SOLAT ISYRAK DAN SOLAT DHUHA

    

Boleh berikan penjelasan tentang waktu Solat Sunat Isyrak dan Dhuha serta beza antara keduanya?

Jawapan:

Solat Sunat Isyrak dan Solat Sunat Dhuha adalah antara solat-solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah . Solat Dhuha dinamakan juga sebagai Solat Awwabin ertinya solat “orang yang taubat”.  Dalam satu hadis disebutkan:

 

                                                                          صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ

Maksudnya: “Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).”

(Hadis Riwayat Muslim:1238)

Disarankan oleh Nabi sekurang-kurangnya Dhuha dua rakaat dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Inilah yang tercatat dalam fiqh mazhab Syafie. Dalam hadis Nabi riwayat Abu Hurairah r.a disebutkan yang maksudnya:

 “Pernah Nabi berpesan kepadaku supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan sembahyang dua rakaat Dhuha dan supaya aku witir sebelum tidur.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

          Ibnu Abbas menamakan Solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu tersebut sebagai Solat Isyrak. Ia dinamakan dengan nama tersebut kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu terbit matahari. Namun begitu, walaupun Solat Isyrak adalah solat yang dilakukan pada waktu Solat Dhuha, terdapat beberapa perbezaan di antara Solat Isyrak dan Solat Dhuha.

          Waktu yang disunatkan untuk mengerjakan Solat Sunat Dhuha ialah pada waktu matahari sedang naik iaitu kira-kira matahari naik setinggi tujuh hasta. Dalilnya adalah sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:

Dari Zaid bin Arqam r.a bahawasanya Rasulullah pernah bersabda bermaksud, Sembahyang Awwabin (Dhuha) itu ialah ketika telah hangat cahaya matahari.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Perbezaan antara kedua-dua solat sunat ini ialah:

i)        Solat Sunat Isyrak dilaksanakan pada awal waktu Dhuha setelah naik matahari sekadar terlepas dari makruh haram iaitu pada anggaran ketinggian matahari segalah atau 1.5 meter dan dilaksanakan sebanyak dua rakaat sahaja. Lebih afdal dilaksanakan selepas beriktikaf di masjid apabila selesai Solat Subuh berjemaah di masjid.

Solat Dhuha pula dilaksanakan bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari. Rujuk Kitab Bughyat       al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’. Manakala, waktu terbaik untuk Solat Dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik.

ii)       Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua rakaat paling sedikit, atau empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak. Manakala Solat Isyrak hanya dilakukan sebanyak dua rakaat sahaja.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com