PANDANGAN AGAMA YANG PATUT DIPEGANG

 

Di masa sekarang banyak pandangan dan fatwa yang diberi oleh para agamawan. Manakah pandangan dan fatwa yang sepatutnya dipegang?

Jawapan:

Tidak dinafikan bahawa di masa sekarang banyak pandangan dan fatwa yang berbeza-beza yang diberi oleh para agamawan. Ini melalui tulisan-tulisan, ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah mereka. Bagaimana cara kita sebagai umat Islam memilih pandangan-pandangan tersebut. Semuanya berhujah dengan al-Quran dan al-Hadis serta menyebut nama-nama kitab yang mereka rujuk.

Cara yang terbaik ialah dengan kita mengikuti mazhab-mazhab tertentu. Contohnya umat Islam di Malaysia pada umumnya menganut fahaman mazhab Syafie. Apabila berlaku apa-apa isu, maka rujukan yang patut dibuat adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafie. Dengan itu, maka umat Islam dapat mengelak dari perpecahan dan salah faham antara satu sama lain.

Sesetengah orang memusuhi mazhab dan ulama-ulama dalam mazhab. Laungan mereka ialah kembali kepada al-Quran dan al-Hadis. Tidak dinafikan bahawa laungan tersebut benar. Namun, wajar difahami bahawa aliran mazhab Syafie sebagai contohnya juga adalah sebahagian dari aliran yang berteraskan kepada al-Quran dan al-Hadis.

Apakah kepentingan bermazhab? Jawapannya ialah ia membolehkan kita mengamal agama dengan kefahaman yang benar dan tersusun. Ini kerana orang awam tidak berkelayakan untuk berijtihad. Para imam mazhab yang muktabar merintis jalan ini agar orang awam lebih mudah memahami ajaran Islam itu sendiri. Allah S.W.T berfirman:

 

                                        فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Anbia’, ayat:7)

Para ulama usul menjadikan ayat ini sebagai dalil menunjukkan orang awam wajib bertaklid kepada orang alim yang mujtahid iaitu dengan mengikuti mazhab.

Para imam mazhab mengeluarkan pendapat dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dan amanah terhadap ilmu dan menepati ciri yang disebutkan oleh Allah S.W.T:

 

                  إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang takutkan Allah daripada kalangan HambaNya adalah ulama. Sungguh, Allah Mahaperkasa, Maha Pengampun.”

(Surah Fatir, ayat:28)

Imam al-Amidi dalam kitabnya al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam berkata:

“Orang awam yang belum memiliki keahlian berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang muktabar dalam berijtihad, dia tetap wajib mengikut pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwa-fatwanya.”

Imam ad-Dahlawi pula menyebutkan:

 “Ketahuilah bahawa umat Islam atau para ulama yang dipegang pendapat mereka, telah ijmak atas bolehnya mengikut (bertaklid) kepada empat mazhab (mazhab Maliki, Hanbali, Syafie dan Hanafi) yang telah dibukukan (ditulis) yang diakui kebenarannya sehinggalah sekarang.  Dan dalam hal ini (mengikut empat mazhab tadi) termasuk dalam kebaikan yang tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi pada hari ini semangat mendalami ilmu agama sudah berkurang sekali. Jiwa sudah bergelumang dengan hawa nafsu dan masing-masing berasa bangga dengan pendapatnya sendiri.”

Mengenai ketokohan empat imam mazhab termasuk mazhab Syafie, Rasulullah menyebut, “Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian mereka yang selepas itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini secara tidak langsung menyentuh tentang empat imam mazhab kerana kesemua mereka hidup sekitar tiga kurun ini; Imam Hanafi lahir pada tahun 80H, Imam Malik pada 93H, Imam Syafie pada 150H dan Imam Ahmad pada 164H. Kesemuanya terkenal sebagai orang yang soleh, warak, takut kepada Allah dan mempunyai ilmu yang tinggi. Keupayaan ilmu mereka diakui dan dijadikan panduan oleh umat sepanjang zaman. Mengikut mereka bererti mengikut golongan salafussoleh.

Boleh dikatakan selepas kurun ketiga Hijrah, hampir semua para ulama yang datang kemudian hanya bermazhab dengan mazhab imam-imam mujtahid tersebut. Ini kerana kemampuan yang makin berkurangan di kalangan para ahli ilmu, selain kejelasan usul mazhab yang telah disusun oleh imam-imam tersebut antara faktor perlunya bermazhab.

 

Para ulama hadis sendiri turut bermazhab. Imam Tirmizi, Imam Nawami dan Imam Ibn Hajar  al-Asqalani dan lain-lain bermazhab Syafie. Ramai para mujaddid bermazhab Syafie seperti Imam Abu Hassan al-Asyari selaku mujaddid kurun ketiga, Imam al-Ghazali selaku mujaddid kurun kelima dan Imam Sayuti selaku mujaddid kurun kesembilan dan lain-lain lagi.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com