CERAIKAN ISTERI MELALUI APLIKASI WHATSAPP 

 

Seorang suami telah menghantar teks melalui Whatsapp kepada kawannya bahawa dia telah menceraikan isterinya. Macam mana dengan status perkahwinannya itu?

Jawapan:

Pengertian talak menurut bahasa ialah melepaskan ikatan. Manakala menurut istilah ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya.

          Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat. Ia juga berlaku secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syarak jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah bersabda:

 

                                                   ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak dan rujuk.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi & Ibnu Majah)

Hukum penceraian melalui Whatsapp adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pengirim Whatsapp itu adalah dari suami
  2. Penerima Whatsapp adalah isteri
  3. Whatsapp itu dibaca oleh penerima
  4. Suami memang berniat untuk menceraikan isteri

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu lafaz sarih dan kinayah. Lafaz sarih adalah lafaz talak yang digunakan jelas menunjukkan kepada makna talak dan lafaz itu tidak boleh ditafsirkan dengan makna yang lain. Lafaznya ada tiga iaitu: (Talak atau cerai), (bebas atau lepas) dan (pisah). Contohnya seperti suami berkata kepada isterinya, “aku ceraikan engkau”, “aku bebaskan engkau” atau “engkau berpisah dengan aku”.

 

Manakala lafaz kinayah bermaksud semua lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai talak atau selain talak. Lafaz kinayah mempunyai banyak lafaz seperti ‘kamu bebas dari aku’, ‘kembalilah kepada keluargamu’, ‘pergilah ke mana yang kamu suka’ dan lain-lain. Semua lafaz ini boleh ditafsirkan sebagai talak dan juga boleh ditafsirkan sebagai bukan talak.

Suami yang melafazkan lafaz sarih sama ada berniat atau tidak, tetap jatuh talak. Lafaz sarih tidak memerlukan kepada niat.

Manakala bagi lafaz kinayah, talak tidak jatuh melainkan jika suami berniat menjatuhkan talak.

          Dalam hal di atas, sebahagian ulama Islam telah meletakkan cerai melalui aplikasi Whatsapp dan seumpamanya adalah talak kinayah, bukannya talak sarih. Sekiranya dihantarnya Whatsapp itu dengan niat lafaz cerai dan si suami itu mengaku di hadapan hakim, baharulah dikira cerai yang sah.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com