himpunan kertas kerja

Disediakan Oleh:

 

Dr. Zulkifly bin Muda

 

PANDANGAN ‘ULAMA’ ISLAM MENGENAI HUKUM PEMINDAHAN ANGOTA LUARAN, ORGAN DAN TISU MANUSIA

 

Pendahuluan

 

Islam sangat memuliakan manusia. Oleh sebab itu, Islam mewajibaan umatnya menjaga lima perkara yang menajdi perkara-perkara asasi kehidupan manusia yang dipanggil sebagai daruriyyat atau necessities. Kelima-lima perkara tersebut ialah penjagaan terhadap agama, diri, akal, keturunan dan harta. Penjagaan terhadap kelima-lima perkara ini pada hakikat adalah untuk mempastikan kewujudan (survival) manusia itu sendiri, sekaligus juga ia bermaksud menjaga kemuliaan dan nilai kemanusiaan. Ini bertepatan sekali dengan firman Allah S.W.T yang maksudnya:

 

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut....

 

Menurut Dr. Abdul Munir Ya’acob –berhubung dengan kemuliaan manusia- ayat-ayat al Quran banyak menerangkan tentang kejadian manusia. Kejadian manusia menurut al Quran berlaku secara berperingkat-peringkat, tetapi proses itu tidak dikaitkan dengan alam haiwan. Bahkan al Quran menunjukkan perbezaan asasi antara manusia dengan haiwan. Teori evolusi memuaskan perhatiannya kepada beberapa segi persamaan antara jasmani manusia dan haiwan, tetapi mengabaikan perbezaan asasi dalam kehidupan batin antara kedua jiwa makhluk tersebut (manusia dan binatang). Perbezaan asasi di dalam perkara tersebut menjadikan umat manusia mempunyai kemuliaan, kehormatan dan nilai yang tinggi.

 

Konsep Asal Kehormatan Tubuh Badan Manusia.

Manusia sama ada yang hisup mahupun yang mati tetap mempunyai kehormatan. Kehormatan tersebut bermaksud tubuh badan mereka tidak harus diperlakukan dengan perkara-perkara yang menghilangkan martabatnya. Ini seperti melakukan pembunuhan sama ada terhadap diri sendiri atau kepada orang lain, memukul atau mencederakan orang lain atau diris endiri dan sebaginya. Ini kerana mereka telah dimuliakan dan diberikan penghormatan oleh Allah. Alasan lain ialah tubuh badan mereka adalah milik Allah S.W.T. Mereka hanya diberi amanah untuk menghalakan tubuh badan mereka  ke arah mentaati perintah Allah dan RasulNya S.A.W. Oleh itu mereka tidak berhak membinasakannya tanpa alasan yang kuat yang dibenarkan oleh syara’. Firman Allah yang maksudnya:

 

Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sesungguhnya Allah adalah maha pengasih.

 

Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

 

Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.

 

Menurut sebahagian ‘ulama’, walaupun tubuh badan manusia adalah hak milik Allah, tetapi ia tidak bermakna manusia tidak mempunyai hak pemilikan terhadap tubuh badannya sendiri. Pemilikan manusia terhadap tubuh badan mereka sama seperti pemilikan mereka terhadap harta benda iaitu ia bersifat pemilikan ‘penggunaan’ dan ‘manafaat’. Sekiranya manusia tidak harus menggunakan atau memanafaatkan harta benda mereka pada jalan maksiat, maka begitu juga mereka tidak harus menggunakan tubuh badan mereka ke jalan tersebut.

 

Kehormatan dan kemuliaan manusia tidak hanya terbatas kepada orang yang masih hidup sahaja, bahkan termasuk juga bagi orang yang telah meninggal dunia. Oleh sebab itu, orang yang meninggal dunia wajib dimandikan, dikafankan sisembahyangkan dan dikebumikan. Keempat-empat perkara tersebut harus dilihat sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan yang diberikan bagi seseorang manusia walaupun selepas kematiannya.

 

Berhubung dengan kehormatan tubuh badan orang yang telah meninggal dunia, terdapat beberapa hadith sahih daripada Rasulullah S.A.W yang menyebut yang maksudnya:

 

Seorang muslim haram ke atas seorang muslim yang lain, darah, kehormatan dan hartanya.

 

Hadith ini menunjukkan kehormatan seorang Islam. Keumumannya merangkumi orang Islam yang telah meninggal dunia.

 

Sabdanya lagi yang maksudnya:

 

Mematahkan tulang orang yang telah mati sama mematahkan tulang orang yang hidup.

 

Yang dimaksudkan dengan ‘sama’ di dalam hadith ini ialah sama di dalam dosa. Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah berdosa sama dosanya dengan mematahkan tulang orang hidup. Berkata al Tayyib:

 

Hadith ini mengisyaratkan bahawa orang yang mati tidak harus dihina seperti mana orang yang hidup idak boleh dihina. Telah diriwayatkan oleh Ibn Abu Syaibah daripada Ibn Mas’ud bahawa beliau berkata: “Menyakitkan orang yang telah mati seperti menyakitkannya sewaktu hidup.”

 

Menurut al Sayyuti, hadith ini diungkapkan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda melihat seorang sahabat mematahkan sisa-sisa tulang-tulang manusia yang dujumpai ketika menggali kubur. Rasulullah S.A.W melarang perbuatan tersebut dan memerintahkan supaya tulang-tulang terebuut diletakkan di bahagian tepi kubur seraya menyebut ungkapan seperti yang tercatat di dalam hadith di atas.

 

Berdasarkan kepada hadith ini, dapatlah kita fahami bahawa kehormatan tubuh orang yang telah meninggal dunia tetap diambil kira oleh syari’at Islam. Oleh sebab itu, para ‘ulama’ ada membincangkan tentang kehalusan di dalam mengendalikan mayat terutamanya ketika memandikannya.

 

Para ‘ulama’ dari mazhab Hanafi dan mazhab Maliki umpamanya membincangkan perkara ini. Mereka mengatakan adalah tidak harus disisir rambut mayat ketika memandikannya. Begitu juga tidak harus dicukurkan rambut, janggut dan segala bulu yang ada di badannya, sebagaimana juga tidak harus dipotong kukunya. Sekiranya seseorang meninggal dunia belum sempat melakukan khatan, maka tidak harus dikhatankan selepas kematiannya. Alasan yang diberikan ialah semua perkara yang disebutkan di atas adalah untuk perhiasan orang bagi orang-orang yang masih hidup. Bagi orang yang telah mati, perkara-perkara itu semua tidak diperlukan lagi. Sekiranya perkara-perkara di atas dilakukan juga, maka bahagian yang terpotong mestilah sisertakan bersama mayat di dalam kain kafannya. Ini menunjukkan bahawa anggota, tisu dan organ-organnya yang lain tidak boleh diambil sebarangan walau apa alasanpun melailnkan di dalam keadaan-keadaan tertentu seperti yang akan diterangkan. Ini kerana pengambilan tersebut bercanggah dengan kemuliaan dan penghormatan yang diberikan oleh Islam kepada anak Adam.

 

Di dalam mazhab Ahmad bin Hambal pula, terdapat dua pendapat di dalam masalah ini. Pendapat yang kuat ialah harus mencukur misai si mati. Begitu juga harus memotong kukunya yang panjang dan dicabut bulu ketiaknya. Keharusan ini adalah berdasarkan beberapa alasan:

 

i- Melakukan perkara-perkara yang disebutkan itu tidak dianggap sebagai memotong anggota badan mayat.

 

ii- Melakukan perkara-perkara tersebut juga dianggap sebagai membuang kotoran-kotoran yang ada di tubuh badan si mayat.

 

iii- Perkara-perkara yang disebutka di atas adalah antara perkara yang dianggap sebagai sunah fitrah. 

 

iv- Di sana terdapat athar daripada Anas bin Malik r.a yang menyebut yang maksudnya:

 

Perlakukan orang yang mati di kalangan kamu seperti kamu perlakukan kepada pengantin-pengantin kamu.

 

Seorang pengantin akan dihiaskan dengan hiasan-hiasan yang baik termasuklah diotong kukunya, misainya dan lain-lain lagi, maka begitu juga dengan orang yang telah meninggal dunia.

 

Menurut pandangan ini lagi, mana-mana bahagian tubuh badan yang dipotong hendaklah dimasukkan ke dalam kain kafan si mati kerana ia dianggap sebagai anggota yang gugur daripada mayat yang disebutkan di dalam sebuah athar daripada Ummu ‘Atiyyah r.a yang maksudnya:

 

...dibasuh kepala si mati, helaian-helaian rambut yang terjatuh (ketika dibasuh) hendaklah dibasuh kemuidan diletakkan semula di bahagian kepalanya.

 

Para ‘ulama’ mazhab Hambali juga berpendapat sekiranya seseorang yang meninggal dunia dan terdapat anggota tubuhnya yang cedera atau patah yang dibalut dengan tulang sama ada yang diambil daripada dirinya sendiri atau daripada binatang, maka tidak harus dicabut tulang tersebut sekiranya perbuatan tersebut  dianggap menyakitkan kalau dinisbahkan kepada orang yang hidup. Berdasarkan kepada pendapat ini, maka sesiapa yang memakai gigi emas atau perak untuk memperteguhkan gigi asalnya, apabila ia meninggal dunia, maka tidak harus dicabut gigi emas atau perak tersebut sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan gigi asal tertanggal. Ini kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai menyakitkan mayat atau muthlah.

 

Para ‘ulama’ di dalam mazhab Syafi’i pula berpendapat bahawa adalah harus menyisir rambut dan janggut si mayat. Bahkan perkara tersebut dianggap sebagai sunat. Sekiranya terdapat rambut atau janggut yang gugur ketika disisir, maka hendaklah diletakkan di dalam kafan si mati. Ini sebagai tanda penghormatan atau kemuliaan tubuh badan si mati.

 

Pada hemat penulis, walaupun pada zahirnya para ulama’ berselisih pendapat tentang keharusan mencukur rambut, janggut dan bulu-bulu yang lain, berkhatan, menyisisr rambut mayat dan lain-lain, tetapi pada hakiaktnya perselisihan mereka adalah disebabkan perbezaan mereka di dalam menilai penghormatan kepada si mati. Mereka yang mengharuskan dikhatankan mayat, dicukur atau disisir rambut dan janggutnya dan seumpamanya, beranggapan perkara itu semua sebagai penghormatan kepada si mati. Sementara mereka yang tidak mengharuskannya atau memakruhkannya beranggapan perkara tersebut dianggap mengganggu kehormatan si mati. Apa yang penting mereka semua sepakat mengatakan bahawa kehormatan dan kamuliaan mayat mesti dijaga dengan rapi. Bukti kesepakatan ini ialah mereka semua sependapat tentang kewajipan meletakkan semua juzu’ badan yang terpisah daripada badan akibat gugur dengan sendiri atau gugur akibat proses memperelokkan mayat seperti yang disebutkan di atas, ke dalam kain kafan si mati.

 

Berdasarkan nas-nas dan pandangan-pandangan yang diberikan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa semua juzu’ atau bahagian si mati mempunyai kehormatan dan kemuliannya sama seperti mana orang yang masmih hidup. Oleh itu adalah tidak harus diambil mana-mana anggota, tisu badan atau organ orang yang telah meninggal dunia untuk apa tujuan sekalipun kecuali di dalam keadaan-keadaan tertentu seperti yang bakal diterangkan.

 

Pemindahan Anggota, Organ Dan Tisu Orang Yang Masih Hidup

 

Hukum memindahkan organ orang yang hidup berlaku di dalam beberapa keadaan:

 

 

Untuk Kegunaan Sendiri Bagi Tujuan Rawatan

 

Para ‘ulama’ masakini ada membincangkan hukum al ghars al zatiy atau memindahkan organ badan untuk kegunaan sendiri (autograft). Ini seperti seseorang pesakit yang mengalami masalah kesihatan pada tulang lengannya dan ia hanya boleh dirawat dengan memindahkan tulang kaki sebagai ganti tulang lengannya. Begitu juga pengambilan daging peha untuk digunakan sebagai bahan gantian bahagian tubuh yang lain yang bermasalah. Mereka semua sepakat mengharuskan proses rawatan seperti itu.

 

Pandangan mereka berdasarkan kepada beberapa hujjah, antaranya:

 

i- Para ‘ulama’ silam mengharuskan bagi seseorang yang berada di dalam kelaparan yang sampai ke peringkat darurat, memotong dagingnya sendiri untuk dimakan bagi menyelamatkan nyawanya. Perkara ini pernah diutarakan oleh senahagian ulama mazhab Syafi’i dan mazhab Zaidiyyah.

 

Walau bagaimanapun jumhur ‘ulama’ iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan sebahagian ‘ulama’ mazhab Syafi’i yang lain tidak mengharuskan seseorang yang berada di dalam keadaan darurat memakan anggota badannya sendiri. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah cara tersebut tidak menjamin keselamatan diri bahkan keungkinan ia membawa kebinasaan dan kematian. Menurut Ibnu Qudamah, illah atau sebab ketidakharusan itu juga kerana ia dilakukan tanpa diyakini manafaat dan kesan positifnya.

 

Ini bermakna kesepakatan para ilmuan Islam masakini di dalam mengharuskan pengambilan mana-mana anggota tubuh seseorang pesakit untuk dilatekkan pada bahagian lain tubuhnya adalah berdasarkan kepada keharusan seseorang yang berada di dalam keadaan darurat memakan anggota badannya sendiri seperti apa yang telah difatwakan oleh sebahagian ‘ulama’ mazhab Syafi’i dan mazhab Zaidiyyah. Pengharusan tersebut bertujuan menyelamatkan nyawa pesakit atau memulihkan musibah yang dihadapi olehnya.

 

Pada hemat penulis, keharusan ini pada hakikatnya tidak bertentangan dengan pandangan yang dikeluarkan oleh kebanyakan ‘ulama’ (mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan kebanyakan Syafi’i). Ini kerana pandangan jumhur tersebut berasaskan kepada kaedah yang maksudnya:

 

Sesuatu kemudaratan tidak harus dihilangkan dengan kemudaratan juga.

 

Menurut mereka, berdasarkan kepada kaedah ini, kemudaratan yang ditanggung oleh orang yang berada di dalam kelaparan tidak harus dihapuskan dengan sesuatu yang juga membawa kemudaratan seperti memotong dan memakan dagingnya sendiri.

 

Namun di dalam kes pesakit yang menghadapi masalah kesihatan pada anggota tubuh badannya dan ia hanya boleh diselesaikan dengan pengambilan organ atau anggota lain daripada tubuhnya sebagai bahan gantian anggota yang bermasalah, kita dapati bahawa ‘illah atau sebab ketidakharusan memotong dan memakan daging badan sendiri tidak wujud lagi, kerana kajian pakar-pakar perubatan menunjukkan rawatan tersebut bermanfaat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada nyawa atau diri pesakit.

 

Begitu juga ‘illah ketidakharusan yang diutarakan oleh Ibnu Qudamah. ‘Illah tersebut tidak wujud pada proses pemindahan organ seseorang pesakit untuk kegunaannya sendiri kerana pakar-pakar perubatan telah mengsahkan bahawa cara rawatan tersebut merupakan jalan terbaik untuk memulihkan pesakit dan tidak akan memudaratkan dirinya.

 

ii- Keharusan rawatan tersebut juga berdasarkan kepada keharusan memotong mana-mana anggota badan yang berpenyakit yang boleh membawa mudarat kepada seluruh badan seseorang pesaki seperti memotong anggota badan yang bermasalah bagi pesakit kencing manis. ‘Ulama’ sepakat mengharuskan bentuk rawatan tersebut. Sekiranya memotong anggota tubuh badan yang berpenyakit dibolehkan, maka begitu jugalah dengan memindahkan anggota tubuh badan seseorang pesakit untuk kegunaan badannya sendiri. Pada pamdamgam penulis keharusan tersebut (pemindahan anggota, organ dan sebagainya) lebih terserlah kerana proses tersebut melibatkan pemotongan bahagian tertentu badan yang kemudiannya dimanfaatkan semula oleh pesakit terbabit.

 

iii- Keharusan pemindahan anggota dan seumpamanya untuk kegunaan diri sendiri juga berasaskan kepada fakta bahawa rawatan tersebut adalah sebahagian daripada “perubatan”. Banyak perkara yang hukum asalnya haram tetapi diharuskan bagi tujuan perubatan. Diriwayatkan bahawa ‘Afranjah r.a (salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W), telah tercedera di dalam satu peperangan. Beliau telah kehilangan batang hidungnya. Beliau akhirnya menggunakan hidung palsu yang diperbuat dari perak. Setelah digunakan, tempat kecederaan telah mengeluarkan bau yang busuk. Lalu Rasulullah S.A.W telah mencadangkan agar beliau (‘Afranjah) menggunakan hidung yang diperbuat daripada emas.

 

Daripada hadith ini dapatlah difahamkan bahawa penggunaan emas yang asalnya diharamkan bagi kaum lelaki diharuskan bagi hajat atau tujuan perubatan. Maka begitu jugalah dengan rawatan pemindahan organ seseorang pesakit untuk kegunaannyasendiri diharuskan kerana keperluan atau ‘hajat’ untuk berbuat demikian walaupun perbuatan tersebut pada asalnya adalah haram.

 

Syarat-syarat Keharusan Untuk Diri Sendiri

Keharusan memindahkan mana-mana organ atau anggota pesakit untuk kegunaannya sendiri tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:

 

Pertama: menurut sebahagian ‘ulama’, keharusan tersebut hanya tertakluk kepada keadaan darurat sahaja. Ini bermakna sekiranya ia dilakukan tanpa sebab atau masih terdapat cara rawatan lain yang boleh diguanakan oleh pakar-pakar perubatan, maka ketika itu ia tidak diharuskan lagi.

 

Pada pandangan penulis, proses rawatan tersebut tidak hanya diharuskan ketika darurat, bahkan ia juga diharuskan ketika “hajat” atau keperluan untuk berbuat begitu. Perkataan darurat bermaksud sesuatu keadaan atau suasana yang boleh mengganggu salah satu daripada lima perkara asasi kehidupan (iaitu agama, nyawa, kehormatan, akal dan harta) yang dipanggil sebagai daruriyyat. Sekiranya proses rawatan tersebut hanya dibolehkan keitka daruat sahaja, maka penyakit-penyakit yang tidak mengganggu kelima-lima perkara tersebut tidak harus dirawati melalui proses pemindahan mana-mana anggota pesakit yang terbabit walaupun untuk dimanfaati oleh dirinya sendiri. Ini bercanggah dengan konsep perubatan yang tidak hanya menekankan keselamatan nyawa, agama, harta kehormatan dan akal sahaja, bahkan juga menekankan persoalan kesempurnaan fizikal dan mental pesakit secara keseluruhannya. Konsep perubatan ini bersesuian dengan hadith ‘Afranjah r.a yang telah memakai hidung palsu yang diperbuat daripada emas dan perak –setelah mendapat keizinan Rasulullah S.A.W- setelah hidungnya tercedera walaupun pemakaian tersebut tidak sampai ke peringkat darurat. Oleh itu rawatan pemindahan anggota atau organ badan seseorang pesakit untuk kegunaan pesakit dirinya sendiri addalah dibolehkan walaupun tidak sampai ke peringkat darurat.

 

Kedua: Tidak ada kesan sampingan yang negatif di dalam rawatan tersebut. Sekiranya terdapat kesan-kesan seperti itu, maka ia tidak harus dilakukan. Walau bagaimanapun sekiranya kesan negatif yang terhasil daripada rawatan tersebut adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan kesan negatif yang berlaku sekiranya proses rawatan pemindahan anggota tidak dilakukan, maka hukumrawatan trsebut masih lagi di dalam lingkungan “harus”. Ini berdasarkan beberapa kaedah, antaranya kaedah yang maksudnya:

 

Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan (dilakukan) mudarat yang lebih kecil.

Dan kaedah yang maksudnya:

 

Apabila terdapat dua mudarat, maka mudarat yang kecil boleh digunakan bagi (menggugurkan) mmudarat yang besar.

 

Oleh itu kemudaratan yang disebutkan di dalam syarat kedua ini seharusnya ditafsirkan sebagai sesuatu kemudaratan yang berlaku hasil daripada proses pemindahan anggota daripada seseorang pesakit untuk kegunaannya sendiri dan ianya bersifat global dan boleh membahayakan diri dan nyawa pesakit yang terbabit. Oleh tiu sekiranya kesan-kesan negatif tersebut sampai ke tahap ini, maka ianya tidak diharuskan

 

Ketiga: Proses rawatan tersebut mesti diyakini kejayaannya. Keyakinan tersebut berdasarkan kepada fakta-fakta perubatan atau kajian pakar-pakar perubatan. Berhubung dengan perkara ini, Sheikh Ahmad Abu Sunnah ada menyatakan:

 

Sekiranya pengambilan anggota badan dibimbangi (kemudaratannya) atau manfaatnya diragui atau hany diteka kejayaannya, maka proses rawatan tersebut tidak diharuskan. Ini terkecuali sekiranya penyakit yang dihadapi membahayakan nyawa dan pakar-pakar perubatan mengatakan pengambilan dan pemindahan anggota terbabit dapat menyembuhkan penyakit dengan yakin, maka ia diharuskan.

 

Perkataan “yakin” juga merangkumi ghalabat al zann atau “sangka yang kuat” bahawa rawatan tersebut akan memberi kesan yang baik dan positif atau sekurang-kurangnya tidak memudaratkan nyawa dan diri pesakit. Ini adalah berdasarkan kaedah yang maksudnya:

 

“Sesuatu yang tidak dapat diketahui secara pasti dan yakin hendaklah dipastikan melalui al zann al ghalib atau jangkaan yang kuat”.

 

Yakin dan “sangka yang kuat” ini mestilah berasaskan fakta-fakta perubatan dan pandangan ahli perubataan.

 

 

Untuk Kegunaan Diri Sendiri Bagi Tujuan Kecantikan

 

Sekiranya seseorang melakukan rawatan pembedahan tubuh badannya demi untuk mencantikkannya, bukan bagi tujuan perubatan atau kesihatan, maka perbuatannya dianggap sebagai merubah kejadian Allah. Merubah kejadian Allah tanpa ada keperluan adalah haram. Pada zaman kita sekarang terdapat satu jenis rawatan seperti ini yang dinamakan sebagai pembedahan kosmetik. Pembedahan ini dilakukan bukan bertujuan membaiki atau membina kembali anggota badan yang cacat, tetapi lebih kepada untuk memuaskan nafsu diri sendiri. Pada kebiasaannya, orang-orang yang mempunyai kepentingan perniagaan atau pengaruh peribadi seperti pragawati-pragawati, artis-artis dan seumpamanya akan menjalani pembedahan ini demi menjaga kualiti tubuh badan mereka. Contoh rawatan pembedahan kosmetik ialah rawatan memancungkan hidung, membentuk buah dada, menegangkan kulit dan sebagainya. Perbuatan ini adalah haram berdasarkan fakta-fakta berikut:

 

i- Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

 

Dan demi sesungguhnya aku (Iblis) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.

 

Ayat ini menceritakan Iblis untuk menyesatkan umat manusia selepas keengganannya untuk menyahut perintah Allah supaya sujud kepada Adam sebagai tanda penghormatan. Antara cara-cara yang digunakan untuk menyesatkan manusia ialah dengan menghasut manusia mengubah ciptaan Allah. Mengubah kejadian Allah termasuklah memotong anggota tubuh badan, merubah struktur atau kedudukannya dan lain-lain lagi. Ia tidak hanya dibuat ke atas manusia, bahkan juga terhadap binatang-binatang. Oleh kerana mengubah kejadian Allah adalah amalan yang dianjurkan oleh syaitan, maka pembedahan plastik yang dilakukan tanpa ada keperluan kesihatan adalah haram.

 

ii- Sabda Rasul Allah S.A.W yang maksudnya:

 

Allah melaknat orang yang membuat tahi lalat dan orang yang meminta dibuat demikian, orang yang mencabut bulu muka (termasuk bulu kening) dan orang yang meminta dibuat demikian, orang yang mengubah kedudukan atau bentuk gigi dan orang-orang yang meminta dilakukan demikian bagi tujuan kecantikan, (mereka) mengubah kejadian Allah.

 

Ungkapan “mengubah kejadian Allah” di dalam hadith tersebut jelas sekali menunjukkan amalan pembedahan kosmetik adalah haram. Walaupun di dalam hadith di atas hanya menyebut beberapa jenis bentuk pengubahan kejadian Allah, tetapi ia tidak khusus kepada perbuatan-perbuatan itu sahaja. Bahkan pengharaman mengubah kejadian Allah adalah umum termasuklah juga kosmetik.  Perkara-perkara yang disebutkan di dalam hadith di atas, hanyalah beberapa contoh perbuatan “mengubah kejadian Allah”.

 

iii- Para ‘ulama’ memberi sebab atau ‘illah pengharaman tersebut iaitu terdapat padanya unsur-unsur penipuan yang jelas. Seorang yang telah tua umpamanya, apabila menjalani pembedahan tersebut akan kelihatan muda. Keadaan ini akan menyebabkan ramai tertipu dengannya.

 

iv- Rawatan kosmetik dilakukan pada badan yang telah sempurna. Ia dilakukan untuk mengikut selera nafsu manusia dengan mengubah bentuk asal anggota tubuh badan mereka semata-mata mahu menjadikan fizikalnya cantik.

 

v- Antara syarat terpenting keharusan pemindahan bahagian tertentu tubuh untuk kegunaan diri sendiri ialah rawatan itu mestilah dilakukan ketika darurat atau hajat  yang amat sangat. Kalau dilihat pada pembedahan kosmetik, didapati ia dilakukan tanpa ada darurat atau hajat. Maka ia tidak diharuskan kerana menyalahi syarat tersebut.

 

vi- Oleh kerana pembedahan seperti ini tidak selari dengan kehendak Islam, maka perbelanjaan atau pembiayaannya adalah dianggap suatu pembaziran. Pembaziran amat dilarang di dalam agama Islam seperti yang telah difirmankan oleh Allah yang maksudnya:

 

…dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.

 

Terdapat kalangan ‘ulama’ yang hanya meletakkan hukum pembedahan kecantikan kosmetik sebagai suatu yang makruh, bukannnya haram. Pandangan ini diutarakan oleh Sheikh ‘Abd ak Karim Zaidan. Tidak ada hujjah yang dikemukakan untuk menguatkan pandangan tersebut. Oleh sebab itu, penulis beranggapan pendapat tersebut adalah da’if.

 

Pemindahan Dari Orang Hidup Untuk Kegunaan Orang Lain

 

Para ‘ulama’ ada membincangkan masalah pemindahan organ daripada orang yang masih hidup kepada pesakit yang memerlukannya. Terdapat dua pandangan mengenainya:

 

Pendapat Pertama

Kebanyakan ‘ulama’ mengharuskan pemindahan tersebut berdasarkan kepada beberapa fakta yang sebahagiannya nas-nas syara’ sama ada dari al Quran atau al Sunnah dan sebahagiannya yang lain datangnya dari kaedah-kaedah fiqh sama ada yang berkaitan dengan usul al fiqh atau al qawa’id al fiqhiyyah. Fakta-fakta ini disokong pula oleh ma’quliyyat (akal dan logik). Walaupun begitu mereka sepakat mengatakan bahawa asal hukum pemindahan organ manusia sama ada yang masih hidup atau yang mati adalah haram. Ini kerana proses pemindahan terebut pada hakikat mencabul kemuliaan dan kehormatan diri manusia sendiri seperti yang telah diterangkan sebelum ini.

 

Antara mereka yang mengharuskan pemindahan organ daripada orang yang masih hidup ialah Sheikh Manna bin Khalil al Qattan, Yusuf al Qaradawi, Muhammad Sayyid Tantawi, Muhammad Fauziy Faid Abdullah, Muhammad Na’im Yasin, Kamal al Din Bakru, Muhammad Sa’id Ramadan al Buti, ‘Abd Allah ‘Abd al Rahman al Bassam, Ahmad Mahmud Sa’id dan lain-lain lagi. Di negara kita beberapa tokoh agama telah mengeluarkan pandangan yang sama. Antara  mereka ialah Dato’ Ishak Baharum, Dr. Abdul Munir Ya’acob, Abdul Jalil Borhan, dan lain-lain. Antara institusi agama yang telah mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pemindahan organ orang yang hidup untuk pesakit yang memerlukannya ialah al Majma’ al Fiqhi al Islami (Akademi Fiqh Islam di bawah Rabitah al ‘Alam al Islami, Mekkah), al Majma’ al Fiqhi al Islami (Akademi Fiqh Islam yang berada di bawah Munazzamah al Mu’tamar al Islami), Fatwa Hai’ah Kibar al ‘Ulama’ kerajaan Arab Saudi, Fatwa Lujnah al Ifta’ Kerajaan Negara Jordan, Fatwa Lujnah al Ifta’ al Jazairiyyah (di bawah kerajaan Jazair) dan Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

 

Antara hujjah-hujjah yang dikemukakan tentang keharusan tersebut ialah:

 

i- Terdapat dua hak di dalam tubuh badan manusia.

 

Pertama: Hak Allah iaitu nyawa dan asas-asas kehidupan manusia yang lain yang dipanggil daruriyyat. Manusia tidak boleh mendatangkan apa jua mudarat kepada nyawa dan tubuh badan mereka kerana ia berkaitan dengan hak Allah.

 

Kedua: Hak hamba iaitu setiap bentuk pengurusan yang berkait dengan kehidupan mereka. Mereka bebas melakukan apa jua perbuatan selagi ianya tidak mengganggu nyawa dan perkara-perkara daruriyyat yang lain.

 

Pemindahan organ daripada seseorang yang masih hidup yang tidak memudaratkan nyawa dan tubuhnya adalah diharuskan kerana ia berasaskan kepada hak hamba. Tetapi sekiranya pemindahan tersebut melibatkan nyawa dan kemudaratan tubuh badan, maka ia diharamkan kerana kerana ia telah mengganggu hak Allah S.W.T. Oleh kerana keharusan memindahkan organ daripada seseorang yang hidup kepada orang lain tertakluk kepada “tindakan tersebut tidak mengganggu nyawa dan asas kehidupan yang lain”, maka pihak yang paling layak untuk menetukan status keselamatan atau kemudaratan tersebut ialah pakar-pakar perubatan.

 

ii-Menurut al Qaradawi, tubuh manusia adalah sama seperti harta benda.  Sekiranya pemilikan (hak) manusia terhadap harta benda diiktiraf oleh Allah S.W.T seperti yang disebutkan di dalam beberapa ayat al Quran, maka begitu jugalah dengan hak pemilikan tubuh badan mereka.  Tetapi hak pemilikan tersebut adalah bersifat wadi’ah atau amanah, bukannya pemilikan hakiki.  Sekiranya seseorang boleh menghulurkan harta bendanya untuk kebajikan orang lain, maka begitulah juga ia berhak menghulurkan sebahagian daripada tubuh badannya untuk kebajikan orang lain.  Pendermaan harta atau sebahagian anggota tubuh badan ini boleh dilakukan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada nyawa dan perkara-perkara daruriyyat yang lain.

 

iii-Sekiranya umat Islam difardukan dengan jihad menentang musuh-musuh agama mereka demu untuk kebajikan dan keselamatan orang ramai, masyarakat dan negara keseluruhannya sedangkan amalan tersebut (jihad) adalah satu amalan yang membahayakan diri kerana ia terdedah kepada kematian dan kecederaan, maka begitu jugalah dengan pendermaan organ yang datangnya dari orang masih hidup adalah diharuskan kerana ia bertujuan memberi kebajikan iaitu untuk meyelamatkan nyawa pesakit.  Bahkan keharusan menderma organ lebih terserlah kerana ia tidak akan dilakukan melainkan selepas disahkan oleh pakar-pakar perubatan tentang keselamatan penderma dan penerima.

 

iv- Begitu juga dengan keharusan meyelamatkan orang lain yang sedang berada di dalam keadaan bahaya seperti orang yang sedang lemas atau sedang berdepan dengan kebakaran dan sebagainya.

ERTI HIDUP PADA MEMBERI

 

LATAR BELAKANG

 

Pemindahan organ dan tisu bermula di Malaysia dengan pemindahan kornea seawal tahun 1960-an, disusuli dengan pemindahan organ pertama iaitu pemindahan buah pinggang pada tahun 1975. Seterusnya pemindahan hati bermula pada tahun 1995, diikuti pemindahan jantung pada tahun 1997 dan pemindahan peparu pada tahun 2005.

 

Namun, setelah lebih tiga dekad berlalu, kadar pendermaan dan pemindahan organ di Malaysia masih terlalu rendah berbanding negara lain. Sedangkan pesakit yang memerlukan pemindahan organ kian bertambah.

 

 

PENGENALAN

 

Definisi Ringkas

 

Pemindahan organ: Dikenali juga sebagai transplantasi atau transplan; iaitu rawatan pembedahan bagi menggantikan organ yang telah gagal dan tidak berfungsi dengan organ berfungsi yang telah didermakan.

 

Penderma organ: Seseorang yang telah mendermakan organ bagi tujuan pemindahan organ.

 

Penerima organ: Pesakit kegagalan organ peringkat akhir yang telah menjalani pemindahan organ.

 

Pesakit kegagalan organ peringkat akhir: Pesakit yang menghidapi komplikasi penyakit yang menyebabkan organnya rosak, gagal dan tidak berfungsi.

 

Pengikrar penderma organ: Seseorang yang telah berdaftar atau berikrar untuk menjadi penderma organ selepas kematiannya.

 

 

 

Tujuan Pendermaan dan Pemindahan Organ

 

Tujuan utama pendermaan dan pemindahan organ adalah untuk menyelamatkan nyawa dan memenuhi salah satu daripada Maqasid As-Syaria’h (objektif-objektif Syaria’h), iaitu memelihara nyawa.

 

Pemindahan organ terbukti sebagai kaedah rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir, termasuk pesakit kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

 

Pemindahan organ dan tisu boleh meningkatkan taraf kehidupan pesakit-pesakit yang mengalami penyakit seperti berikut:

 

Buah pinggang / Ginjal

Biarpun terdapat rawatan alternatif iaitu dialisis, pemindahan buah pinggang merupakan kaedah rawatan yang lebih baik dari segi kos dan kualiti kehidupan;

 

Kornea / Mata

Pemindahan kornea mampu mengembalikan semula penglihatan atau mengurangkan kerosakan dan kesakitan pesakit yang mengalami masalah kornea;

 

Kulit

Kulit yang didermakan boleh digunakan untuk menampal bahagian tubuh yang kehilangan kulit akibat kelecuran atau kebakaran. Ia boleh mengurangkan kehilangan cecair dalaman badan dan risiko jangkitan, di samping mempercepatkan proses penyembuhan, mengurangkan kesakitan dan kesan parut;

 

Tulang

Pemindahan tulang boleh menggantikan bahagian tulang yang rosak, contohnya disebabkan oleh barah atau trauma akibat kemalangan;

 

Injap jantung

Pemindahan injap jantung boleh menggantikan injap jantung yang rosak, contohnya pesakit kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah injap jantung (congenital).

 

 

Jenis Penderma Organ

Terdapat dua jenis pendermaan organ iaitu:

 

  1. i) pendermaan organ setelah meninggal dunia / selepas kematian;
  2. ii) pendermaan organ semasa hidup.

 

Pendermaan organ setelah meninggal dunia adalah lebih digalakkan berbanding pendermaan organ semasa hidup. Lebih banyak organ yang boleh didermakan selepas kematian dan boleh memberi manfaat sehingga seramai 8 orang pesakit yang menerima organ atau tisu tersebut.

 

Pendermaan organ setelah meninggal dunia / selepas kematian

Organ

Tisu

 

· Buah pinggang / ginjal

· Hati

· Paru-paru

· Jantung

 

 

· Kornea (selaput depan mata)

· Tulang

· Kulit

· Injap jantung

Pendermaan organ semasa hidup

Organ

Tisu

 

· Salah satu buah pinggang

· Sebahagian hati

 

 

· Darah

· Sel stem

· Tulang (ketika pembedahan tulang tertentu)

 

 

KEPERLUAN

 

Saban tahun di Malaysia, semakin ramai pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir. Ini termasuk bilangan pesakit yang menjalani dialisis yang turut meningkat. Pada penghujung tahun 2012 sahaja terdapat lebih 25,000 orang pesakit yang menjalani dialisis berbanding seramai 7,600 orang pada tahun 2000. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak lebih 3 kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun.

 

Anggaran kos rawatan hemodialisis di pusat rawatan swasta adalah di antara RM120 – RM300 bagi setiap sesi. Seorang pesakit memerlukan rawatan sebanyak 3 sesi seminggu dengan kos sebanyak RM 1,560 – RM 3,600 sebulan, tidak termasuk kos perubatan dan lain-lain kos yang perlu ditanggung oleh pesakit tersebut.

Secara purata jangka masa pesakit yang menunggu untuk menjalani pemindahan buah pinggang adalah sehingga 16 – 20 tahun. Sekiranya terdapat peningkatan kadar pendermaan dan pemindahan organ, maka secara tidak langsung akan menggalakkan produktiviti negara, di samping mengurangkan kos pembiayaan serta subsidi rawatan pesakit yang mengalami kegagalan organ.

 

Dianggarkan sebanyak 57% pesakit di dalam senarai menunggu pemindahan organ adalah Muslim. Manakala 61% daripada jumlah penerima organ adalah Muslim.

 

 

KEMATIAN OTAK

 

Kematian otak ialah ketiadaan pengaliran darah serta oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak, termasuk tunjang/batang otak (bahagian otak yang mengawal fungsi kehidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung), tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan.

 

Otak mengawal semua fungsi utama di dalam badan manusia termasuk pergerakan, denyutan jantung dan pernafasan. Apabila otak mati, semua fungsi utama otak, termasuk denyutan jantung dan pernafasan, akan terhenti.

 

Kematian otak boleh terjadi akibat kecederaan teruk yang berlaku pada otak. Kebanyakan kematian otak adalah berpunca daripada kemalangan jalan raya, pendarahan spontan (haemorrhagic stroke), angin ahmar (stroke), jangkitan otak atau barah otak.  

 

Apabila keadaan di atas berlaku, otak akan membengkak dan menyebabkan tekanan di dalam rangka kepala meningkat. Ini menjejaskan pengaliran darah yang membawa oksigen daripada jantung ke otak. Kekurangan oksigen akan mengakibatkan otak menjadi bertambah bengkak dan menambahkan lagi tekanan. Seterusnya otak akan mati apabila keadaan ini berterusan dan otak tidak mendapat bekalan oksigen.

 

Seseorang yang mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan (ventilator) dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Namun begitu denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walau dengan sebanyak mana sokongan yang diberi.

 

Pengesahan kematian otak akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar bertauliah yang tiada kaitan dengan pemindahan organ, melalui ujian-ujian tertentu yang dilakukan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian ini perlu diulangi sekali lagi selang beberapa jam selepas ujian-ujian yang pertama. Ujian pengesahan kematian otak dilakukan dengan penuh teliti dan telus.

 

Setelah disahkan kematian otak, maka pesakit akan disahkan sebagai mati biarpun jantung masih berdegup. Seterusnya mesin pernafasan boleh diberhentikan.   

 

 

PROSES PENDERMAAN ORGAN SELEPAS KEMATIAN

 

Proses pendermaan organ dan tisu perlu dilaksanakan segera dan secepat mungkin selepas kematian. Hanya pesakit yang disahkan mati secara kematian otak boleh mendermakan semua organ dan tisunya. Pesakit yang mati secara jantung terhenti (cardiopulmonary death) hanya boleh mendermakan tisu sahaja. Ini kerana organ memerlukan oksigen melalui pengaliran dan pembekalan darah. Oleh itu, organ tidak boleh berfungsi sekiranya jantung sudah terhenti.

 

Apabila seseorang telah disahkan kematian otak di hospital, keluarga dan waris akan diberi peluang untuk memikirkan tentang pendermaan organ. Keputusan keluarga dan waris akan sentiasa dihormati.

 

Sekiranya keluarga dan waris berhasrat untuk mendermakan organ, si mati akan dinilai bagi menentukan sama ada organ-organnya masih boleh lagi digunakan dan pesakit tidak menghidapi penyakit-penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS, hepatitis B atau C, syphilis dan sebagainya.

 

Sekiranya keluarga dan waris memutuskan untuk tidak mendermakan organ, maka mesin pernafsan akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi dan keluarga akan diberi bantuan susulan sewajarnya.

 

Jika pesakit dan organnya sesuai, maka mesin pernafasan akan diteruskan sehingga ke dewan bedah dan akan diberhentikan sebelum organ-organ diperolehi. Pembedahan pendermaan organ akan dijalankan di dewan bedah dengan tertib dan penuh prihatin sebagaimana pembedahan yang dijalankan ke atas orang yang masih hidup. Ia tidak akan mencacatkan rupa bentuk jenazah. Sepanjang masa, jenazah akan dikendalikan sebaik mungkin dengan penuh teliti dan hormat.

 

Selepas pendermaan, jenazah penderma akan dibersihkan dan diserahkan kepada keluarga/waris sebaik dan secepat mungkin. Keluarga/waris akan diberikan bantuan sewajarnya jika diperlukan. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan urusan pengkebumian jenazah.

 

Tiada bayaran akan dikenakan bagi proses pendermaan organ atau tisu.  Di samping itu, tiada sebarang pembayaran diberikan kepada penderma atau daripada penerima organ. Penerima organ dilarang juga memberikan sebarang bentuk hadiah ataupun insentif bukan kewangan kepada penderma, seperti pemberian rumah, kereta, tanah, kenaikan pangkat dan sebagainya. Kementerian Kesihatan juga tidak akan memberikan sebarang bayaran sekiranya seseorang telah mendermakan organ atau tisu. Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan memberikan pengecualian semua bayaran bil hospital yang berkaitan dengan pembedahan pendermaan organ.

 

 

KESIMPULAN

 

Sudah pasti pengorbanan seseorang untuk mendermakan organnya adalah begitu tinggi dan tidak ternilai harganya. Ia adalah bukti keperihatinan penderma organ dan warisnya terhadap kesukaran dan keperitan hidup yang dialami oleh insan yang lain. Malah dengan mendermakan organ selepas kematian, lebih ramai nyawa yang mampu diselamatkan.

 

Kepentingan menjaga kesihatan juga adalah amat utama. Insha ALLAH dengan penjagaan tersebut, maka dapat menghindari pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kegagalan organ. Di samping itu, penjagaan kesihatan yang baik akan memastikan organ masih berfungsi dengan baik, supaya boleh didermakan kepada mereka yang amat memerlukan.

 

Wa-ALLAHu a’alam.

 

 

Disediakan oleh,

 

DR MUHAMMED ANIS BIN ABD. WAHAB

Pengurus Klinikal, Pusat Sumber Transplan Nasional

Jun 2013

GALERI GAMBAR

HARI BERTEMU PELANGGAN

  1. Fatwa Diwartakan
  2. Fatwa Negeri
  3. Sudut Bacaan
  4. Berita Semasa
  5. Aktiviti Semasa
  6. Himpunan Kertas Kerja
No result.
next
prev

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411


E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com