Apakah beza Qada’ dan Qadar?

Jawapan:

          Qada’ dari sudut Bahasa Arab bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. Manakala dari sudut syarak, qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah S.W.T terhadap segala makhlukNya sama ada dari sudut menciptakannya, mentiadakannya atau mengubahnya. Manakala, qadar dari sudut Bahasa Arab adalah bermaksud menetapkan suatu kadar yang tertentu. Dari segi sudut syarak pula, qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah S.W.T semenjak azali selaras dengan ilmuNya yang mendahului setiap perkara.

          Beriman dengan qada’ dan qadar bererti menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T dengan hati yang redha. Berkaitan dengan rukun iman keenam ini, Rasulullah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a yang bermaksud, “Setiap sesuatu pasti ada hakikatnya, tidak akan sampai seorang hamba kepada hakikat keimanan sehinggalah dia mengetahui bahawa sesungguhnya apa yang ditimpanya tidak akan dapat dielaknya dan apa yang tidak mengenainya pasti tidak akan menimpanya.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Diriwayatkan oleh Saidina Umar bin Khattab r.a, Jibril a.s bertanya kepada Nabi , “Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman.” Lalu Baginda bersabda:

                              أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: “Beriman kepada Allah S.W.T, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk.”

          Dalam kehidupan harian, setiap saat kita tidak terlepas daripada qada’ dan qadar Allah S.W.T. Segala sesuatu yang berlaku adalah dengan ketentuan dan ketetapan dari Allah S.W.T. Allah S.W.T telah berfirman:

 

                                                           إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَٰهُ بِقَدَرٍ

 Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.” 

(Surah al-Qamar, ayat:49)

 

          Jelas dari perbincangan di atas bahawa ada perbezaan antara qada’ dan qadar. Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala qada’ pula ialah menjadikannya berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.

          Kesimpulannya, orang Islam wajib beriman dengan qada’ dan qadar. Beriman dengan qada’ dan qadar merupakan asas bagi kesempurnaan iman.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com