AKAD NIKAH ONLINE

 

Adakah sah akad nikah online?

Jawapan:

Di Malaysia heboh diperkatakan tentang pernikahan secara online. Persoalannya adalah, adakah sah pernikahan tersebut.

Pandangan pertama berpendapat tidak sah nikah secara online berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud, “Tiada pernikahan melainkan dengan kehadiran seorang wali dan dua orang saksi. Dan apa jua bentuk pernikahan yang berlaku dengan cara selain dari itu maka pernikahan tersebut adalah batil.”

Kaedah fiqhiyyah mengatakan bahawa:

                                           يحتاط في الفروج ما لا يحتاط الأموال

Diutamakan sikap berhati-hati dalam urusan menghalalkan kemaluan (urusan munakahat) melebihi sifat berhati-hati dalam urusan harta benda (muamalat).

Akademi Fekah Islam مجمع الفقه الاسلامي (Persidangan Ulama-ulama Antarabangsa) di Saudi mengeluarkan resolusi mereka:

قرار رقم : 52 (2/6) بشأن حكم إجراء العقود بآلات الاتصال الحديثة : بعد ما قرر المجمع جواز إجراء العقود بآلات الاتصال الحديثة قال إن القواعد السابقة لا تشمل النكاح لاشتراط الإشهاد فيه

Resolusi 52 (2/6): Berkenaan hukum akad dengan alat perhubungan moden, selepas mengharuskan akad-akad tersebut, mereka menyebut: Sesungguhnya kaedah-kaedah tersebut tidak merangkumi akad nikah kerana adanya syarat saksi yang hadir majlis tersebut.

Asas dan hujah mereka adalah bersandarkan kepada mazhab Syafie yang mengatakan tidak sah akad nikah dengan tulisan kerana ianya kinayah dan tidak sarih (jelas). Imam Nawawi r.a berkata:

إذا كتب بالنكاح إلى غائب أو حاضر لم يصح، وقيل: يصح في الغائب، وليس بشيء؛ لأنه كناية، ولا ينعقد بالكنايات، ولو خاطب غائبًا بلسانه، فقال : زوجتك بنتي، ثم كتب فبلغه الكتاب، أو لم يبلغه وبلغه الخبر، فقال: قبلتُ نكاحها – لم يصحَّ على الصحيح

Maksudnya adalah: Apabila seseorang menulis lafaz ijab qabul pada yang tidak hadir atau yang hadir tidak sah. Pendapat lemah kata sah tetapi tidak ada hujah yang kuat pendapat ini kerana tulisan adalah kinayah dan tidak sah dengan kinayah. Kalau seseorang menuju cakap pada seseorang yang tiada dalam majlis “aku kahwinkan engkau dengan anak perempuan” kemudian dia tulis dan sampai tulisannya ataupun tidak tulis tetapi sampai ijab itu kepadanya dan dia kata “aku terima nikahnya” (pada kedua-dua masalah) tidak sah nikahnya.

Pandangan kedua berpendapat bahawa sah nikah secara online.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad            al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com