnya sehasta. Dan dalam al-Quran juga ada isyarat terhadap perkara ini iaitu dalam firman Allah yang ertinya, “Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.

 

Sebahagian ulama berpendapat bahagian bawah kaki bukanlah aurat wanita. Antara mereka ialah Abu Hanifah. Hal ini ada disebut oleh Ibnu Najim dalam kitab al-Bahr al-Ra’iq. Dalam masalah khilaf boleh ditoleransi. Sebab itu Syeikh Abd Karim Zaidan dalam kitab al-Mufassal menyebut kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya.

 

Namun, jika terdapatnya hajat atau keperluan harian yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya seperti ketika bekerja, pergi ke pasar dan lain-lain lagi, maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya.

Soalan:

 

Apa hukum seseorang yang mengambil tanah orang yang telah mengusahakannya tanpa ada persetujuan tuan tanah itu atau warisnya kalau ia telah mati? Adakah amalan ibadat si pengambil tanah itu diterima oleh Allah?

 

Jawapan:

 

Mengambil tanah orang lain yang telah mengusahakannya adalah perbuatan zalim yang banyak terjadi di masyarakat. Mungkin para pelaku perbuatan ini menganggap remeh perkara ini padahal ia dianggap sebagai merampas tanah orang di mana perbuatan itu tergolong dalam dosa besar. Pelakunya juga diancam di akhirat dengan azab yang keras dan pedih.

 

Mengenai hal ini, ada beberapa hadith, di antaranya:

 

  1. Hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a bahawa baginda telah bersabda:

 

مَنْ ظَلَمَ قِيْدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِيْنَ

 

          Maksudnya:

 

“Sesiapa yang berbuat zalim (dengan mengambil) sejengkal tanah, maka dia akan dikalungkan (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

 

  1. Hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Sa’id bin Zaid r.a bahawa baginda bersabda:

 

مَنْ ظَلَمَ مِنَ الأَرْضِ شَيْئًا طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِيْنَ

 

 

 

          Maksudnya:

 

“Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka dia akan dikalungkan (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

  • Hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a, baginda bersabda:

 

مَنْ أَخَذَ مِنَ الأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ لَهُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِيْنَ

 

          Maksudnya:

 

“Sesiapa yang mengambil tanah (meskipun) sedikit tanpa haknya maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sampai ke dasar tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari)

 

  1. Hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Ya’la bin Murrah r.a, baginda bersabda:

 

أَيُّمَا رَجُلٍ ظَلَمَ شِبْرًا مِنَ الأَرْضِ كَلَّهُ اللهُ عَزَّ وَ جَلَّ أَنْ يَحْفِرَهُ حَتَّى يَبْلُغَ آخِرَ سَبْعِ أَرَضِيْنَ ثُمَّ يُطَوِّقَهُ إَلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ حَتَّى يَقْضَى بَيْنَ النَّاسِ

 

          Maksudnya:

 

“Siapa sahaja orang yang menzalimi (dengan) mengambil sejengkal tanah (orang lain), nescaya Allah akan membebaninya (pada hari kiamat) hingga ke tujuh lapis bumi, lalu Allah akan mengalungkannya (di lehernya) pada hari kiamat sampai seluruh manusia diadili.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad)

 

  1. Hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Ibnu Thabit r.a, baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

 

مَنْ أَخَذَ اَرْضًا بِغَيْرِ حَقِّهَا كُلِّفَ أَنْ يَحْمِلَ تُرَابَهَا إِلَى الْمَحْشَرِ

 

          Ertinya:

 

“Barangsiapa yang mengambil tanah tanpa ada haknya, maka dia akan dibebani dengan membawa tanahnya (yang dia rampas) sampai ke padang mahsyar.” (Riwayat Ahmad)

 

Inilah beberapa hadith yang menerangkan tentang haramnya merampas atau mengambil tanah orang lain. Berkata Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya Taisir al-‘Alam:

 

“Oleh kerana itu, Nabi s.a.w mengkhabarkan bahawa sesiapa yang mengambil tanah orang tanpa izinnya baik sedikit ataupun banyak, maka orang itu datang pada hari kiamat dengan azab yang berat di mana lehernya menjadi keras dan panjang kemudian dikalungkan tanah yang dirampasnya dan apa yang berada di bawahnya sampai tujuh lapis bumi sebagai balasan baginya yang telah merampas tanah itu.”

 

Berkata Syeikh Salim al-Hilali dalam kitabnya Bahjat al-Nazirin Syarh Riyad al-Salihin:

 

“Maksud “dikalungi” dari tujuh lapis bumi adalah Allah membebaninya dengan apa yang dia ambil (secara zalim) dari tanah tersebut pada hari kiamat sampai ke padang mahsyar dan menjadikannya membebaninya di leher atau dia diseksa dengan ditenggelamkan ke tujuh lapis bumi dan diambil seluruh tanah tersebut serta dikalungkan di lehernya.”

 

Berkata Syeikh Uthaimin dalam karyanya Syarh Riyad al-Salihin sambil menjelaskan bagaimana azab bagi orang yang merampas tanah orang lain:

 

“Manusia jikalau merampas sejengkal tanah, maka dia akan dikalungi dengan tujuh lapis bumi pada hari kiamat, maksudnya menjadikan baginya kalung pada lehernya. Kita berlindung kepada Allah dari perkara itu. Orang itu membawanya di hadapan seluruh manusia, di hadapan seluruh makhluk dan dia dihinakan pada hari kiamat.”

 

          Katanya lagi:

 

“Dan sabdanya “sejengkal tanah” bukanlah ini bentuk penentuan kadar tetapi bentuk kiasan iaitu bererti jika merampas kurang dari sejengkal tanah, ia dikalungkan (dengan tanah itu). Orang Arab menyebutkannya sebagai bentuk kiasan iaitu walaupun sekecil apa pun, maka akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat.”

 

          Adapun orang yang melakukan perkara ini, kalau ia bersolat atau melakukan amalan soleh yang lain, ia masih dapat pahala amalannya itu. Namun dosa yang dilakukannya dalam hal mengambil orang itu juga dipertanggungjawabkan ke atasnya dan ia akan menerima balasan yang buruk.

 

GALERI GAMBAR

HARI BERTEMU PELANGGAN

  1. Fatwa Diwartakan
  2. Fatwa Negeri
  3. Sudut Bacaan
  4. Berita Semasa
  5. Aktiviti Semasa
  6. Himpunan Kertas Kerja
No result.
next
prev

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411


E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com