Soalan:

Biasanya seseorang nelayan akan menghadap tempat matahari jatuh di dalam solatnya kerana itu adalah arah Ka’bah berasaskan kedudukan peta negeri Terengganu. Namun, dalam setahun ada dua kali matahari jatuh ke atas kiblat secara tepat. Maka diketahui kedudukan kiblat yang sebenar. Macam mana dengan status solat orang yang tersalah kiblat sebelumnya seperti orang yang bekerja sebagai nelayan tersebut?

Jawapan:

        

Para ulama sepakat mengatakan bahawa orang yang dapat melihat Ka’bah, wajib ke atasnya menghadap bangunan Ka’bah atau ‘ain al-Ka’bah dengan yakin. Manakala bagi orang yang tidak dapat melihat Ka’bah tetapi masih tinggal di Mekah, hendaklah ia menghadap ke arah Masjidilharam. Bagi orang tinggal jauh dari Ka’bah seperti umat Islam di Malaysia, maka jumhur ulama selain mazhab Syafie berpendapat cukup dengan menghadap arah Ka’bah atau jihah al-Ka’bah tanpa memikirkan tepat atau tidak ke arah bangunan Ka’bah. Mereka berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ

         Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, “Apa yang berada di antara timur dan barat adalah Kiblat.” (Riwayatkan Ibnu Majah dan al-Tirmizi)

Secara zahirnya, hadith itu menunjukkan bahawa semua arah yang berada di antara keduanya iaitu utara dan selatan termasuk dalam kiblat. Kalaulah diwajibkan menghadap fizikal bangunan Ka’bah, maka tidak sah solat bagi orang yang berada dalam saf yang panjang kerana mestilah ada yang terpesong dari menghadap fizikal Ka’bah. Padahal ulama Islam sudah sepakat mengatakan bahawa solat sebegitu keadaannya adalah sah.

Lihat keterangan Syeikh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh dan Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid dalam hal ini.

Mazhab Syafie pula berpendapat bahawa wajib bagi yang jauh dari Mekah untuk menghadap ‘ain al-Ka’bah kerana orang yang menghadap kiblat adalah orang yang menghadap bangunan Ka’bah. Lihat keterangan Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.

Pandangan jumhur ulama dalam hal ini adalah lebih praktikal.

Isu berikutnya ialah kalaulah terjadi kekeliruan dalam arah kiblat ketika solat, apakah patut dibuat? Menurut mazhab Maliki dan Syafie, solat itu wajib dibatalkan dan diulangi lagi dengan menghadap ke arah kiblat yang betul dan diyakini. Begitu juga apabila kekeliruan itu berlaku selepas solat, maka perlu diulangi solat tersebut. Lihat keterangan dalam kitab karangan Ibnu Rusyd iaitu Bidayah al-Mujtahid.

Dalam mazhab Hanafi dan Hanbali, orang yang mengetahui kekeliruan arah kiblat di dalam solatnya tidak perlu membatalkan solatnya itu. Cukup baginya membetulkan arah kiblat dengan memutar badannya ke arah kiblat yang diyakini kemudian meneruskan solatnya.  Bagi orang yang mengetahui kekeliruan arah kiblatnya setelah selesai solat pula, kedua-dua mazhab ini mengatakan bahawa ia tidak perlu mengulang kembali solatnya. Ini kerana ia telah berijtihad dalam menentukan arah kiblat.

Lihat keterangan Syeikh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh dan Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid dalam hal ini.

         Berhubung dengan persoalan yang ditimbulkan di atas, maka orang tersebut telah dikira berijtihad dalam menentukan kiblat, maka solatnya tidak perlu dipersoalkan lagi kesahihannya. Ini bersesuaian dengan pandangan mazhab Hanafi dan Hanbali.

Penulis ingin menambah di sini bahawa seseorang yang tahu kiblatnya tersasar, maka sekiranya ia tersasar tidak lebih dari 45 darjah ke kiri atau ke kanan dari kiblat sebenar, maka ia masih dimaafkan dan solatnya tetap sah. Sekiranya lebih dari itu, ia perlu membetulkan dalam solatnya itu.

Adakah Portal Web Ini Membantu Anda?
  • Votes: (0%)
  • Votes: (0%)
Total Votes:
First Vote:
Last Vote:
  • KUSTEM

    KUSTEM

  • Yayasan Terengganu

    Yayasan Terengganu

  • UMT

    Universiti Malaysia Terengganu

  • Majlis Sukan Terengganu

    Majlis Sukan Terengganu

  • Pusat Zakat Terengganu

    Pusat Zakat Terengganu

  • JPT

    Jabatan Pelajaran Terengganu

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411


E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com