Soalan:

 

Apa hukum buat pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia untuk buat perniagaan, tetapi digunakan wang tersebut untuk beli kereta atau kenderaan lain?

 

Jawapan:

 

Di antara tujuan utama diutusnya Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menegakkan tauhid di muka bumi, melaksanakan syariat Allah dan menyempurnakan akhlak umat manusia. Tentang yang terakhir itu dijelaskan dalam sabda baginda s.a.w:

 

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

 

Maksudnya:


“Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Hakim dan dinilai sahih oleh Imam al-Zahabi dan al-Bani).

 

Jadi, baginda mengajar bagaimana akhlak yang patut ada pada seorang muslim terhadap Tuhannya, keluarganya, negaranya, tetangganya, bahkan kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan sekalipun.

 

Diriwayatkan dalam satu hadith:

 

جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم من بين يديه فقال: يا رسول الله ما الدين؟ فقال صلى الله عليه وآله وسلم: حُسْنُ الخُلُق. ثمّ أتاه عن يمينه فقال صلى الله عليه وآله وسلم: ما الدين؟ فقال: حُسْنُ الخُلُق. ثمّ أتاه من قبل شماله فقال: ما الدين؟ فقال صلى الله عليه وآله وسلم: حُسْنُ الخُلُق. ثمّ أتاه من ورائه، فقال: ما الدين؟ فالتفت صلى الله عليه وآله وسلم إليه وقال: أما تفقه الدين ؟ هو أن لا تغضب

 

         

Maksudnya:

 

“Seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah s.a.w, lalu ia duduk di hadapan baginda dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Rasulullah menjawab, “Akhlak yang baik.“ Setelah itu lelaki tadi berpindah ke sebelah kanan Nabi dan bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Nabi menjawab, “Akhlak yang mulia.“ Kemudian lelaki tersebut berpindah ke sebelah kiri Nabi dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Rasulullah menjawab, “Akhlak yang mulia.“ Lelaki itu berpindah lagi duduk di belakang Nabi dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Rasulullah menjawab, “Apakah engkau tidak mengetahui bahawa agama itu adalah bahawa engkau tidak marah.“

 

Dari kisah di atas dapat kita lihat bahawa sikap seorang yang beragama adalah menjaga akhlak yang mulia, dan di antara akhlak yang mulia adalah tidak menjadi seorang pemarah.

 

Dalam hadith yang lain disebutkan:

 

قال رجل لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي فقال اتق الله حيثما كنت قال زدني قال أتبع السيئة الحسنة تمحها قال زدني قال خالق الناس بخلق حسن

 

          Maksudnya:

 

“Seseorang datang menjumpai Rasulullah s.a.w berkata, “Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat dalam menjalankan agama ini.“ Rasulullah s.a.w bersabda, “Bertaqwalah engkau kepada Allah di mana sahaja engkau berada.“ Orang tersebut berkata lagi, “Tambah lagi pesanan wahai Rasulullah.“ Nabi bersabda, “Buanglah perbuatan yang buruk dan (menggantinya) dengan perbuatan yang baik, nescaya perbuatan yang baik itu dapat menghapuskan dosa perbuatan yang buruk.“ Orang itu berkata lagi, “Tambah lagi pesanan wahai Rasulullah.“ Nabi bersabda, “Berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.“ (Riwayat Imam at-Tirmizi)

 

Dari kisah ini, dapat disimpulkan bahawa amalan yang utama dalam beragama adalah berakhlak mulia dan baik.

 

Akhlak yang baik merupakan cermin dari keimanan. Oleh sebab itu, menurut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa ada seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w:

 

يا رسول الله أي المؤمنين أفضل إيماناً قال أحسنهم خلقا

         

Maksudnya:

 

“Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang paling afdhal?” Rasulullah menjawab, “Mukmin yang paling afdhal adalah orang yang paling baik akhlaknya.”

 

Berkata para ulama, seseorang yang tidak memiliki akhlak yang baik, bukanlah muslim yang baik walaupun orang tersebut melakukan ibadat yang banyak.

 

Sila lihat keterangan lanjut tentang akhlak ini dalam kitab al-Nizam al-Akhlaqi Fi al-Islam karangan Syeikh Muhammad Uqlah.

 

Berdasarkan kepada sikap Islam yang menekankan akhlak yang mulia dan baik, maka perbuatan mengambil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia kemudian membelanjakannya dalam bentuk yang bercanggah dengan perjanjian asal iaitu sepatutnya digunakan untuk berniaga adalah berdosa kerana ia bercanggah dengan nilai-nilai akhlak Islam yang di antaranya ialah tidak memungkiri janji dan tidak menipu orang lain. Dalam hal ini, ada unsur-unsur penipuan kepada pihak berkuasa.  Perbuatan itu juga dilihat sebagai pengkhianatan terhadap usaha murni pihak berkuasa untuk melihat golongan miskin atau kurang berkemampuan berjaya memajukan diri mereka.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com