MUAMALAT

Soalan:

 

Seseorang meminjam dengan Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1000.00 untuk memulakan perniagaan. Apabila pinjaman lulus, ia mendapat duit sebanyak RM900.00 lebih. Namun, bayaran balik adalah RM1200.00. Adakah itu unsur riba?

 

Jawapan:

 

Amanah Ikhtiar Malaysia merupakan antara salah satu badan amanah yang ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian Amanah Ikhtiar Malaysia. Ia didaftarkan di bawah Akta Amanah 1952 (pindaan 1981) (Akta 258). Badan amanah ini telah ditubuhkan secara bersama oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM).

 

Ia ditubuhkan demi menyokong kewangan kepada para usahawan di bawah naungan Amanah Ikhtiar serta menyediakan bimbingan dan latihan berterusan kepada isi rumah miskin dan juga untuk usahawan-usahawan Amanah Ikhtiar amnya. Bagi memastikan objektif-objektif yang telah disasarkan itu dapat dilaksanakan, Amanah Ikhtiar menyediakan beberapa cara seperti penyediaan produk-produk, pembiayaan modal, simpanan wajib serta Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat. Melihat kepada objektif-objektif badan amanah ini, dapat dirumuskan bahawa konsep yang dibawa olehnya adalah tidak jauh beza dengan konsep zakat yang diperkenalkan oleh Islam.

 

Oleh kerana soalan ini yang ditimbulkan di atas berkait dengan riba, maka sukalah penulis membawa pengertian riba menurut Islam. 

 

Imam al-Sarakhsi di dalam kitab al-Mabsut mengatakan riba ialah tambahan yang disyaratkan dalam transaksi tanpa adanya al-‘iwadh atau imbalan yang dibenarkan oleh hukum syariah atas penambahan tersebut.

 

Imam Ahmad bin Hanbal berkata, riba ialah seseorang memiliki hutang, maka pemberi hutang memberi kata dua kepadanya apakah ia akan melunaskan hutangnya atau ditangguh tetapi dengan bayaran lebih.

 

Jadi disimpulkan bahawa riba adalah pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil atau bertentangan dengan prinsip muamalah dalam Islam.

 

Firman Allah s.w.t:

 

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

 

Yang bermaksud:

 

“Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.” (al-Baqarah: 275) 

 

Firman Allah s.w.t lagi:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُواْ ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضۡعَٰفٗا مُّضَٰعَفَةٗۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

 

Yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan riba yang berganda-ganda dan takutlah kamu kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.” (Ali Imran: 130)

 

Sabda Rasullah s.a.w:

 

 

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ

 

Yang bermaksud:

 

“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba, orang yang berwakil padanya, jurutulisnya dan saksi-saksinya.“ (Riwayat Muslim)

 

Hikmah diharamkan riba ialah ianya merupakan satu penindasan dan pemerasan terhadap peminjam yang biasanya orang miskin kerana fikiran dan emosinya terganggu akibat bimbang kerana memikirkan tentang bagaimana hendak membayar hutangnya yang sentiasa bertambah bunganya bila lambat dibayar.

 

Dengan riba ini juga, pihak yang memakan riba akan bertambah kaya dan senang. Riba akan mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja.

 

Dari sudut sosial, amalan makan riba boleh merenggangkan serta merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba dengan orang miskin dan seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara. Akhirnya, akan timbul di sana-sini rompakan, pembunuhan dan sebagainya.

 

          Berhubung bayaran balik hutang Amanah Ikhtiar Malaysia seperti yang ditanya dalam soalan di atas, ianya bukanlah riba. Ini berdasarkan keterangan pegawainya apabila ditanya tentang perkara itu. Katanya, bayaran lebih itu adalah kerana faktor pengurusan yang terpaksa ditanggung akibat penangguhan bayaran hutang.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com