ERTI HIDUP PADA MEMBERI

 

LATAR BELAKANG

 

Pemindahan organ dan tisu bermula di Malaysia dengan pemindahan kornea seawal tahun 1960-an, disusuli dengan pemindahan organ pertama iaitu pemindahan buah pinggang pada tahun 1975. Seterusnya pemindahan hati bermula pada tahun 1995, diikuti pemindahan jantung pada tahun 1997 dan pemindahan peparu pada tahun 2005.

 

Namun, setelah lebih tiga dekad berlalu, kadar pendermaan dan pemindahan organ di Malaysia masih terlalu rendah berbanding negara lain. Sedangkan pesakit yang memerlukan pemindahan organ kian bertambah.

 

 

PENGENALAN

 

Definisi Ringkas

 

Pemindahan organ: Dikenali juga sebagai transplantasi atau transplan; iaitu rawatan pembedahan bagi menggantikan organ yang telah gagal dan tidak berfungsi dengan organ berfungsi yang telah didermakan.

 

Penderma organ: Seseorang yang telah mendermakan organ bagi tujuan pemindahan organ.

 

Penerima organ: Pesakit kegagalan organ peringkat akhir yang telah menjalani pemindahan organ.

 

Pesakit kegagalan organ peringkat akhir: Pesakit yang menghidapi komplikasi penyakit yang menyebabkan organnya rosak, gagal dan tidak berfungsi.

 

Pengikrar penderma organ: Seseorang yang telah berdaftar atau berikrar untuk menjadi penderma organ selepas kematiannya.

 

 

 

Tujuan Pendermaan dan Pemindahan Organ

 

Tujuan utama pendermaan dan pemindahan organ adalah untuk menyelamatkan nyawa dan memenuhi salah satu daripada Maqasid As-Syaria’h (objektif-objektif Syaria’h), iaitu memelihara nyawa.

 

Pemindahan organ terbukti sebagai kaedah rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir, termasuk pesakit kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

 

Pemindahan organ dan tisu boleh meningkatkan taraf kehidupan pesakit-pesakit yang mengalami penyakit seperti berikut:

 

Buah pinggang / Ginjal

Biarpun terdapat rawatan alternatif iaitu dialisis, pemindahan buah pinggang merupakan kaedah rawatan yang lebih baik dari segi kos dan kualiti kehidupan;

 

Kornea / Mata

Pemindahan kornea mampu mengembalikan semula penglihatan atau mengurangkan kerosakan dan kesakitan pesakit yang mengalami masalah kornea;

 

Kulit

Kulit yang didermakan boleh digunakan untuk menampal bahagian tubuh yang kehilangan kulit akibat kelecuran atau kebakaran. Ia boleh mengurangkan kehilangan cecair dalaman badan dan risiko jangkitan, di samping mempercepatkan proses penyembuhan, mengurangkan kesakitan dan kesan parut;

 

Tulang

Pemindahan tulang boleh menggantikan bahagian tulang yang rosak, contohnya disebabkan oleh barah atau trauma akibat kemalangan;

 

Injap jantung

Pemindahan injap jantung boleh menggantikan injap jantung yang rosak, contohnya pesakit kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah injap jantung (congenital).

 

 

Jenis Penderma Organ

Terdapat dua jenis pendermaan organ iaitu:

 

  1. i) pendermaan organ setelah meninggal dunia / selepas kematian;
  2. ii) pendermaan organ semasa hidup.

 

Pendermaan organ setelah meninggal dunia adalah lebih digalakkan berbanding pendermaan organ semasa hidup. Lebih banyak organ yang boleh didermakan selepas kematian dan boleh memberi manfaat sehingga seramai 8 orang pesakit yang menerima organ atau tisu tersebut.

 

Pendermaan organ setelah meninggal dunia / selepas kematian

Organ

Tisu

 

· Buah pinggang / ginjal

· Hati

· Paru-paru

· Jantung

 

 

· Kornea (selaput depan mata)

· Tulang

· Kulit

· Injap jantung

Pendermaan organ semasa hidup

Organ

Tisu

 

· Salah satu buah pinggang

· Sebahagian hati

 

 

· Darah

· Sel stem

· Tulang (ketika pembedahan tulang tertentu)

 

 

KEPERLUAN

 

Saban tahun di Malaysia, semakin ramai pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir. Ini termasuk bilangan pesakit yang menjalani dialisis yang turut meningkat. Pada penghujung tahun 2012 sahaja terdapat lebih 25,000 orang pesakit yang menjalani dialisis berbanding seramai 7,600 orang pada tahun 2000. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak lebih 3 kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun.

 

Anggaran kos rawatan hemodialisis di pusat rawatan swasta adalah di antara RM120 – RM300 bagi setiap sesi. Seorang pesakit memerlukan rawatan sebanyak 3 sesi seminggu dengan kos sebanyak RM 1,560 – RM 3,600 sebulan, tidak termasuk kos perubatan dan lain-lain kos yang perlu ditanggung oleh pesakit tersebut.

Secara purata jangka masa pesakit yang menunggu untuk menjalani pemindahan buah pinggang adalah sehingga 16 – 20 tahun. Sekiranya terdapat peningkatan kadar pendermaan dan pemindahan organ, maka secara tidak langsung akan menggalakkan produktiviti negara, di samping mengurangkan kos pembiayaan serta subsidi rawatan pesakit yang mengalami kegagalan organ.

 

Dianggarkan sebanyak 57% pesakit di dalam senarai menunggu pemindahan organ adalah Muslim. Manakala 61% daripada jumlah penerima organ adalah Muslim.

 

 

KEMATIAN OTAK

 

Kematian otak ialah ketiadaan pengaliran darah serta oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak, termasuk tunjang/batang otak (bahagian otak yang mengawal fungsi kehidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung), tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan.

 

Otak mengawal semua fungsi utama di dalam badan manusia termasuk pergerakan, denyutan jantung dan pernafasan. Apabila otak mati, semua fungsi utama otak, termasuk denyutan jantung dan pernafasan, akan terhenti.

 

Kematian otak boleh terjadi akibat kecederaan teruk yang berlaku pada otak. Kebanyakan kematian otak adalah berpunca daripada kemalangan jalan raya, pendarahan spontan (haemorrhagic stroke), angin ahmar (stroke), jangkitan otak atau barah otak.  

 

Apabila keadaan di atas berlaku, otak akan membengkak dan menyebabkan tekanan di dalam rangka kepala meningkat. Ini menjejaskan pengaliran darah yang membawa oksigen daripada jantung ke otak. Kekurangan oksigen akan mengakibatkan otak menjadi bertambah bengkak dan menambahkan lagi tekanan. Seterusnya otak akan mati apabila keadaan ini berterusan dan otak tidak mendapat bekalan oksigen.

 

Seseorang yang mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan (ventilator) dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Namun begitu denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walau dengan sebanyak mana sokongan yang diberi.

 

Pengesahan kematian otak akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar bertauliah yang tiada kaitan dengan pemindahan organ, melalui ujian-ujian tertentu yang dilakukan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian ini perlu diulangi sekali lagi selang beberapa jam selepas ujian-ujian yang pertama. Ujian pengesahan kematian otak dilakukan dengan penuh teliti dan telus.

 

Setelah disahkan kematian otak, maka pesakit akan disahkan sebagai mati biarpun jantung masih berdegup. Seterusnya mesin pernafasan boleh diberhentikan.   

 

 

PROSES PENDERMAAN ORGAN SELEPAS KEMATIAN

 

Proses pendermaan organ dan tisu perlu dilaksanakan segera dan secepat mungkin selepas kematian. Hanya pesakit yang disahkan mati secara kematian otak boleh mendermakan semua organ dan tisunya. Pesakit yang mati secara jantung terhenti (cardiopulmonary death) hanya boleh mendermakan tisu sahaja. Ini kerana organ memerlukan oksigen melalui pengaliran dan pembekalan darah. Oleh itu, organ tidak boleh berfungsi sekiranya jantung sudah terhenti.

 

Apabila seseorang telah disahkan kematian otak di hospital, keluarga dan waris akan diberi peluang untuk memikirkan tentang pendermaan organ. Keputusan keluarga dan waris akan sentiasa dihormati.

 

Sekiranya keluarga dan waris berhasrat untuk mendermakan organ, si mati akan dinilai bagi menentukan sama ada organ-organnya masih boleh lagi digunakan dan pesakit tidak menghidapi penyakit-penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS, hepatitis B atau C, syphilis dan sebagainya.

 

Sekiranya keluarga dan waris memutuskan untuk tidak mendermakan organ, maka mesin pernafsan akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi dan keluarga akan diberi bantuan susulan sewajarnya.

 

Jika pesakit dan organnya sesuai, maka mesin pernafasan akan diteruskan sehingga ke dewan bedah dan akan diberhentikan sebelum organ-organ diperolehi. Pembedahan pendermaan organ akan dijalankan di dewan bedah dengan tertib dan penuh prihatin sebagaimana pembedahan yang dijalankan ke atas orang yang masih hidup. Ia tidak akan mencacatkan rupa bentuk jenazah. Sepanjang masa, jenazah akan dikendalikan sebaik mungkin dengan penuh teliti dan hormat.

 

Selepas pendermaan, jenazah penderma akan dibersihkan dan diserahkan kepada keluarga/waris sebaik dan secepat mungkin. Keluarga/waris akan diberikan bantuan sewajarnya jika diperlukan. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan urusan pengkebumian jenazah.

 

Tiada bayaran akan dikenakan bagi proses pendermaan organ atau tisu.  Di samping itu, tiada sebarang pembayaran diberikan kepada penderma atau daripada penerima organ. Penerima organ dilarang juga memberikan sebarang bentuk hadiah ataupun insentif bukan kewangan kepada penderma, seperti pemberian rumah, kereta, tanah, kenaikan pangkat dan sebagainya. Kementerian Kesihatan juga tidak akan memberikan sebarang bayaran sekiranya seseorang telah mendermakan organ atau tisu. Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan memberikan pengecualian semua bayaran bil hospital yang berkaitan dengan pembedahan pendermaan organ.

 

 

KESIMPULAN

 

Sudah pasti pengorbanan seseorang untuk mendermakan organnya adalah begitu tinggi dan tidak ternilai harganya. Ia adalah bukti keperihatinan penderma organ dan warisnya terhadap kesukaran dan keperitan hidup yang dialami oleh insan yang lain. Malah dengan mendermakan organ selepas kematian, lebih ramai nyawa yang mampu diselamatkan.

 

Kepentingan menjaga kesihatan juga adalah amat utama. Insha ALLAH dengan penjagaan tersebut, maka dapat menghindari pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kegagalan organ. Di samping itu, penjagaan kesihatan yang baik akan memastikan organ masih berfungsi dengan baik, supaya boleh didermakan kepada mereka yang amat memerlukan.

 

Wa-ALLAHu a’alam.

 

 

Disediakan oleh,

 

DR MUHAMMED ANIS BIN ABD. WAHAB

Pengurus Klinikal, Pusat Sumber Transplan Nasional

Jun 2013

GALERI GAMBAR

HARI BERTEMU PELANGGAN

  1. Fatwa Diwartakan
  2. Fatwa Negeri
  3. Sudut Bacaan
  4. Berita Semasa
  5. Aktiviti Semasa
  6. Himpunan Kertas Kerja
No result.
next
prev

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411


E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com